Legion adalah siri laptop gaming daripada jenama Lenovo. Dalam bulan Ogos 2022 lalu, kami ada laporkan yang mereka telah mengemas kini barisan Legion 5 mereka di Malaysia. Dalam pelaporan kami, Lenovo melancarkan generasi ke-7 kepada Legion 5, Legion 5i, Legion 5 Pro, dan Legion 5i Pro. Pasukan SoyaCincau BM berkesempatan untuk menguji salah satu daripada Legiopn 5i dan ini adalah pendapat kami tentangnya.
Unit yang kami pandu uji dalam artikel ini adalah Lenovo Legion 5i 15” Generasi ke-7 warnanya adalah Storm Grey. Harganya di laman rasmi Lenovo hampir kepada RM7,300. Spesifikasi asasnya adalah, ia hadir dengan cip Intel Core i7-12700H, RAM 32GB dan GPU RTX3060.
Rekaan Chasis Baharu: Lebih Nipis dan Lebih Ringan
Iterasi kali ini dikatakan pengeluarnya sebagai laptop yang direka baharu keseluruhannya. Bahagian panel yang menempatkan monitor laptop ini diperbuat daripada anodized alumunium. Saya sukakan kemasannya yang tidak garang. Jadi saya tidak segan untuk bawanya untuk tujuan kerja. Luar sahaja nampak baik, tapi di dalam sebenarnya tidaklah jinak.
Panel paparan laptop ini adalah daripada jenis IPS LCD sebesar 15.6″ pada resolusi WQHD (2560 x 1440) dengan kadar segar semula setinggi 165Hz. Antara perkara menarik dengan panel ini adalah cakpuan sRGB 100% serta Dolby Vision yang bermakna ia sesuai untuk pencipta kandungan yang perlukan kejituan penghasilan warna pada paparan. Untuk gamers, anda terima kelajuan respons panel setinggi 3ms dengan sokongan Gsync.
Rangka panel paparan ini agak menarik. Saya biasa dengan notch kamera yang masuk ke ruang paparan tapi notch kamera laptop ini keluar. Webcam ini melihat anda dalam resolusi FHD. Di laptop saya, ia ada shutter jenis mekanikal yang saya rasakan lebih selamat berbanding e-shutter laptop ini. Ia seperti butang untuk memutuskan bekalan kepada komponen webcam.
Nahimic 3D Audio
Lenovo memberikan sepasang speaker stereo 2W pada laptop ini. Janganlah anda jangkakan kualiti yang meletop keluar daripada speaker kerdil ini. Sebaliknya, saya sarankan anda untuk gunakan jek audio 3.5mm yang ada di sebelah kanan laptop ini dan manfaatkan teknologi Nahimic 3D Audio untuk pengalaman audio yang nyata lebih baik.
Nahimic adalah sololusi perisian daripada SteelSeries dalam bidang audio. Anda beroleh macam-macam customization untuk disuaikan dengan keadaan. Saya sukakan bahagian anda boleh ubah Bass dan Treble. Berbanding penyesuai equalizer, Bass dan Treble lebih mudah untuk saya yang kurang mahir dengan frekuensi untuk ubah suai output audio berbanding bermain dengan slider di Equalizer.
Ada beberapa ciri tambahan menarik lain yang boleh anda cuba seperti Sound Sharing Plus. Ciri ini bolehkan anda sambung dua jenis kelengkapan audio dan dengar melaluinya serentak. Yang uniknya, anda boleh sambung headfon melalui jek audio 3.5mm kemudian satu lagi headfon melalui sambungan Bluetooth ataupun USB dan dengarnya serentak dengan individu seorang lagi.
Keyboard & Pad Sesentuh
Bahagian papan kekunci laptop ini mirip dengan model Ideapad 5 Flex kepunyaan saya tapi lebih baik kerana ini adalah Legion TrueStrike Gaming Keyboard. Saya menyukai pengalaman menaip menggunakan laptop ini. Ia ada jarak pergerakkan yang cukup baik untuk berikan kepuasan memasukkan input dan jarak kekunci antara satu sama lain agak selesa lantas meminimumkan situasi salah tekan.
Kedudukan permukaan pad sesentuh yang sedikit off-center juga saya gemari. Ia selari dengan butang spacebar pada papan kekunci dan apabila menggunakannya, tangan tidak perlu bergerak jauh daripada titik asalan. Titik asalan yang saya maksudkan adalah kekunci F dan J yang ada ditandakan dengan bonjolan bagi menandakan kedudukan jejari tanpa perlu memandang ke arah papan kekunci.
Saya akui yang sebahagian besar masa, kursor dikawal saya menggunakan tetikus luar, tapi dalam waktu kecemasan, saya lebih berat ke arah kedudukan pad sesentuh ini berbanding yang diletakkan di tengah-tengah casis laptop.
Port di bahagian belakang ditanda
Saya sukakan sentuhan halus pada bahagian belakang laptop ini. Lenovo mencetak logo di bahagian atas permukaan laptop bagi menandakan lokasi port I/O badannya. Ia memudahkan pengguna untuk mencari port yang diingini tanpa perlu mengintai terlalu jauh.
Kalau boleh, saya inginkan sentuhan yang serupa untuk port yang berada di bahagian sisi, untuk ketekalan.
Super Rapid Charge
Ini adalah laptop gaming pertama yang saya reviu, ada sistem pengecasan pantas. 80% dalam masa 30 minit adalah sesuatu yang mengagumkan. Ia seperti anda mengecas telefon menggunakan pengecasan 125W. Bezanya, bateri telefon jauh lebih kecil berbanding laptop secara relatif. Sebagai perbandingan, bateri iPhone 13 Pro Max ada spesifikasi 10.35Whr dengan voltan 3.81V diterjemah kepada kira-kira 2,716mAh.
Sekiranya bateri pada laptop ini diturunkan voltannya kepada 3.81V tapi output tenaganya dikekalkan, ia diterjemah kepada hampir 21,000mAh. Kelengkapan mengecas yang diberikan adalah yang memberi output kuasa setinggi 230W.
Intel Core i7-12700H + RTX3060
Laptop ini dilengkapi dengan cip pemproses Intel generasi ke-12 iaitu Core i7-12700H. Ini adalah cip terkini dan pada generasi ini, Intel pertama kalinya menggunakan seni bina cip heterologus macam cip telefon. Atas cip ini ada 14 teras dengan 6 teras dipanggil Performance-cores manakala 8 teras selebihnya adalah Efficient-cores. Bergandingan dengan GPU GeForce RTX3060, tiada masalah untuknya menjalankan permainan berat pada tetapan yang tinggi.
Misalnya, Death Loop boleh dimainkan pada kadar bingkai menghampiri 100fps walaupun dalam resolusi QHD. Ada masanya kadar bingkai akan jatuh mendadak bergantung pada keadaan, tapi secara keseluruhannya pengalaman bermain agak memuaskan. Permainan casual seperti Hades juga ditampungnya tanpa lelah. Bermain lebih mengasyikkan dengan skrin 165Hz. Kemudian, cakupan 100% sRGB pula buatkan grafik nampak cantik.
Permainan e-Sukan macam Rocket League bukanlah satu masalah buatnya. Kadar bingkai melebihi 200fps, sentiasa saya alami. Sewaktu bermain, saya tidak berasa apa-apa ketidakselesaan pada papan kekunci daripada haba yang terhasil. Bahagian paling panas yang dicerap menggunakan termometer elektronik saya menunjukkan sekitar 40 darjah untuk bacaan paling tinggi.
Ia mungkin ada kaitan dengan sistem penyejukan ColdFront 4.0 baharu. Sistem ini menggunakan rekaan blok kuprum dan sirip penyejuk yang lebih tinggi luas permukaan untuk berikan kecekapan perpindahan haba 16% lebih baik. Dua kipas 12V dengan bilah 40% lebih nipis juga mempertingkat aliran udara. Ia menyedut udara daripada bahagian papan kekunci dan menghembus keluar melalui empat arah.
Hasilnya, laptop ini boleh membuatkan sistemnya bekerja pada kadar 170W TDP. Ia juga menjelaskan kenapa skor penanda aras laptop ini lebih tinggi berbanding MSI Raider GE76 yang saya uji tempoh hari.
Apa alternatif yang anda ada?
Untuk segala macam yang anda tengok tadi, harga seunit laptop ini adalah hampir RM7,300. Apa alternatif yang anda ada?
Di kem Asus, spesifikasi paling hampir boleh saya temui adalah ASUS TUF Gaming F15 (2022). Pada harga RM6,599, anda dapat CPU yang sama, GPU yang sama, RAM 16GB dan storan 512GB. RAM dan Storan bukanlah satu isu sebab ia boleh dinaik taraf kemudian hari. Satu kekurangan laptop ini adalah panel paparannya tidak cakupi 100% sRGB seperti laptop Legion, kemudian resolusinya tidak WQHD sebaliknya FHD sahaja. Kalau anda seorang content creator, mungkin ia bukanlah pilihan yang optimum. Kalau anda gamers, TUF Gaming F15 ini nampak lebih berbaloi.
Bila saya tanya sahabat saya Raymond, dia kata berjimatlah lebih RM2,000 dan dapatkan Acer Nitro 5 RM5,699. Anda dapat CPU sama, GPU, sama RAM 16GB tapi DDR4, dan storan 512GB. Katanaya, untuk gaming sudah cukup bagus, lainlah kalau anda seorang content creator.
Untuk content creator, saya rasakan RM7,300 adalah harga yang berbaloi. Anda dapat skrin IPS cakupan 100%, RAM 32GB, storan 1TB, pengecasan pantas. Itu semua bakal melicinkan kerja-kerja anda.