Awal bulan ini, Huawei Malaysia telah melancarkan banyak produk. Antaranya telefon pintar Huawei Mate 50 dan Nova 10, jam pintar Watch GT 3 SE dan tablet MatePad SE. Kini Huawei mengumumkan, mereka akan membawa satu lagi model untuk tablet MatePad SE dengan harga jauh lebih murah.
Dua model yang telah dilancar Huawei Malaysia sebelum ini adalah MatePad SE 128GB WiFi dan MatePad SE 64GB LTE. Kedua-duanya berharga RM999. Tidak lama lagi, model yang akan dijual di Malaysia dan lebih murah adalah MatePad SE WiFi 64GB.
Harga rasmi dan Promosi
Sebenarnya agak mengelirukan apabila Huawei Malaysia meletakkan harga rasmi yang serupa untuk MatePad SE WiFi 64GB, iaitu RM999. Seperti tidak masuk akal apabila anda boleh mendapat versi LTE 64GB, atau WiFi 128GB pada harga yang serupa.
Tetapi Huawei menutup harga rasmi tersebut dengan menawarkan rebat segera RM300, menjadikan harganya cuma RM699. Jika murah RM300, memang ini adalah tablet yang sangat berbaloi.
Menurut Huawei rebat RM300 ini hanya boleh didapati jika menebus baucar diskaun terlebih dahulu. Malah, rebat ini hanya boleh digunakan antara 1 hingga 11 Disember 2022. Ia akan terdapat di Stor Online Huawei Malaysia, serta di Lazada dan Shopee.
Selain diskaun, pembeli juga berpeluang memenangi fon putik telinga Huawei Freebuds 4i bernilai RM379. Seramai 12 pemenang akan dipilih dan diumumkan di laman web Huawei Malaysia pada 3, 6, 9 dan 12 Disember 2022.
Spesifikasi Huawei MatePad SE
Nama SE padanya merujuk kepada spesfikasi lebih rendah berbanding model sebelum ini. Kuasa penggerak utama menggunakan cip Snapdragon 680 dan ada 4G untuk model LTE. RAM sebesar 4GB dan storan 64GB bagi model LTE, serta sehingga 128GB untuk model WiFi.
Skrinnya serupa, seluas 10.4-inci IPS LCD pada resolusi 2K (1200×2000). Spesifikasi yang menurun adalah pada kamera. Untuk kamera hadapan, ia terletak di dalam bingkai tebal di atas skrin, menggunakan sensor 2MP. Manakala kamera belakang dengan sensor 5MP sahaja.
Selain itu, bateri juga lebih kecil dan pengecas lebih perlahan. Kapasiti bateri di dalamnya cuma 5,100mAh dan menyokong pengecasan 10W melalui USB-C. Speaker masih stereo di kiri dan kanan.
Dengan harga di bawah RM1,000, MatePad SE 10.4 cuba bersaing dengan angkatan tablet seperti Redmi Pad dan Honor Pad X8. Tetapi paling penting, Huawei masih tiada sokongan Google Mobile Services dan tidak boleh memasang aplikasi Google di dalamnya secara rasmi.