Penantian panjang rakyat Malaysia selepas menantikan lantikan Perdana Menteri ke-10 adalah pengumuman barisan kabinet menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan sebelum ini, dia akan mengecilkan kabinet dan melantik sedikit menteri berbanding kabinet Datuk Seri Ismail Sabri.
Malam ini, persoalan ini telah terjawab apabila Anwar membariskan dua nama sebagai Timbalan Perdana Menteri dan sebanyak 27 menteri menerajui kementerian yang disusun semula, sedikit berbeza daripada dahulu. Ia pengurangan sebanyak 4 menteri daripada kabinet PM ke-9 dahulu.
Tarikan pada kami adalah muka baru yang menerajui Kementerian Komunikasi Digital iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil. Walaupun ini bukan penggal pertama Fahmi menjadi ahli parlimen, ia adalah kali pertama dia dipilih sebagai menteri.
Bagi Kementerian Pengangkutan, Anthony Loke kembali ke kedudukan tersebut sebagai menteri. Tempat yang diterajuinya sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan 22 bulan, di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.
Anwar juga melantik dua orang Timbalan Perdana Menteri seperti yang dijanjikannya sebelum ini. Pertama ada Datuk Seri Zahid Hamidi, Presiden UMNO dan kedua Datuk Seri Fadillah Yusof, wakil dari Malaysia Timur.
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa (MITI). Walaupun dia kalah semasa pilihanraya lepas, jawatannya sebagai sentor masih kekal dan ini membolehkan dia dilantik sebagai menteri sehingga tempoh senatornya tamat.
Beberapa nama yang disebut-sebut sebagai kluster mahkamah tidak dipilih sebagai menteri. Antaranya Lim Guan Eng, Syed Saddiq dan Bung Mukhtar. Tetapi berbeza pula dengan Zahid Hamidi yang bukan sahaja menjadi menteri, malah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Seperkara lagi, Anwar turut mengumumkan nama Tan Sri Hassan Merican sebagai penasihat untuk hal ehwal kewangan.
Malam ini, hanya nama menteri diumumkan oleh Anwar Ibrahim. Nama Timbalan Menteri akan dimaklumkan selepas ini, mungkin esok pagi. Berikut adalah senarai penuh kabinet menteri yang diterajui oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim:
- Perdana Menteri & Menteri Kewangan – Anwar Ibrahim
- Timbalan Perdana Menteri 1 & Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah – Zahid Hamidi
- Timbalan Perdana Menteri 2 & Menteri Perladangan dan Komoditi – Fadillah Yusof
- Menteri Pengangkutan – Anthony Loke Siew
- Menteri Pendidikan – Fadhlina Sidek
- Menteri Kerja Raya – Alexander Nanta Linggi
- Menteri Komunikasi Digital – Fahmi Fadzil
- Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan – Nga Kor Ming
- Menteri Pertahanan – Mohamad Hasan
- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan – Mohamad Sabu
- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – Nancy Shukri
- Menteri Ekonomi – Rafizi Ramli
- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup – Salahuddin Ayub
- Menteri Pengajian Tinggi – Mohamed Khaled Nordin
- Menteri Dalam Negeri – Saifuddin Nasution
- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri -Tengku Zafrul
- Menteri Kesihatan – Zaleha Mustafa
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) – Azalina Othman
- Menteri Sains dan Teknologi – Chang Lih Kang
- Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim – Nik Nazmi
- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi – Ewon Benedick
- Menteri Luar Negeri – Zambry Abd Kadir
- Menteri Pelancongan – Tiong King Sing
- Menteri Perpaduan Negara – Ago Anak Dagang
- Menteri Agama – Mohd Na’im Mokhtar
- Menteri Belia dan Sukan – Hannah Yeoh Tseow Suan
- Menteri Sumber Manusia – Sivakumar Varatharaju Naidu
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak) – Armizan Mohd Ali