Telefon murah ni bukan tak bagus, tapi anda kena pandai pilih. Sebenarnya, ada banyak model yang berbaloi dan mampu menjalankan pelbagai tugas harian walaupun berharga di bawah RM600.
Di sini kami senaraikan 5 telefon pintar terbaik di bawah RM600 yang boleh anda beli di Malaysia, sehingga akhir tahun 2022. Anda boleh menonton video di bawah ini atau terus menatal untuk membaca.
Anda juga boleh semak senarai kami untuk telefon terbaik di bawah RM1,200 dan di bawah RM2,000.
1. Xiaomi Redmi 10C (4+64 RM559)
Redmi 10C ada prestasi hebat dengan kuasa cip Snapdragon 680 6nm, RAM LPDDR4X dan storan UFS 2.2. Tetapi skrin 6.71 inci nya hanya di resolusi HD 720p sahaja. Kamera utama 50MP dan ia ada bateri 5000mah, sokong pengecas 18w dan bagusnya, pengecas diberikan dalam kotak. Sedikit kecewa, tiada pemancar infra merah di Redmi 10C.
Maklumat lanjut di sini.
2. Infinix Hot 20 (6+128 RM599)
Infinix ini satu nama yang anda perlu perhati untuk bajet rendah. Di Hot 20, ia ada kuasa cip MediaTek Helio G85, RAM 6GB dan storan besar 128GB. Skrin pun luas 6.81-inci 90Hz, tapi resolusi HD.
Kamera belakangnya 50MP dan ada bateri 5,000mAh di dalam, menyokong pengecasan pantas 18W USB-C. Speaker pun stereo. Tapi paling menarik, ia ada NFC. Bermakna boleh guna Google Pay dan tambah nilai kad Touch n Go NFC.
Maklumat lanjut di sini.
3. Samsung Galaxy A04s (4+64 RM599)
Kalau tak nak pening sangat, pilih telefon Samsung macam Galaxy A04s. Anda boleh dapat bawah RM600 dengan RAM 4GB dan storan 64GB. Skrinnya LCD 6.5-inci HD 90Hz. Bateri 5,000mAh dan kuasa mengecas 15W USB-C. Kamera utama pula 50MP.
Bunyi macam agak biasa, tapi telefon Samsung ni dilihat ada antaramuka paling senang guna, sesuai untuk orang tua atau kanak-kanak. Selain tu, Samsung pun banyak pusat khidmat pelanggan di Malaysia, senang kalau ada apa-apa masalah nak baiki.
Maklumat lanjut di sini.
4. Honor X6 (4+128 RM599, 4+64 RM559)
Jangan risau, Honor X6 ini boleh guna aplikasi Google secara rasmi dan ada Google Playstore. Ia dikuasakan cip MediaTek Helio G25, ada skrin 6.5-inci HD, bateri 5,000mAh dan pengecas 10W sahaja. Pengimbas capjari ada di butang kuasa.
Spesifikasi macam tak ada yang menarik sangat. Cuma kami suka dengan konsep Honor yang katakan telefonnya sangat tahan lasak.
Maklumat lanjut di sini.
5. Poco C40 (3+32 RM499, 4+64 RM599)
Poco pun nama yang sering disebut untuk telefon murah. Bagi Poco C40 ni, ia guna cip yang kurang popular, JLQ JR510, dikatakan setanding Snapdragon 450 atau Helio G35.
Skrinnya besar, 6.71-inci HD tetapi kelebihan utamanya adalah bateri tersangat besar, 6000mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W. Pengecas diberikan di dalam kotak tetapi berkuasa 10W sahaja.
Maklumat lanjut di sini.
Banyak betul pilihan yang bagus walau bajet anda RM600 sahaja. Telefon macam ni bolehlah anda beri kepada anak-anak, atau gunakan sebagai telefon kedua dan kerja sampingan macam pemandu Grab atau penghantar makanan FoodPanda.
Dari segi keseluruhan, Infinix Hot 20 nampak paling baik. Prestasi tinggi, ada skrin 90Hz dan NFC. Redmi 10C pun hebat dengan kuasa Snapdragon 680. Nak skrin dan bateri paling besar, boleh tengok pada Poco C40. Galaxy A04s dan Honor X6 pun sesuai untuk kegunaan biasa.
Kalau boleh naik sikit bajet, RM700 ada banyak pilihan dengan naik taraf besar. Antaranya dapat skrin HD Penuh dan kamera ultra lebar. Atau anda ada cadangan lain? Boleh kongsikan bersama dalam ruangan komen di bawah ya.