Menurut Huawei, Freebuds 5i yang baru akan dilancar di Malaysia pada 25 Januari 2023. Sudah pasti Huawei menyatakan fon putik ini memiliki kualiti bunyi yang hebat serta rekaan yang bergaya.
Huawei telah menghasilkan banyak produk audio, terutama fon putik TWS seperti Freebuds Pro, Freebuds Lipstick dan Freebuds 4i. Tidak lama lagi, Huawei Malaysia bakal melancarkan fon putik baharu yang memiliki penyaring hingar aktif (ANC) dan dilihat mampu milik pada harga.
Tiga unit Freebuds 5i diberi percuma
Sempena ketibaannya tidak lama lagi, Huawei Malaysia menawarkan peluang kepada peminat di Malaysia untuk memiliki Freebuds 5i ini secara percuma. Caranya dengan menyertai peraduan teka harga.
Sebanyak 3 unit Freebuds 5i disediakan sebagai hadiah. Mereka yang berjaya meneka dengan tepat, akan dimasukkan ke dalam cabutan bertuah dan 3 orang akan dipilih dari cabutan ini. Peraduan ini dijalankan dari 18-24 Januari 2023.
Cara-cara untuk menyertai peraduan teka harga Freebuds 5i adalah seperti berikut:
- Daftar masuk ke laman web Huawei Malaysia, atau pergi ke Stor Rasmi Huawei di Lazada atau di Shopee.
- Taip jawapan harga yang ingin diteka di ruangan kotak perbualan (Chat Box) di saluran yang berkenaan.
- 1 pemenang akan dipilih dari setiap saluran dan nama pemenang akan diumum pada 30 Januari 2023.
Ada 1 tips yang dikongsikan oleh Huawei Malaysia iaitu, Freebuds 5i menawarkan fungsi inovatif yang serupa dengan fon putik lain berharga RM450. Untuk perbandingan, Huawei Freebuds 4i dilancar pada tahun 2021 dengan harga RM379. Mungkin harga model terbaru ini akan berada sekitar itu juga.
Spesifikasi Huawei Freebuds 5i
Dari segi rupa, Freebuds 5i mewarisi rekaan yang masih serupa dengan Freebuds 4i. Masih dalam bentuk bujur seakan telur dan bekas penyimpan dibuka dari sisi yang panjang. Butang sambungan juga masih di sebelah kanan manakala port USB-C untuk mengecas di bawah.
Pilihan warna sedikit berbeza. Ia masih menawarkan warna putih dan hitam, tetapi tiada lagi warna merah. Sebaliknya ditukar kepada warna biru lembut.
Bunyi dihasilkan menerusi pemacu dinamik berukuran 10mm, tetapi kali ini ia dinaik taraf dengan sokongan ‘Hi-Res Audio Wireless’. Sistem ANC juga dinaik taraf kepada jenis Hibrid, mampu menyaring sehingga 42db bunyi. Selain memadam bunyi bising, ia juga datang dengan mod ‘Awareness’ iaitu mendengar sekeliling seperti tidak memakai fon putik.
Jika ada satu penurunan, adalah dari segi hayat bateri. Di fon putik ia boleh memainkan lagu sehingga 7.5 jam dengan ANC dimatikan, berbanding 10 jam di Freebuds 4i. Tetapi bekas penyimpan memiliki bateri lebih besar, mampu menjadikan keseluruhan masa penggunaan sehingga 28 jam, jika ANC dimatikan.
Satu lagi peningkatan besar di Freebuds 5i adalah sokongan dwi-peranti. Ia boleh bersambung kepada telefon pintar dan tablet yang serasi secara serentak. Jadi tidak perlu mematikan sambungan ke satu peranti, untuk terus mendengar di sambungan peranti lain.
Selain itu, Freebuds 5i kini diiktiraf kalis percikan air dan debu IP54. Fon putik ini juga lebih ringan, dengan berat cuma 4.9 gram berbanding 5.5 gram di Freebuds 4i.
Secara ringkas, pembaharuan di Freebuds 5i berbanding Freebuds 4i adalah lebih ringan, sokongan sambungan dwi-peranti serentak, audio Hi-Res dan warna baharu. Boleh rujuk laman produk Huawei Freebuds 5i untuk maklumat lanjut.