Anda pernah guna aplikasi penjejak haid? Ada bermacam jenis aplikasi penjejak haid percuma tersedia. Tahu tak, sebenarnya penjejak haid ini dapat bagi banyak manfaat pada golongan wanita? Perkara ini dijelaskan oleh seorang pengamal perubatan di Klinik Medinna iaitu Dr Azura. Menurutnya, penjejakan haid, adalah alat yang berguna untuk dapatkan maklumat yang diperlukan untuk merawat pesakit wanita.
Bantu doktor diagnos penyakit
Pada pendapat Dr Azura, jika seorang wanita itu ada masalah mengenai kitaran haid, sama ada ia tidak teratur atau mengalami pendarahan yang berlebihan, dia pastinya ingin tahu berapa lama masalah itu mula terjadi. Dengan penjejak haid, doktor boleh dapatkan gambaran tentang kitaran haid dengan maklumat yang tersedia sehingga 12 bulan lalu.
Malah dengan data itu juga, doktor lebih mampu mendiagnosis keadaan seperti fibroid rahim, sindrom ovari polikistik atau gangguan tiroid pada pesakit. Menurutnya, sesetengah pesakit tidak sedar bahawa kitaran haid mereka tidak normal. Jadi mengekalkan tabiat pengesanan haid yang baik sangat membantunya untuk mengesan penyakit tersebut.
Boleh ramal tarikh ovulasi
Menurut Dr Azura, dia sering menasihatkan pesakitnya untuk jejak kitaran haid, terutamanya jika mereka rancang untuk hamil. Dengan mengetahui kitaran haid, ia boleh bantu ramal tarikh ovulasi dan ini menjadikan masa persetubuhan lebih mudah dan lebih tepat.
Sebelum ada aplikasi kesihatan, Dr Azura akan minta pesakitnya simpan diari kesihatan bertulis yang membolehkan maklumat seperti kadar denyutan jantung dan tekanan darah direkodkan di dalamnya. Tapi dengan aplikasi kesihatan yang kini banyak tersedia, anda boleh jejak dan simpan data kesihatan di dalam peranti sahaja. Walaupun aplikasi itu bukan bertujuan membuat diagnosis, namun ia masih boleh jadi sumber maklumat yang baik untuk bantu doktor mendiagnosis masalah anda.
Jadi di sini, golongan wanita sangat digalakkan untuk memuat turun aplikasi jejak kitaran haid dan kemaskini data dengan konsisten. Ia bukan sahaja dapat bantu anda meramal tarikh ovulasi, malah boleh memberi faedah kepada doktor juga untuk mengesan masalah kesihatan. Selain aplikasi, anda juga boleh miliki peranti seperti Apple Watch untuk memberi amaran masalah kesihatan seperti denyutan jantung yang tidak normal dan ia juga boleh mengesan jika anda alami jatuh yang teruk.
Aplikasi bantu jejak haid
Sebagai cadangan, berikut merupakan tiga aplikasi yang boleh anda muat turun di telefon secara percum untuk bantu jejak kitaran haid pada setiap bulan.
1. Period Calendar Period Tracker – Tersedia di App Store dan Play Store.
Aplikasi ini mempunyai banyak ciri yang diperlukan wanita seperti penjejak haid, penjejak ovulasi, penjejak kehamilan, perancang kehamilan, peringatan untuk makan ubat dan banyak lagi. Anda boleh guna aplikasi ini tanpa perlu mencipta akaun, jadi pengguna dibenarkan kekal sebagai anonymous semasa gunakannya.
2. Flo Ovulation & Period Tracker – Tersedia di App Store dan Play Store.
Flo menjejak banyak perkara pada diri pengguna. Antaranya tarikh mula dan tempoh haid, hari ovulasi, gejala PMS, kawalan kelahiran dan banyak lagi. Melaluinya juga anda boleh ikuti perkembangan bayi setiap minggu semasa mengandung. Menariknya aplikasi ini, ia menyediakan bahan bacaan dan rujukan untuk pengguna seperti tips melegakan gejala PMS, penyebab perubahan emosi ketika datang haid dan panduan warna keputihan wanita.
3. Clue Period & Cycle Tracker – Tersedia di App Store dan Play Store
Selain menjejak haid, perkara yang paling saya suka pada Clue ialah pengguna boleh dapatkan nasihat kesihatan daripada pakar perubatan di sana melalui petua dan artikel tentang haid, seks dan kesihatan reproduktif. Yang penting, semuanya lengkap dengan rujukan perubatan dan saintifik.
[Sumber: MalayMail]