Sering dilaungkan tentang kebaikan menggunakan kenderaan elektrik (EV) adalah kos menyelenggara yang murah. Ini kerana tiada minyak enjin, penapis minyak enjin atau minyak gear perlu diganti. Tetapi, jika anda memiliki EV berkuasa tinggi seperti Kia EV6 dengan tayar 20-inci, anda perlu membayar harga yang jauh lebih mahal berbanding tayar kereta bukan elektrik dengan saiz tayar yang serupa.
Kereta Kia EV6 GT-Line di Malaysia dilengkapi tayar 20-inci jenis Continental PremiumContact 6, sebagai tayar standard untuk EV6. Tayar ini direka khas untuk EV dengan tambahan teknologi ContiSilent. Ia ditambah buih polyurethane di bahagian dalam tayar untuk mengurangkan bunyi bising jalan sehingga 9dB. Ciri ini penting kerana bunyi bising tayar semakin jelas di EV, akibat tiada lagi bunyi bising enjin.
Tayar pancit dalam perjalanan ke Pulau Pinang
Rakan saya Alex, dalam perjalanan ke Pulau Pinang memandu Kia EV6, berhadapan masalah apabila tayarnya pancit di lebuhraya PLUS menghala ke Utara, berhampiran R&R Gunung Semanggol. Seperti kebanyakan EV dan kereta hibrid masakini, tiada tayar ganti disediakan, malah tiada jek kereta turut diberi. Apa yang ada hanyalah kit baiki tayar sekali guna. Bagaimanapun, kerosakan pada tayar tersebut tidak dapat ditampal, maka ia terpaksa ditunda ke Kuala Lumpur.
Jika anda tidak tahu, apabila menggunakan kit baiki tayar, tayar tersebut tidak lagi boleh digunakan atau dibaikpulih. Dari buku panduan, ContiMobilityKit yang diberikan hanya boleh menampal kebocoran tayar sehingga 6mm sahaja. Ini memberikan jarak perjalanan sehingga 200km dengan kelajuan tertinggi 80km/j. Itupun, jika anda berjaya menampalnya dengan baik dan mengisi angin di tayar sehingga 3 bar. Tetapi jika angin hanya dapat diisi sehingga 2 bar, ia hanya boleh dipandu dalam jarak sekitar 3-10 km sahaja.
Harga untuk tayar Kia EV6 dan kit baiki tayar di Malaysia
Berdasarkan sebut harga daripada Kia Malaysia, sebiji tayar Continental PremiumContact 6 255/45R20 untuk Kia EV6 berharga RM2,412. Benar, lebih RM2,000 untuk hanya satu tayar yang direka khas untuk EV. Untuk perbandingan, tayar Continental PremiumContact 6 yang sama bagi kereta bukan elektrik berharga sekitar RM1,300-RM1,400 sahaja.
Manakala harga untuk menggantikan penampal di dalam kit baiki tayar pula berharga RM251.50. Ditambah kos tenaga kerja, ia berjumlah RM2,793.50. Bermakna, kalau mahu menukar empat tayar sekaligus, harganya melebihi RM10,000!
Disebabkan ia adalah tayar model baru, tayar ini sukar didapati di kebanyakan kedai tayar biasa. Cara terbaik untuk membelinya adalah daripada pengedar EV sendiri, seperti pusat servis Kia di Glenmarie.
Sebenarnya, Continental bukanlah satu-satunya yang mengenakan harga lebih RM2,000 untuk tayar EV 20-inci. Apabila disemak, tayar Michelin’s Pilot Sport EV 20-inci yang digunakan pada Hyundai Ioniq 5 Max juga berharga sekitar RM2,400.
Tetapi tidak semua EV menggunakan tayar khas EV yang mahal. Model EV yang lebih rendah dengan saiz tayar 17-19-inci biasanya menggunakan tayar biasa yang lebih mampu milik. Kekurangannya adalah bunyi bising jalan yang lebih jelas kerana tiada lapisan buih untuk menyerap bunyi bising, serta lapisan tayar lebih tebal untuk menampung beban bateri yang lebih berat.
Satu pesanan Alex, elakkan seboleh mungkin daripada menggunakan kit baiki tayar. Kalau boleh, jangan guna langsung. Masalah yang boleh diselesaikan dengan menampal dan membayar RM10, akan menjadi jauh lebih mahal jika tayar tersebut telah diisi cecair penampal. Nasib baik Kia mennyediakan bantuan di jalan yang baik untuk EV6 kerana pantas bertindak dan menunda secara percuma walaupun berlainan negeri. Hanya bayar tol pergi dan pulang.
[Sumber: SoyaCincau]