Kini, ada banyak platform pembayaran menyediakan e-wallet. Dengan menggunakan teknologi ini, anda boleh lakukan bayaran dengan cepat melalui telefon. Antara contoh e-wallet di Malaysia ialah Touch n Go, GrabPay, ShopeePay, Boost dan MAE. Untuk lakukan transaksi, anda cuma perlu pastikan akaun ada baki dan telefon ada Internet. Jika anda masih keliru untuk pilih satu e-Wallet terbaik yang patut digunakan, berikut merupakan cara untuk pilih e-Wallet yang boleh anda jadikan rujukan:
1. Guna e-Wallet yang senang lakukan bayaran
Pilih pembayaran e-wallet yang mempunyai bilangan langkah pembayaran paling sedikit untuk diselesaikan. Kini ada banyak e-Wallet yang sediakan ciri imbas kod QR dan ia ambil masa sangat singkat sahaja untuk dilakukan. Anda hanya perlu bagi juruwang imbas kod QR anda dan anda juga boleh imbas kod QR yang disediakan mereka. Untuk ketahui mana satu e-Wallet berfungsi paling baik, anda boleh baca reviu sebelum gunakannya.
2. Program insentif kesetiaan
Pilih sistem pembayaran e-Wallet yang menawarkan mata ganjaran atau kesetiaan kepada pengguna. Jadi, semakin anda menggunakannya dengan kerap, semakin banyak mata yang boleh dikumpul. Antara e-Wallet yang menyediakan mata, ialah Grab melalui GrabRewards, Boost ada ganjaran Stars dan Bigpay ada BIG Points. Setelah anda berjaya kumpulkan sejumlah mata, anda boleh tebus baucar diskaun dan sebagainya.
3. Guna e-Wallet yang serasi dengan pelbagai platform
Pilih pembayaran digital yang terbuka kepada semua platform dan perkhidmatan, bukannya terhad kepada satu jenis platform sahaja. Saya cadangakan anda pilih e-Wallet yang boleh disambungkan ke DuitNow supaya anda boleh pindahkan wang mengguna nombor telefon sahaja. Contoh E-Wallet yang ada DuitNow ialah Touch N Go e-Wallet dan ShopeePay.
4. Pilih platform yang sentiasa didik pengguna
Sebarang dompet digital harus mendidik pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan tentang keselamatan serta kemudahan transaksi digital berbanding pembayaran tradisional. Mereka harus galakkan orang ramai mengamalkan sistem pembayaran tanpa tunai dalam pelbagai cara. Anda boleh lihat media sosial atau laman web mereka untuk ketahui perkara ini sama ada di amalkan atau tidak.
5. Proses bayaran seragam di semua platform
Guna pembayaran digital yang mempunyai proses pembayarannya seragam merentas semua penyemak imbas dan peranti. Semasa lakukan pembayaran digital, maklumat sensitif seperti kad kredit, maklumat kad debit dan kata laluan digunakan. Oleh itu, pengesahan OTP hendaklah konsisten merentas semua penyemak imbas supaya ia selamat daripada penggodam.
6. Ubah hala minimum
Guna pembayaran e-Wallet yang menggunakan sedikit ubah hala (redirects) semasa proses pembayaran. Elak guna platfrom yang membawa anda ke halaman berbeza beberapa kali untuk menyelesaikan pembayaran digital. Antara halaman yang dibawa ialah halaman bank, halaman gerbang pembayaran dan halaman OTP. Perkara seperti ini tentunya menguji kesabaran anda, betul tak?
7. Ada banyak fungsi tambahan
Selain simpan wang dan lakukan bayaran, cari e-Wallet yang menyediakan pelbagai fungsi lain. Contohnya melalui Grab, anda boleh gunakannya untuk beli makanan dan menempah e-hailing. Manakala Shopee anda boleh guna untuk membeli-belah, bayar bil dan juga beli makanan. TNG juga sertakan pelbagai ciri lain seperti pinjaman wang, tambah nilai kad TNG, bayar bil dan macam-macam lagi.
Setelah anda pilih e-Wallet yang ingin digunakan, ingat untuk tingkatkan keselamatan e-Wallet tersebut. Muat turun aplikasi e-Wallet dari gedung dipercayai seperti Google Play atau App Store. Kemudian, hidupkan kata laluan pada peranti untuk elak e-Wallet anda digunakan orang lain. Manfaatkan juga Face ID jika ada. Selain itu, guna rangkaian WiFi yang dipercayai sebelum lakukan transaksi.
Ingat untuk rahsiakan maklumat peribadi dan maklumat log masuk dari semua orang. Akhir sekali, kenal pasti siapa perlu dihubungi untuk dapatkan bantuan jika ada masalah dengan E-Wallet.
[Sumber: Evolet]