Digital Nasional Berhad (DNB) baru-baru ini memberi maklumbalas tentang kenapa liputan di tapak 5G yang siap dibina, masih belum dapat digunakan pengguna biasa. Sehubungan itu, sumber industri yang dekat telah menyangkal dakwaan DNB ini.
Dalam maklum balas DNB itu, mereka telah membangunkan tapak bersepadu yang sedia dioperasikan bersama (onboard) syarikat telekomunikasi (telco) dan selepas itu, ia bergantung kepada kesediaan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (MN). Jadi, MNO sendiri yang menentukan di tapak mana dan bila mereka sedia beroperasi sebelum pengguna dapat mengakses perkhidmatan 5G.
Menurut sumber industri, adalah tidak tepat untuk mengatakan MNO yang memilih lokasi tapak dan bila untuk mula beroperasi perkhidmatan 5G. Dari pihak MNO, mereka tidak mengetahui atau dimaklumkan bila tapak akan bersedia dan hanya selepas onboard, barulah mereka tahu status operasi tapak tersebut.
Tentang onboard, sumber turut mengatakan kebiasaannya ia dijalankan secara berkelompok sekitar 100 ke 200 tapak dan setiap kelompok mengambil masa sehari atau lebih. Ia melibatkan penetapan perkakasan Akses Rangkaian Radio (RAN) DNB dan MNO perlu membuat tetapan mereka sendiri sebelum dapat menyertai onboard.
Jika benar, ini merupakan satu lagi tamparan buat DNB. Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil telah mengkritik langkah DNB mengeluarkan kenyataan tentang liputan 5G hampir 50% di Malaysia sehingga akhir tahun 2022, sebelum membuat pengesahan dengan SKMM. Apabila kami bertanyakan perkara ini kepada DNB, mereka mengesahkan daripada 3,900 tapak yang dikatakan memberi 47.1% liputan 5G di kawasan populasi, tapak 5G yang sedia onboard hanyalah melibatkan kira-kira 38% liputan sahaja.
Walaupun tapak 5G sebenar yang boleh digunakan pengguna jauh dari kenyataan, DNB mengatakan mereka sedang merapatkan jurang dengan onboard beratus-ratus tapak setiap minggu. DNB turut berkongsi tentang rangkaian 5G mereka telah merekodkan penggunaan 462TB data sehari, dengan akses serentak terbanyak seramai 121,000 pengguna pada 31 Januari 2023. Mereka mensasarkan 80% liputan 5G pada akhir 2024.
Buat masa ini, hanya lima telco telah menandatangani perjanjian akses 5G dengan DNB iaitu Celcom, Digi, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL Communications. Maxis pula baru sahaja menangguhkan langkah mereka untuk mendapatkan pengesahan pemegang saham kerana menunggu laporan kajian oleh kerajaan Malaysia yang mahu melihat semula pelan pembangunan rangkaian 5G Malaysia.
[Sumber: SoyaCincau]
Bacaan Berkaitan
- DNB langkaui sasaran 2022 dengan liputan 5G hampir 50% di seluruh negara
- Fahmi mahu DNB jangan umum liputan 5G sebelum disahkan SKMM
- Fahmi jangka keputusan kajian semula 5G akan diumum suku pertama tahun ini
- DNB mungkin guna Huawei, ZTE atau Nokia sebagai vendor 5G kedua
- DNB maklumkan hanya 38% liputan 5G boleh guna di kawasan populasi selepas ditegur tidak mengesahkannya dahulu