OnePlus, dulunya dikenali sebagai flagship killer kini cuma sekadar flagship. Iterasi demi iterasi, tanda harga telefon keluaran mereka semakin mahal, malahan hampir menyamai pesaing yang dulunya mereka ingin bunuh dulu.
Cuba bayangkan OnePlus 10 Pro. Harga pelancarannya adalah RM4,199, RM100 lebih murah sahaja daripada Galaxy S22+ 5G RM4,299. Di pesaing Samsung, mereka tawarkan kekalisan air IP68 yang pastinya akan menarik minat pengguna sedangkan OnePlus 10 Pro tiada maklumat penarafan IP pada helaian spesifikanya.
OnePlus 10 Pro: Maklumat penjualannya di Malaysia
Nasib baiklah tak lama kemudian OnePlus 10 T hadir dengan harga yang lebih masuk akal RM3,199 dan jadi antara telefon Snapdragon 8 Gen 1 termurah ketika itu. Itulah masalah OnePlus, mereka sinonim dengan tanda harga yang pada saya tak padan dengan penawaran.
Harga rasmi OnePlus 10T diumum, hanya varian tertinggi dijual di Malaysia
Dan sekarang tibalah kita ke OnePlus 11.
Tapi sebelum saya kongsikan sama ada berbaloi ataupun tidak, mari ikuti reviu saya tentang OnePlus 11.
Fizikaliti OnePlus 11 & Sistem operasi OxygenOS 13
Saya telah bercerita secara panjang lebar tentang bahagian luar OnePlus 11 dalam artikel pandangan awal tempoh hari. Sekiranya anda berminat untuk mengetahui tentangnya, pautan ke artikel tersebut telah saya tampal di bahagian bawah perenggan ini.
Pandangan awal OnePlus 11, flagship premium yang bakal masuki Malaysia
Secara ringkasnya, OnePlus 11 dilihat mewarisi DNA rekaan OnePlus 10T dan OnePlus 10 Pro. Sejurus keluar kotak, OnePlus 11 menjalankan sistem operasi OxygenOS 13 berasaskan Android 13.
Buat anda yang tak biasa, OxygenOS OnePlus adalah ColorOS OPPO yang dijenamakan semula. Mereka tidak langsung berselindung tentang fakta itu. Kedua-duanya menggunakan falsafah rekaan “Aquamorphic”. Tidak mengapalah, asalkan ia berfungsi seperti yang sepatutnya.
Bermula dengan halaman perumah, antara mukanya sama sahaja seperti yang lain. Anda ada docking yang boleh memuatkan sehingga 5 ikon dengan desktop yang boleh diisi dengan ion dan juga widget.
Bakul aplikasi boleh diakses dengan meleretkan jari ke atas dan navigasi seperti back dan task manager boleh dilakukan secara lenggok jari, tanpa butang digital.
Beberapa ciri menarik yang ingin diketengahkan OnePlus dan saya rasakannya sesuatu yang unik adalah seperti Always-on Display (AOD) yang menyokong Spotify. Sewaktu anda mendengar Spotify, di halaman AOD akan dipaparkan maklumat yang lebih banyak daripada biasa. Anda boleh lakukan kawalan terhadap muzik dan juga melihat lagu apa yang ada dalam playlist anda tanpa perlu buka kekunci telefon.
Lagi tentang AOD adalah satu fungsi seakan Well-being pada Android. Apabila dihidupkan, ia akan paparakan berapa kalikah telefon telah dinyahkunci pada hari tersebut. Anda boleh ketahui berapa bergantungnya saya kepada telefon.
Kemudian, ada juga fungsi yang saya masukkan dalam kategori quality of life seperti bar sisi terapung. Dengan ciri ini, anda boleh lancarkan aplikasi dalam mode tetingkap dan berinteraksi dengannya seperti biasa. Ciri yang sangat berguna sekiranya anda ingin rujuk nota ataupun menggunakan kalkulator tanpa perlu berubah-ubah tetingkap.
Secara keseluruhan, tiada isu bug ataupun lagging saya alami sepanjang penggunaannya. Tidaklah menghairankan kerana ia diperkasa siri cip pemproses terhebat masa ini. OnePlus 11 diperkasa SoC Snapdragon 8 Gen 2 yang berkuasa. Bolehlah dikatakan ini cip paling berkuasa dalam pasaran setakat ini sekiranya tidak mengambil kira Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy.
Sebanyak dua pilihan kombinasi RAM dan storan boleh dipilih. Pertama, RAM 8GB + 128GB dan satu lagi RAM 16GB + 256GB
Bermain permainan berat pada tetapan tertinggi juga bukanlah satu masalah kepada telefon ini. Seperti biasa, bila melakukan tugasan berat, akan terasa sedikit suam sewaktu memegang telefon tapi tidaklah sesuatu yang merencatkan penggunaan.
Buat anda yang berminat dengan penanda aras sintetik saya jalankan Geekbench dan dua ujian 3DMark iaitu Wild Life dan Wild Life Extreme. Ujian Wild Life mencatatkan skor maksimum dan sistem menyarankan saya untuk jalankan Wild Life Extreme yang lebih mencabar untuk telefon ini.
Pada Wild Life Extreme, ia mencatatkan skor 3,640 mata tapi skor meningkat kepada 3,715 (2%) apabila mode High Performance telefon dihidupkan. Perkara yang sama juga boleh dilihat pada skor Geekbench ujian ekateras. Skor meningkat sebanyak 28% dengan mode High Performance (1,469 vs. 1144).
Cap Hasselblad kembali, begitu juga dengan gimik
Beralih kita ke bahagian pengimejan. Perkara paling ketara bila anda lihat di bahagian belakang adalah cap jenama Hasselblad yang pertama kali hadir pada OnePlus 9, kemudian di OnePlus 10 Pro tapi hilang pada OnePlus 10T dan kini kembali semula ke OnePlus 11.
Ia bermakna ada sentuhan Hasselblad pada sistem pengimejan model kali ini. Sebahagian besar penglibatan Hasselblad adalah pada aspek penalaan hasil gambar, misalnya pada warna agar apa yang anda lihat sehampir mungkin dengan keadaan sebenar.
Sebanyak tiga buah kamera belakang boleh ditemui pada OnePlus 11. Untuk iterasi kali ini, mereka menggunakan semua sensor Sony, bermula dengan kamera utama 50MP IMX890. Kemudian kita ada kamera ultralebar 48MP IMX581 dan kamera belakang ketiga adalah telefoto 32MP IMX709. Akhir sekali adalah kamera selfie 16MP IMX471.
Berbanding dua model sebelum ini, di OnePlus 10 Pro dan 10T, pengeluarnya menggunakan campuran sensor pengimejan daripada Samsung dan OmniVision. Sekurang-kurangnya pada saya, sensor Sony dirasakan lebih atas berbanding pesaingnya.
Satu ciri yang saya rasakan gimik pada telefon ini adalah XPan Mode yang pertama kali diperkenalkan pada OnePlus 9. Ia adalah ciri yang mensimulasikan gaya gambar kamera XPan Hasselblad tapi untuk telefon saya rasakan ia tak menjadi kerana dihadkan pada perkakasan.
XPan yang sebenar menggunakan dua bingkai 35mm dan lensa khas yang menghasilkan gambar dalam nisbah 65:24. Dalam era digital yang sensornya elektronik, semestinya hasil gambar XPan cuma sekadar mimik sahaja. Ia dengan mudah boleh direplikasi pada mana-mana aplikasi penyuntingan gambar.
Saya boleh dapatkan hasil yang sama ataupun lebih baik dengan mana-mana kamera pada OnePlus 11 tanpa gunakan XPan mode dan lebih baik, saya ada gambar asal yang besar untuk disimpan.
Untuk sebuah telefon dengan cap Hasselblad, aplikasi kamera OnePlus 11 saya anggapnya sebagai “meh”. Tiada fungsi-fungsi tambahan yang boleh jadi pembeza antaranya dengan pesaingnya yang lain terutamanya dalam mode mengambil video.
Telefon seperti Galaxy S22 sudah menyediakan fungsi merakam video dengan mengambil audio daripada sumber Bluetooth. Kenapa flagship ini tiada? Slow motion pada peranti pesaing boleh pergi sehingga 960fps. Kenapa flagship ini tiada?
[s23 sumber bluetooth]
Secara keseluruhannya kita boleh rumuskan yang ada naik taraf komponen pada kamera tapi adakah ia diterjemah kepada kualiti gambar yang baik? Berikut adalah beberapa hasil gambar yang ditangkap menerusi lensa OnePlus 11.
Berbaloi atau tak?
Secara keseluruhannya, OnePlus 11 adalah sebuah peranti flagship yang baik. Ia berfungsi seperti sepatutnya kecuali di beberapa tempat yang saya sebutkan di atas. Satu pemboleh ubah yang masih tiada dalam formula keberbaloian adalah harganya. Kita tak tahu lagi berapakah harga jualan OnePlus 11 di Malaysia kelak.
Yang pasti, sekiranya ia lebih mahal berbanding Samsung Galaxy S23+, makanya ia jatuh dalam kategori tidak berbaloi kerana telefon ini tiada kekalisan air IP68 apatah lagi pengecasan wayarles.
Kita sudah tahu harga siri Galaxy S23 dan Galaxy S23+ memiliki julat harga RM3,899 hingga RM5,199 bergantung kepada storan. Kalau OnePlus bijak, mereka boleh letakkan varian RAM 16GB + Storan 256GB pada harga RM4,699 hanya untuk kacau Galaxy S23+ 256GB pada harga yang sama tapi cuma ada RAM 8GB.
Satu lagi pesaing yang perlu ia atasi adalah iQoo 11 5G yang boleh didapatkan dalam Malaysia pada harga RM3,499. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan storan 256GB. Mungkin kameranya tidak ada cap Hasselblad, tapi di bahagian lain ia boleh dengan mudahnya bersaing seperti pengecasan pantas 120W dan batteri 5,000mAh.
iQoo 11 tiba dengan prestasi tertinggi di Malaysia: Snapdragon 8 Gen 2, LPDDR5X dan UFS 4.0
Itupun kita masih belum mengambil kira Xiaomi yang akan lancarkan peranti Snapdragon 8 Gen 2 mereka yang pastinya ada tanda harga kompetitif. Golongan agnostik jenama sudah tentu akan cari yang termurah ataupun yang paling berbaloi tanpa mengira jenama. Yang pastinya akan membeli OnePlus adalah peminat jenama itu sendiri.
Namun, melihat pada harga di pasaran-pasaran lain, saya dapati ada harapanlah untuk kita jangkakan OnePlus 11 pada harga kompetitif. Misalnya, harga di A.S adalah seperti berikut:
- 8GB + 128GB – USD699 (RM3,007)
- 16GB + 256GB – USD799 (RM3,438)
Seperti saya cakapkan di awal artikel, masalah terbesar OnePlus adalah tanda harga. Saya tiada masalah dengan spesifikasinya. Semoga berjaya OnePlus!