Realme 10 adalah model ketiga dalam siri Realme 10 yang dilancar di Malaysia. Akhir tahun lepas, Realme Malaysia telah melancarkan Realme 10 Pro dan Realme 10 Pro+ untuk pasaran tempatan. Kini, mereka membawa pula telefon pintar yang lebih rendah kuasa, lebih kecil dan pastinya lebih murah sebagai pilihan terbaru untuk pengguna di Malaysia.
Sebagai telefon pintar kelas pertengahan, Realme 10 memiliki banyak saingan dalam julat harga di bawah RM1,000. Apatah lagi apabila ia tidak menyokong rangkaian 5G, sedangkan ada pilihan peranti 5G boleh didapati di bawah RM1,000.
Apa kelebihan atau kekurangan Realme 10? Di sini, Najib berkongsi ulasan menggunakan Realme 10 dan bercerita tentang apa tarikan atau kelemahan yang ada di telefon pintar ini. Anda boleh menonton video ulasan, atau teruskan membaca di bawah:
Spesifikasi Realme 10
Sebelum pergi lebih mendalam tentang Realme 10, kita semak dahulu spesifikasi ringkas telefon ini.
- Cipset: Mediatek Helio G99 6nm
- RAM: LPDDR4x 8GB + maya 8GB
- Storan: UFS 2.2 256GB, kad MikroSD sehingga 1TB
- Skrin: Super AMOLED 6.4″, FHD+ 2400×1080, 90Hz, 1,000nits
- Kaca: Corning Gorilla Glass 5
- Bateri: 5,000mAh
- Pengecas: SuperVOOC 33W USB-C
- Kamera Hadapan: 16MP
- Kamera Belakang: 50MP + 2MP
- OS: Realme UI 3.1 berasaskan Android 12
- Speaker: Mono, jek audio 3.5mm
Rekaan badan dan skrin kecil molek
Saya suka saiz badan Realme 10 ni, saiz 6.4-inci memang sedap dipegang dan diguna sebelah tangan. Walaupun bingkai ini rata dan sangat mirip rekaan iPhone 14, tetapi tidak tajam sebab bingkai ni menonjol sikit keluar, semacam ada lengkung yang sedap dipegang.
Bahagian belakang ni memang nampak sangat cantik dengan kemasan bak kerlipan bintang. Tetapi ia terlalu licin dan menyimpan banyak capjari. Jadi pengguna kena rajin membersihkan capjari kalau nak nampak selalu cantik, atau pasang sahaja pelindung getah lutsinar yang ada diberikan percuma di dalam kotak.
Skrin AMOLED ini pun bagus, ada kecerahan tinggi yang jelas nampak bawah matahari di luar. Cuma, bingkai di bawah terlalu tebal berbanding sisi lain. Seperti 3 kali lebih tebal daripada bahagian di atas, agak pedih juga mata memandangnya kalau terlalu teliti. Tetapi apa yang lebih mengecewakan adalah antaramuka Realme UI, sebab banyak sangat iklan dan aplikasi bloatware.
Masa pertama saya hidupkan telefon, App Market Realme ni pandai-pandai pasang sendiri game yang tidak diketahui apa. Kalau applikasi utiliti, gambar atau video tu, masih boleh diterima lagi. Ini pasang game, nannti makan banyak ruang storan pula. Antaramuka MIUI di Xiaomi dahulu ada banyak blotware dan iklan macam Realme UI ni, tapi sekarang dah kurang. Nampaknya Realme UI mahu ambil alih tempat MIUI, jadi saya terpaksa buang bloatware tersebut satu persatu.
Kamera berkurangan, diganti proses lebih baik
Sebenarnya saya tidak letak harapan tinggi sangat untuk kamera, sebab Realme 10 ni cuma dua kamera belakang dan tiada kamera ultralebar. Kamera telefoto kalau tiada tak apa lagi, boleh zum digital. Kamera ultralebar ni bila tiada, kena menapak ke belakang. Kalau tak ada ruang ke belakang, tak dapatlah ambil gambar. Tambahan lagi, Realme 9 dulu ada kamera ultralebar.
Tapi saya terkejut juga dengan hasil gambar telefon ni, terutama waktu malam. Sebab, ia boleh tangkap gambar malam dengan cepat dan proses HDR yang bagus. Saya tak perlu tunggu Night Mode lama macam 5 saat nak ambil gambar malam. Proses HDR bagus ni pula, kalau tengok gambar yang banyak lampu, akan ada bahagian terlalu cerah atau terlalu gelap. Tapi kamera Realme 10 proses HDR cepat dan hasilnya, gambar lampu dan awan di langit masih jelas kelihatan. Bagi saya, ini hasil yang bagus untuk telefon dalam harga sebegini.
Hasil tangkapan kamera Realme 10
Untuk persekitaran cerah, kamera belakang dan kamera hadapan Realme 10 menghasilkan gambar yang baik. Gambar swafoto potret juga kelihatan cantik, dengan proses latar kabur serta objek jelas tajam dipisahkan dengan tepat.
Prestasi tidak tinggi, masih lancar bermain game
Untuk menguji prestasi Realme 10, saya cuba bermain game yang memerlukan proses tingg iaitu Genshin Impact. Permainan dapat digerakkan dengan lancar, tidak terasa lengah atau bingkai gambar tersangkut-sangkut. Apabila disemak tetapannya, ia ditetapkan terendah. Menariknya, tidak ketara kelihatan petak piksel walaupun dengan tetapan rendah. Tetapi apabila diubah sedikit tetapan grafik, FPS dinaikkan daripada 30 ke 60, baru jelas kelihatan lengah dan petak piksel.
Jadi dengan Realme 10 ini, saya boleh menang lawan bos dengan senang sebab game tak sangkut-sangkut. Telefon pun tak panas sangat, tak macam saya main di Black Shark 5 Pro. Mungkin sebab Realme 10 ni prestasi rendah. Secara kesimpulan untuk prestasi ni, saya berpuas hati dengan Realme 10.
Sambil itu, jika ada yang mahukan keputusan tanda aras, saya kongsikan dapatan daripada Geekbench. Markah 571 dicatat untuk teras tunggal dan 1760 bagi pelbagai teras. Ia memberi makna, prestasi Realme 10 lebih baik daripada Helio G90T dan Snapdragon 845. Tetapi dua ini cip yang sudah lama. Selain itu, Helio G99 ni bawah sikit sahaja daripada Snapdragon 855.
Hayat bateri sehingga 48 jam
Ini satu aspek yang saya sangat berpuas hati. Selepas menggunakannya seharian sampai esok pagi, saya dapat masa skrin hidup selama 5 jam 53 minit dan masa penggunaan sepanjang 16 jam 56 minit. Antara aplikasi yang banyak digunakan adalah Tiktok dan Twitter, main game Genshin Impact dan pokemon go, serta guna Waze untuk navigasi pemanduan. Maknanya, saya boleh dapat 2 hari dengan mudah di Realme 10 untuk penggunaan biasa.
Mengecas bateri pula, kuasa SuperVOOC 33W ni saya dapati ia mengecas dari 1-50% dalam masa 33 minit dan cecah 100% lepas 80 minit atau 1 jam 20 minit. Masa mengecas ini hampir dengan apa yang Realme katakan, iaitu 100% dalam 70 minit. Tidak teruk sangat, agak baik untuk telefon di bawah RM1,000.
Sistem bunyi kuat tetapi tidak seimbang
Satu lagi perkara yang Realme iklankan sebagai kelebihan Realme 10 adalah speaker. Bunyinya kuat, boleh naik sehingga 200%. Ini pun saya setuju, bunyinya memang lantang. Cuma untuk main game kurang selesa, sebab speakernya mono bukan stereo. Kedengaran agak pelik sebab bunyi hanya sebelah sahaja. Tetapi Realme 10 masih ada jek audio, jadi boleh cucuk fon telinga berwayar untuk mendengar lebih menarik.
Pesaing lain tidak secomel Realme 10
Sebagai kesimpulan, pada harganya di bawah RM1,000, Realme 10 ada prestasi yang baik, skrin yang cerah dan hasil kamera yang memuaskan. Tiada 5G bukan masalah, sebab masih tak penting ada 5G di Malaysia. Cuma kalau ada 5G, lebih best sebab boleh pakai lama sikit. Cuma, tolonglah jangan letak bloatware dan paksa install game yang pengguna tak nak main. Sakit hati sikit dengan bloatware ini. Tambahan lagi, dengan harga ini dapat RAM 8GB dan storan 256GB memang sangat bagus. Slot kad mikro SD pun ada berasingan dari kad SIM. Jadi boleh guna serentak dua kad SIM dan kad mikro SD.
Pesaing Realme 10 dalam harga ni, adalah seperti Infinix Note 12 2023 yang spesifikasi hampir semua sama dengan Realme 10 tapi harga RM899, lagi murah. Skrinnya besar sikit 6.7-inci dan ada speaker stereo.
Selain itu, satu lagi pesaing adalah Redmi Note 11 Pro yang harga RM999, tetapi guna cip Helio G96, RAM 6GB dan storan 128GB. Kelebihan dia, skrin AMOLED 6.67-inci 120Hz serta kamera utama 108MP, ada kamera ultra lebar dan pengecas 67W.
Kalau banding dengan Infinix Note 12 2023 dan Redmi Note 11 Pro, Realme 10 ni pilihan lebih menarik sebab badan dan skrinnya kecil, serta storan besar. Adakah saiz perkara yang penting untuk anda? Jika mahu kompak, Realme 10 memang lebih baik kerana pretasi dan kameranya tidak jauh ketinggalan berbanding pesaing dalam harga yang serupa.
Jika berminat untuk membeli Realme 10, dapatkannya di Stor Rasmi Realme di Lazada dan Shopee.