Honda Malaysia kini mengumumkan hasrat mereka untuk menerobos ke pasaran Perodua dan Proton, dengan melancarkan model baru tidak lama lagi, Honda WR-V. Kereta SUV kompak mirip Perodua Ativa ini dijadualkan akan dilancar di Malaysia pada suku ketiga 2023.
Sebenarnya, Honda Malaysia belum mengumumkan nama rasmi model ini. Apa yang diperlihatkan kepada media adalah gambaran model tersebut di dalam gelap. Tetapi ia jelas kelihatan adalah Honda WR-V seperti mana yang telah dilancar di Thailand dan Indonesia.
Honda WR-V adalah SUV kompak dan terletak di bawah Honda HR-V dari segi saiz dan harganya. Malah, ia sebenarnya model generasi kedua, menggantikan generasi pertama yang dibina berasaskan Honda Jazz serta agak serupa dengan Brio Hatchback dan Amaze Sedan (kedua-duanya tidak dijual di Malaysia).
Memandangkan Honda WR-V telah dilancar di Thailand dan Indonesia, spesifikasi penuh dan maklumat lanjut tentangnya boleh diketahui dari sana. Ia memiliki ukuran 4,060 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,608 tinggi. Ukuran ini 5 mm lebih pendek, 70 mm lebih lebar dan 27 mm lebih rendah berbanding Ativa. Jarak roda WR-V pula adalah 2,481 mm, kurang 44 mm daripada Ativa.
Mengapa terlalu banyak dibandingkan dengan Ativa? Ini kerana rupa WR-V yang sangat serupa dengan Ativa. Antaranya lampu hadapan dan belakang trapezoid, jeriji heksagon yang besar, nombor plat belakang yang dipasang pada bampar, serta cat badan berwarna merah (dipanggil Ignite Red Metallic) dan pilihan bumbung berwarna hitam. Satu ciri unik padanya adalah pemegang pintu belakang tersembunyi, rekaan yang serupa dengan HR-V.
Rekaan dalaman WR-V pula banyak diinspirasikan daripada BR-V model baru (tidak akan dijual di Malaysia). Antaranya salur pendingin udara tengah yang tinggi, unit infotaimen yang menonjol dan kawalan digital pendingin udara. Skrin sentuh infotaimennya seluas 7-inci, lebih kecil daripada yang ada di City dan HR-V dengan skrin 8-inci. Tetapi di Ativa, ia lebih besar dengan saiz skrin 9-inci. Infotaimen WR-V ini menyokong akses Apple CarPlay dan Android Auto, ciri penting yang tiada di Ativa dan dijangka tersedia untuk semua varian WR-V.
Selain itu, perkara lain yang hadir pada WR-V adalah lampu LED di hadapan dan belakang, lampu kabus hadapan LED, pilihan rim 16 dan 17-inci, sistem kemasukan tanpa kunci (keyless-entry) dengan kunci automatik, butang menghidupkan enjin (push-start button), pendingin udara automatik, enam pembesar suara, enam beg udara dan kawalan kestabilan. Di Thailand, antara ciri menarik yang aada ialah kunci kad pintar seperti di Civic e:HEV, tetapi dijangka tidak ada untuk model di Malaysia bagi mengurangkan harganya.
Dari segi teknologi, WR-V akan hadir dengan sistem penyelesaian Honda Connect seperti fungsi kawalan jarak jauh dan perkhidmatan kecemasan, membolehkan pengguna mengawal kunci pintu dan lampu, serta menghidupkan enjin melalui aplikasi telefon pintar. Yang kurang menariknya, WR-V tiada papan pemuka digital seperti yang terdapat di Ativa dan Proton X50. Sebaliknya ia menyediakan dail analog bersama skrin maklumat kecil 4.2-inci di tengah.
Kelebihan lain pada WR-V adalah teknologi keselamatan aktif Honda Sensing terbina padanya. Ia hadir dengan ciri-ciri seperti brek kecemasan berautonomi, kawalan kelajuan adaptif dan bantuan ke tengah laluan, menjadikan ia pemanduan separa-berautonomi Tahap 2. Jika tawaran di Malaysia serupa dengan Thailand, teknologi keselamatan ini mungkin menjadi standard untuk semua varian, ciri penting di WR-V untuk mengatasi tawaran Proton X50.
Walaupun nama WR-V agak baru di Asia Tenggara, pengguna di Malaysia pasti tidak merasa kekok dengan kuasa enjinnya. WR-V dibekalkan dengan enjin petrol VTEC 1.5-liter empat-silinder. Ia adalah enjin petrol yang sama dengan Honda City sedan, hatchback serta Honda HR-V 1.5 E. Enjin ini menghasilkan kuasa 119hp dan tenaga kilas 145nm, dihantar ke tayar hadapan menerusi teknologi CVT (continuously variable transmission).
Berapa harga Honda WR-V?
Memandangkan Honda WR-V dipasarkan sebagai SUV kompak dan lebih mampu dimiliki, sudah pasti harganya di bawah Honda HR-V yang dijual bermula dari RM114,800 tanpa insuran. Jurang ini agak besar jika dibandingkan dengan Proton X50 (bermula dari RM83,600) dan Perodua Ativa (model tertinggi berharga RM72,600).
Ada laporan menyatakan yang harga Honda WR-V akan bermula dari RM82,000. Ia kelihatan sangat murah untuk Honda, tetapi jika dijual pada harga RM90,000 sekalipun, ia akan memberi saingan ketat kepada Proton X50, malah menarik minat bakal pembeli Perodua Ativa juga. Ini kerana logo ‘H’ sentiasa berada tinggi di mata pengguna di Malaysia. Jika ada model Honda yang berharga hampir dengan Perodua dan Proton, sudah pasti Honda menjadi pilihan di hati.