CelcomDigi hari ini mengumumkan pelan pertama mereka selepas syarikat Celcom dan Digi bergabung. Ia adalah pelan jalur lebar tetap yang menyediakan rebat khas untuk pelanggan pelan pascabayar Celcom atau Digi, serta bukan pelanggan juga.
Pelan CelcomDigi Fibre menawarkan jalur lebar tetap dengan kuota tanpa had, serta pilihan kelajuan sehingga 300Mbps dan disertakan penghala WiFi 6 tanpa caj tambahan. Selain itu, terdapat juga tawaran bersama iaitu TV Pintar Samsung dengan bayaran secara ansuran dan rebat sehingga RM2,280.
Terdapat tiga pelan CelcomDigi Fibre diumumkan iaitu pelan 50Mbps RM90/bulan dengan kelajuan muat turun 50Mbps dan muat naik 20Mbps. Kedua adalah pelan 100Mbps RM130/bulan yang menyediakan kelajuan muat turun 100Mbps dan muat naik 50Mbps. Ketiga pula pelan 300Mbps RM150/bulan yang memiliki kelajuan muat turun 300Mbps dan muat naik 100Mbps.
Rebat untuk pelanggan pascabayar Celcom & Digi
Untuk pelanggan pelan pascabayar Celcom dan Digi, rebat diberikan berdasarkan jenis pelan yang dilanggan. Untuk pelan berharga RM60 ke RM89 sebulan, rebat RM15 diberikan untuk pelan 50Mbps dan rebat RM30 bagi pelan 100Mbps dan 300Mbps.
Pelanggan pelan pascabayar RM90 ke atas, akan menerima rebat RM10 untuk pelan 50Mbps, rebat RM40 bagi pelan 100Mbps dan rebat RM50 jika melanggan pelan 300Mbps.
Rebat ini dinikmati oleh pelanggan sepanjang kontrak 24 bulan sahaja. Selepas tamat kontrak, ia kembali kepada harga asal tanpa diskaun.
Rebat untuk bukan pelanggan pascabayar Celcom & Digi
Kepada pengguna yang tidak melanggan pelan pascabayar Celcom atau Digi, kelihatan rebat lebih banyak disediakan. Menurut CelcomDigi, rebat sebanyak RM40 diberikan untuk pelan 100Mbps, menjadikan harganya cuma RM90/bulan. Manakala pelan 300Mbps akan menerima rebat RM75 atau 50%, jadi harga langganan hanya RM75/bulan. Harga promosi 300Mbps nampak lebih murah daripada 100Mbps.
Tetapi rebat ini diberikan selama 6 bulan sahaja. Mulai bulan ke-7, perlu membayar harga asal pelan. Jika ada melanggan pelan pascabayar Celcom atau Digi selepas melanggan pelan CelcomDigi Fibre, anda boleh menikmati rebat khas untuk pelanggan pascabayar selepas itu.
Tawaran TV Pintar Samsung
Pelanggan CelcomDigi Fibre juga berpeluan membeli TV Pintar Samsung pada harga menarik dan secara ansuran. Tetapi tawaran ini hanya untuk pelanggan pelan 300Mbps sahaja. Manakala bayaran ansuran bukan dibuat menerusi bil jalur lebar tetap, sebaliknya melalui kad kredit bank terpilih.
Terdapat tiga model TV Pintar Samsung yang ditawarkan iaitu 50-inci, 55-inci dan 65-inci. Harga yang ditawarkan adalah seperti berikut:
- TV Pintar Samsung 50″ Crystal 4K UHD –
RM2,899RM1,536 - TV Pintar Samsung 55″ Crystal 4K UHD –
RM3,399RM1,776 - TV Pintar Samsung 65″ Crystal 4K UHD –
RM4,399RM2,280
Manakala ansuran sehingga 24-bulan tersedia untuk pengguna kad kredit Maybank dan CIMB sahaja. Selain itu, pengguna perlu membayar terus harga TV selepas diskaun. Boleh rujuk ruangan soalan lazim di sini untuk maklumat lanjut.
Apa penalti jika berhenti langgan sebelum tamat kontrak?
Merujuk kepada ruangan soalan lazim (FAQ), semua pelan akan dikenakan kontrak selama 24 bulan. Jika mahu menghentikan langganan sebelum tamat kontrak, caj pemberhentian awal yang akan dikenakan adalah minima RM500 atau harga pelan x baki bulan kontrak, yang mana lebih tinggi.
Jika pelanggan mahu berpindah rumah, boleh memohon kepada CelcomDigi dan membawa perkakas sedia ada ke tempat baru untuk pemasangan. Tetapi ia hanya boleh dibuat jika rumah baru termasuk dalam kawasan liputan. Jika tiada liputan, pengguna akan dikenakan caj pemberhentian awal seperti di atas.
Pemindahan pemilikan akaun kepada orang lain tidak dibenarkan. Bagaimanapun, penurunan pelan dalam tempoh kontrak adalah dibenarkan dengan caj RM50 dikenakan.
Kepada yang berminat untuk melanggan atau mengetahui lebih lanjut tentang pelan jalur lebar tetap baru ini, boleh layari laman web CelcomDigi Fibre. Anda juga boleh menyemak kawasan liputan CelcomDigi Fibre di sini.