Tidak dinafikan, kanak-kanak dan remaja hari ini banyak meluangkan masa di dalam talian serta memiliki peranti pada usia yang sangat muda. Ada yang gunakannya untuk belajar, hiburan dan berhubung dengan rakan. Perkara ini menjadikan ibu bapa perlu mengambil berat tentang keselamatan anak-anak semasa menggunakan Internet, supaya mereka tidak terdedah dengan kandungan yang tidak sesuai dengan usia.
Hari ini, Google telah anjurkan meja bulat media mengenai topik Keselamatan Dalam Talian untuk Kanak-Kanak & Keluarga. Menurut Ketua Komunikasi Google Malaysia, Nadia Khan, lebih daripada 70% ibu bapa telah benarkan peningkatan masa skrin untuk kanak-kanak semasa pandemik. 3 dalam 4 kanak-kanak menghabiskan purata 1-6 jam dalam talian setiap hari. Tinjauan Kanak-Kanak & Keluarga yang dijalankan mereka baru-baru ini menunjukkan bahawa kanak-kanak berumur sepuluh tahun di Malaysia sudah mula berada dalam talian.
Pada bulan Ogos 2022, Google telah terbitkan cerapan Keselamatan Kanak-Kanak & Keluarga tentang cara ibu bapa Malaysia urus penggunaan teknologi anak-anak dan memastikan mereka selamat dalam talian. Tinjauan itu dijalankan di Asia Pasifik dengan saiz sampel 4,500 ibu bapa dengan anak berumur antara 5 hingga 17 tahun.
Berdasarkan tinjauan, didapati bahawa ibu bapa di Malaysia menyenaraikan isu-isu ini sebagai kebimbangan utama mereka:
- Privasi dan keselamatan
- Kandungan yang tidak sesuai
- Memahami perbezaan antara perkara sebenar dan palsu
Adakah anda juga bimbang mengenai perkara tesebut? Jika ya, anda boleh guna 3 alat di bawah ini untuk memastikan anak anda sentiasa selamat di dalam talian.
Keselamatan anak-anak dengan Google
Google Malaysia mencadangkan tiga peralatan ini untuk ibubapa iaitu YouTube Kids, Fanily Link dan Be Internet Awesome.
Anak-anak tidak terlepas dari menggunakan Internet untuk cari bahan hiburan. Namun, untuk memastikan mereka tonton video yang sesuai dengan usia, anda boleh perkenalkan mereka dengan YouTube Kids. Ia didatangkan penuh dengan kawalan ibu bapa. Melaluinya, anda boleh pilih sendiri setiap video dan saluran untuk anak. Ada juga pemasa terbina untuk membantu hadkan masa skrin anak-anak.
Anda juga boleh guna Family Link untuk urus dan ketahui aktiviti anak di dalam talian. Melaluinya, anda boleh tetapkan peraturan asas seperti hadkan masa skirn, kawal aplikasi yang boleh dan tidak boleh di buka, tapis carian Google dan banyak lagi.
Di samping itu, Google juga ada perkenalkan sebuah program untuk bantu guru dan ibu bapa mengajar keselamatan digital kepada kanak-kanak iaitu Be Internet Awesome. Ia tampilkan permainan interaktif dipanggil Interland yang membantu kanak-kanak belajar mengenai keselamatan dalam talian dalam cara yang menyeronokkan. Ini dapat bantu kanak-kanak menjaga tata-tertib dalam talian, memahami laman web mana yang selamat dan bertindak balas dengan lebih yakin kepada pembulian siber.
Bimbang Buli Siber
Seorang ibu kepada 2 anak perempuan iaitu Jenny Lim berkongsi pengalaman peribadinya dalam memastikan anak-anaknya selamat di dalam talian. Memetik pembulian siber sebagai kebimbangan terbesar, Jenny akan menetapkan had masa skrin untuk dua anak perempuannya terutama pada hari bekerja. Mengenai penyemakan peranti anak-anak, dia biasanya akan beritahu mereka bahawa dia mempunyai akses kepada alat itu tetapi tidak akan menyemaknya. Jika perlu, dia hanya akan memeriksa peranti mereka di hadapan mereka.
Pendapat saya, cara paling mudah untuk memastikan anak selamat di dalam talian adalah dengan menggunakan Family Link. Di situ anda boleh pantau semua aktiviti, ikuti perkembangan anak-anak dan tetapkan peraturan dalam telefon pintar mereka. Anda boleh tonton cara gunakan Family Link di bawah.