Bertempat di pentas antarabangsa, Asus ROG melancarkan telefon gaming terbaru mereka, ROG Phone 7. Tidak banyak perubahan pada model kali ini, tetapi Asus membawakan kejutan besar pada sistem penyejuk Aerocooler 7.
Kali ini, hanya ada dua model dilancar di bawah keluarga ROG Phone 7 iaitu model asas ROG Phone 7 dan model lebih hebat ROG Phone 7 Ultimate. Tiada model Pro diperkenal kali ini, mungkin dibuat kerana ROG Phone 7 Ultimate lebih mirip kepada ROG Phone 6D Ultimate, berbanding ROG Phone 6 Pro.

Berikut adalah varian dan harga jualan yang diumum untuk pasaran di Eropah:
- ROG Phone 7 (RAM 12GB + Storan 256GB) – EUR999 (~RM4,845)
- ROG Phone 7 (RAM 16GB + Storan 512GB) – EUR1,199 (~RM5,815)
- ROG Phone 7 Ultimate (RAM 16GB + Storan 512GB) – EUR1,399 (~RM6,785)


Harga ini dilihat naik sikit berbanding ROG Phone 6 tahun lepas. Berkenaan jualan di Malaysia, Asus Malaysia menyatakan ia akan dilancar di sini pada 10 Mei 2023. Harganya masih tidak diketahui, tetapi dijangka akan meningkat seperti harga di Eropah.
Sebagai rujukan, harga pelancaran ROG Phone 6 di Malaysia tahun lepas adalah seperti berikut:
- ROG Phone 6 (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM3,599
- ROG Phone 6 (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM4,399
- ROG Phone 6 Pro (RAM 18GB + Storan 512GB) – RM4,999
Spesifikasi ROG Phone 7

Model asas ini masih dilengkapi prestasi tertinggi. Ia dilengkapi cip terbaru Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 2, bersama RAM LPDDR5X sebanyak 12GB dan storan dalaman UFS 4.0 sehingga 512GB. Dengan cip baru ini, ia turut menyokong fungsi ‘Ray Tracing’ yang menjadikan grafik di dalam game kelihatan lebih semulajadi, serta WiFi 7 yang lebih pantas dan stabil.
Di bahagian skrin, boleh dikatakan tiada perbezaan dengan ROG Phone 6. Ia dipasang paparan Samsung AMOLED 6.78-inci, HD Penuh dan kadar penyegaran 165Hz. Naik taraf pada skrin ini adalah tahap kecerahannya, kini mencecah 1,500 nits. Kaca yang melapisi luaran skrin ini pula jenis Corning Gorilla Glass Victus. Pengimbas capjari ada di dalam skrin.
Kamera hadapan dinaik taraf kepada 32MP, terletak di dalam bingkai di atas skrin. Kamera belakang pula ada tiga, gabungan kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 13MP dan kamera makro 5MP. Logo ROG dengan lampu RGB ada dipasang di belakang.

Kapasiti bateri juga kekal sama, 6,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 65W USB-C. port USB-C juga masih ada dua, di bawah dan juga di sisi. Masih tiada sokongan pengecasan wayarles.
Sistem bunyi juga masih sama hebat, dua pembesar suara stereo di bawah dan atas skrin yang menembak ke hadapan. Ia menyokong teknologi bunyi Dirac HD Sound dan Dirac Virtuo. Jek audio juga terdapat di bawah, bagi mereka yang masih gemarkan sistem bunyi berwayar.
Butang bahu ultrasonik di sisi juga tidak berubah. Teknologi AirTrigger 5 menyokong kawalan seperti tekan, leret dan banyak lagi.

Sistem operasi Android 13 dipasang pada ROG Phone 7. Pengguna diberi pilihan untuk menggunakan antaramuka Zen UI atau ROG UI. Warna telefon pula disediakan dua, antara putih dan hitam.
Spesifikasi ROG Phone 7 Ultimate
Versi Ultimate sebenarnya serba-serba serupa dengan model asas, dengan perbezaan sedikit tetapi agak ketara. Prestasi dalamannya serupa, dengan cip Snapdragon 8 Gen 2, RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.0.

Skrinnya juga serupa, AMOLED 6.78-inci HD Penuh 165Hz dan kecerahan setinggi 1,500 nits. Dilapisi kaca Corning Gorilla Glass Victus. Kamera juga sama di hadapan dan belakang. Bateri juga 6,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 65W.
Perbezaan pertama adalah penambahan skrin kedua ROG Vision di belakang. Ia boleh memaparkan beberapa perkara seperti notifikasi, jam dan lain-lain.

Tambahan kedua adalah AeroActive Portal, ruang pengudaraan di belakang yang boleh dibuka untuk disambungkan kepada kipas penyejuk AeroActive Cooler 7. Ini adalah sistem yang pertama kali diperkenal pada ROG Phone 6 Ultimate.
Di samping itu, ROG Phone 7 Ultimate datang siap dengan kipas penyejuk AeroActive Cooler 7 di dalam kotak. Kipas penyejuk ini boleh dikatakan naik taraf terbesar untuk ROG Phone 7.
AeroActive Cooler 7
Berbanding telefon, Asus membuat naik taraf terbesar pada kipas penyejuk AeroActive Cooler 7. Dilengkapi sistem penyejukan beku peltier termoelektrik, ia kini dilengkapi lebih banyak bilah kipas untuk penyejukan 15% lebih baik.
Kali ini, kipas penyejuk ini bukan sahaja menyejukkan di belakang, tetapi ia turut mampu menyalurkan pengudaraan ke hadapan untuk menyejukkan permukaan skrin. Dengan AeroActive Portal, ia boleh menyejukkan bahagian dalaman telefon 20% lebih baik.

Paling menarik, Asus kali ini melengkapi sistem bunyi subwoofer di dalam AeroActive Cooler 7. Ini menjadikan ROG Phone 7 memiliki sistem bunyi 2.1 dengan bass lebih berdentum, apabila disambung dengan AeroActive Cooler 7. Ini adalah yang pertama seumpamanya di dalam telefon pintar. Sistem bunyi 2.1 ini hanya serasi dengan ROG Phone 7 menerusi tambahan pin pogo di sisi.
Butang fizikal tambahan sebanyak 4 butang masihi ada di kipas penyejuk ini. Rekaan telus cahaya diluaskan supaya lebih serasi dengan lampu RGB dan skrin Dolby Vision di belakang ROG Phone 7.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk ROG Phone 7. Nantikan berita tentang pelancarannya di Malaysia daripada kami kelak.
Bacaan Berkaitan
- Konsol Asus ROG Ally adalah produk sebenar, menawarkan prestasi lebih baik berbanding Steam Deck
- ROG Phone 6 Edisi Batman: Maklumat penjualannya di Malaysia
- ROG Phone 6 Edisi Diablo Immortal: Maklumat penjualannya di Malaysia
- Asus ROG Phone 6 & ROG Phone 6 Pro: Maklumat penjualannya di Malaysia
- Asus ROG Phone 6D dijual lebih murah, ada diskaun RM300 untuk pembeli terawal