Balik kampung merupakan satu tradisi buat umat Islam di Malaysia bagi menyambut Hari Raya. Apatah lagi buat mereka yang berjauhan, bekerja di Semenanjung Malaysia tetapi kampung di Sabah atau Sarawak. Kerana itu, menaiki pesawat merupakan pilihan utama mereka yang mahu pulang berhari raya merentasi Laut China Selatan.
Menjangkakan kesesakan yang akan berlaku di lapangan terbang sempena Hari Raya, Malaysia Airlines mengeluarkan kenyataan rasmi yang menasihatkan orang ramai untuk tiba lebih awal di waktu puncak sambutan perayaan.
Malaysia Airlines menyarankan penumpang mereka yang menaiki penerbangan pulang ke kampung antara 17 April sehingga 1 Mei 2023, untuk tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 4 jam lebih awal dari masa penerbangan. Ini untuk memberikan penumpang masa yang mencukupi untuk proses daftar masuk dan semakan dokumen di pelbagai tempat sebelum menaiki pesawat.
Daftar masuk atas talian lebih pantas
Selain itu, penumpang juga dinasihatkan untuk membuat daftar masuk secara atas talian atau di aplikasi mudah alih, dari tempoh 48 jam sehingga 90 minit sebelum penerbangan. Penumpang juga boleh menggunakan kiosk layan diri di KLIA, untuk mencetak tag bagasi dan pas penerbangan. Dengan ini, penumpang tidak perlu beratur di kaunter dan boleh terus pergi ke kaunter daftar bagasi, atau ke pintu perlepasan jika tiada bagasi. Cara ini lebih menjimatkan masa penumpang.
Sementara itu, kaunter daftar masuk akan ditutup 60 minit atau 1 jam sebelum waktu berlepas. Pemeriksaan keselamatan dan imigresen pula dijangka mengambil masa sekitar 45 minit. Penumpang juga perlu berada di pintu perlepasan selewat-lewatnya 30 minit sebelum waktu berlepas.
Khas untuk penumpang ke destinasi luar negara, walaupun anda telah mendaftar masuk layan diri, anda perlu membuat pemeriksaan dokumen di kaunter daftar masuk. Sediakan dokumen pengenalan diri seperti pasport dan kad pengenalan, serta kad MyKID untuk kanak-kanak.
Polisi bagasi kabin
Bagasi kabin adalah beg yang dibenarkan di bawa bersama penumpang ke tempat duduk di dalam pesawat. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada polisi dan peraturan yang telah ditetapkan. Penumpang kelas Ekonomi dibenarkan membawa satu beg bersaiz kabin dan satu barangan persendirian dengan jumlah kedua-duanya tidak melebihi 7kg.
Manakala penumpang kelas Perniagaan, dibenarkan membawa dua beg bersaiz kabin dan satu barangan persendirian, dengan jumlah berat semuanya tidak melebihi 14kg. Barangan persendirian adalah seperti beg bimbit, tas tangan, beg laptop atau beg kamera kecil.
Bagi penumpang yang membawa bayi, mereka dibenarkan untuk membawa salah satu daripada barangan tersebut iaitu:
- Beg keperluan bayi, tidak melebihi 5kg yang mengandungi susu bayi, atau makanan bayi, atau barangan tidur bayi ATAU
- Tempat tidur bayi kecil ATAU
- Kereta Sorong Bayi boleh lipat sepenuhnya bersaiz kabin
Di samping itu, semua penumpang dibenarkan membawa bersama ke dalam pesawat, beg pembelian barangan bebas cukai di lapangan terbang pada hari penerbangan, atau kot tanpa sebarang caj tambahan.
Sentiasa pakai pelitup muka
Semua penumpang juga digalakkan untuk selalu memakai pelitup muka di sepanjang masa. Lebih-lebih lagi jika mereka menunjukkan simptom seperti deman, batuk dan selsema, warga emas, penghidap penyakit kronik, ibu megandung, serta kanak-kanak.
Selain menaiki teksi atau seru pandu (e-hailing) untuk ke lapangan terbang, pengguna di Lembah Klang juga boleh menaiki tren seperti KLIA Ekspress dan KLIA Transit, atau menaiki MRT Laluan Putrajaya. Bagaimanapun, semak waktu perjalanan tren dan kekerapan perjalanan setiap laluan terlebih dahulu untuk merancang masa tiba di lapangan terbang.
Jika masih mencari-cari tiket penerbangan di saat akhir, orang ramai disarankan untuk menggunakan aplikasi atau laman web Malaysia Airlines untuk membuat tempahan, bagi mendapatkan harga tiket terbaik.
Untuk maklumat lanjut mengenai kenyataan ini, layari laman web Malaysia Airlines.
[Sumber: Malaysia Airlines]