Huawei bukanlah satu jenama asing lagi dalam segmen penjejak kecergasan. Mereka menawarkan pelbagai produk penjejak kecergasan dari harga mampu milik hingga mampu tengok. Pada April tahun lepas, Huawei telah melancarkan Band 7, sebuah penjejak kecergasan yang kecil dan ringan tapi sarat dengan ciri-ciri kesihatan. Lebih penting, harganya pun sangat mampu milik. Kali ini Huawei telah kemas kini siri Band dengan membawakan model terbaru iaitu Band 8.
Bila bercakap pasal Huawei kan, mesti ada timbul persoalan macam mana pula dengan perkhidmatan Google? nanti tak boleh nak akses banyak benda? Lupakan keraguan anda kerana untuk Band tangan, tak perlu ada servis Google pun tidak apa. Cukup hanya menjadi penjejak kecergasan dan kesihatan, atau menotifikasikan telefon di pergelangan tangan.
Bagaimanapun, apa yang baru pada Band 8 ini dan bagaimana prestasinya dalam kehidupan seharian? Dalam reviu ini saya akan kongsikan pengalaman saya bersama band ini setelah seminggu gunakannya.
Bentuk fizikal kecil dan ringan, ibarat tak pakai apa-apa
Jika nak dibandingkan dengan Band 7, memang tiada banyak perubahan pada luaran Band 8, iaitu satu perkara yang baik kerana Band 7 mempunyai pakej paparan dan binaan yang baik. Tapi, dimensi Band 8 ini lebih kecil sedikit dari Band 7 dengan saiz skrin masih kekal sama. Jadi pemilik Huawei Band 7 tidak perlu fikir untuk menaik taraf ke Band 8.
Untuk paparan, Huawei Band 8 ada skrin sentuh berpanelkan AMOLED 1.47-inci pada 282 piksel per inci. Walaupun skrinnya kecil, saya tiada masalah untuk mengemudikan aplikasi di dalamnya dan skrin masih boleh dilihat dengan jelas apabila menggunakannya di bawah cahaya matahari.
Meskipun ada badan yang kecil, Band 8 ada prestasi bateri yang cukup bagus. Boleh tahan sehingga 9 hari dalam penggunaan biasa. Apabila jam ditangan, Band 8 seolah berikan perasaan seperti tidak pakai jam kerana ianya terlalu ringan dengan mendukung berat hanya 14g.
Untuk mengawal jam, ada satu butang di bahagian kanan untuk kunci dan buka jam. Selebihnya anda boleh sentuh sahaja skrin untuk akses aplikasi dan fungsi-fungsi.
Andaikata nak tukar tali jam, anda boleh lakukan secara mudah dengan tekan di butang yang terdapat di bawah jam.
Ada ciri dan sensor yang cukup untuk kegunaan sukan dan kesihatan
Disebabkan luaran Band 8 ini tidak jauh beza dengan Band 7, kita boleh jangkakan sensor yang terdapat pun lebih kurang serupa. Oleh itu, Band 8 dilengkapi sensor akselerometer, giroskop dan kadar denyutan jantung. Tapi, terdapat sensor baru TruSleep 3.0 dan TruSeen 5.0 yang telah dinaik taraf untuk lebih baik berbanding Band 7 TruSleep 2.0 dan Tru Seen 4.0. Terdapat lebih 100 mod kecergasan yang didayakan oleh sensor-sensor tersebut antaranya berbasikal, berenang, lompat tali, mendayung dan banyak lagi.
Jika anda menggunakannya untuk rekod larian, ia mampu merkod banyak data macam jarak larian, kalori terbakar, purata kelajuan serta purata irama langkah. Tapi disebabkan ia masih sebuah Band, tiada sokongan GPS pada jam ini. Jadi kalau anda perlukan GPS untuk larian, anda perlu membawa telefon bersama anda sepanjang masa, di mana saya rasa kebanyakan orang mebawa telefon mereka ke mana-mana juga.
Menariknya, ia dilengkapi dengan ciri kesihatan untuk memantau anda tidur. Dengan memakainya ketika tidur, ia boleh menjejak kadar tidur nyenyak anda, tidur ringan dan REM. Lebih-lebih lagi, ia mampu merumuskan kualiti tidur anda dalam bentuk markah.
Lagi ciri kesihatan lain yang boleh dimanfaat pada Band 8 ini termasuk ciri seperti mengukur kepekatan oksigen (SpO2), tekanan dan ada juga latihan pernafasan.
Bukan itu sahaja, jam ini juga mempunyai tahap kekalisan air 5ATM. Jadi bolehlah kalau anda nak bawa untuk berenang atau bersukan dalam hujan.
UI yang ringkas dan mudah digunakan
Sistem UI-nya berasaskan HarmonyOS 3.1.0 dan apa yang saya boleh kata adalah ia amat ringkas dan mudah untuk digunakan. Aplikasi disusun secara menegak, dan anda boleh tatal ke bawah untuk mengakses keseluruhan ciri atau aplikasi.
Lagi perkara yang menyebabkan Band 8 ini mudah digunakan adalah aplikasi yang ditawarkan. Ia tidak diisi dengan aplikasi yang tidak penting dan hanya menyediakan fungsi yang anda betul-betul perlukan.
Untuk akses cepat ke kawalan peranti, ia berfungsi seperti telefon pintar di mana anda boleh leret ke bawah pada bahagian muka jam. Dari situ anda boleh akses fungsi seperti stopwatch, lampu suluh, tetapan dan melihat peratus bateri. Kalau nak lihat notifikasi dari telefon pula boleh tatal ke atas.
Hubung dengan aplikasi Huawei Health untuk lebih banyak ciri
Bagi mendapatkan rangkuman data yang dijejak, Band 8 boleh disambungkan kepada aplikasi Huawei Health menggunakan sambungan Bluetooth 5.0. Di situ anda boleh lihat kesemua data kesihatan yang dijejak seperti yang terdapat di jam, cuma lebih mudah untuk dilihat.
Bagaimanapun, saya perasan ada data untuk bacaan tekanan darah dalam aplikasi walaupun tiada pilihan ukur tekanan darah dalam jam. Tidak pasti bagaimana ia diukur dan apatah lagi ketepatannya. Jika dilihat pada masa pengukuran tekanan darah dilakukan, ketika itu saya menguji kadar SpO2. Tapi apabila saya cuba menguji SpO2 lagi, tidak pula ia menunjukkan keputusan tekanan darah terbaru dalam aplikasi melainkan data diletakkan secara manual. Jadi agak pelik bagaimana data pertama diukur.
Selain itu, anda juga boleh mengubah segala tetapan jam dari aplkasi Huawei Health termasuk jam muka. Terdapat pelbagai pilihan untuk jam muka dan ada daripadanya yang boleh dibeli.
Aplikasi Huawei Health ini, walau bagaimanapun hanya terdapat di dalam AppStore sahaja dan masih belum tersedia di Google Playstore. Jadi kalau pengguna Android nak muat turun, boleh muat turun melalui APK di laman web Huawei di sini.
Kesimpulan
Huawei Band dijual pada harga RM219 di Malaysia, sama seperti Huawei Band 7 ketika ia dilancarkan. Pada saya agak mahal untuk sebuah band kerana pada paras harga itu anda boleh dapatkan sebuah jam pintar dengan ciri yang lebih baik contohnya Realme Watch 3.
Tapi jika anda tidak mahu jam yang besar dan berat, dan cukup sekadar menjejak kecergasan di hari anda sambil mengekalkan rupa jam yang minimalis, Huawei Band 8 mungkin untuk anda.
Jikalau anda berminat denga Huawei Band 8, anda boleh mula dapatkannya sekarang di stor rasmi Huawei di Lazada dan Shopee.