Sektor permainan elektronik atau gaming menjadi pemacu dalam evolusi teknologi. Selain komputer atau peranti yang hebat, perkakas dan aksesori yang betul turut menjadi perkara terpenting, terutama untuk gamer profesional.
Logitech G, jenama terkemuka yang menghasilkan pelbagai perkakas gaming kini mengumumkan ketibaan fon kepala baru yang direka khas buat eSports, Logitech G PRO X2 LIGHTSPEED. Ia direka dengan kerjasama atlet eSports terkemuka, yang menguji dan memberi maklum balas untuk menjadikannya perkakas terbaik untuk mereka.
Harga dan ketersediaan
Logitech Malaysia telah membuka tempahan awal untuk fon kepala baru ini dari 6 hingga 13 Jun 2023. Dalam tempoh ini, pembeli akan menerima hadiah percuma berupa pemegang khas fon kepala.
Harga rasmi fon kepala Logitech G PRO X2 LIGHTSPEED di Malaysia ialah RM1,099. Dengan harga premium sebegini, pastinya ia disasarkan untuk mereka yang benar-benar memerlukan, seperti pemain eSports profesional.
Bagi yang berminat, Logitech G PRO X2 LIGHTSPEED boleh dibuat tempahan awal dan dibeli menerusi Stor Rasmi Logitech di Lazada dan Shopee. Terdapat dua warna disediakan untuk fon kepala ini, iaitu putih dan hitam.
Pretasi hebat Logitech G PRO X2 LIGHTSPEED
Direka dan diuji dengan atlet esports terkemuka, set kepala PRO X 2 baharu menampilkan pemacu PRO-G 50mm Graphene revolusioner serba baharu bagi mempertingkat dunia audio gaming untuk pemain pakar dan profesional. Dalam Esports, kejelasan bunyi dan komunikasi adalah faktor kritikal yang mempengaruhi kemenangan. Keupayaan mendengar sedikit pun isyarat audio dan berkomunikasi dengan rakan sepasukan memberi perbezaan ketara.
Pemacu audio PRO-G 50mm Graphene baharu di Logitech G PRO X2 LIGHTSPEED, digandingkan dengan penggantungan tepi langsung, memberikan skapbunyi yang kedengaran semulajadi. Pemacu baharu ini memberikan peningkatan dalam ketepatan penghasilan semula bunyi, ketepatan masa untuk memberi isyarat dan pengurangan herotan. Ini membolehkan pemain mengenal pasti objek audio dengan lebih jelas, dan lebih cepat membezakan lokasinya apabila objek bergerak secara relatif kepada pemain di dalam permainan video.
Selain itu, fon kepala ini boleh digunakan secara berwayar menerusi 3.5mm aux dan tanpa wayar melalui Bluetooth atau sambungan LIGHTSPEED. Dengan cas penuh, ia boleh digunakan sehingga 50 jam tanpa wayar. Sambungan wayarles gred PRO membolehkan sambungan yang stabil dan tegus sehingga 30 meter jauh daripada komputer atau peranti.
Logitech G PRO X2 LIGHTSPEED dibina kukuh dan teguh, menampilkan bingkai aluminium dan keluli yang tahan lasak lagi ringan. Ia juga memberikan keselesaan berpanjangan engsel yang berputar, tahan lama dan pad telinga yang boleh ditukar dalam pilihan kulit dan velor.
Untuk berkomunikasi, mikrofon kardioid 6mm pada lengan boom boleh ditanggalkan, dengan penapis perisian Blue VO!CE termaju melalui G HUB, untuk komunikasi yang jelas dan konsisten. Sistem bunyi Sekeliling DTS Headphone:X 2.0 turut digunakan untuk memberi bunyi sekeliling yang jitu bagi membantu pengguna mengetahui dengan tepat di mana lawan berada sebelum mereka menemui anda, dengan pengalaman skapbunyi yang mendalam.
Oleksandr “s1mple” Kostyljev, Counter-Strike, Natus Vincere, berkata: “Saya sentiasa merasakan Logitech G menghargai maklum balas dan pendapat saya untuk pembangunan produk, itulah sebabnya peralatan mereka berprestasi tinggi dan paling popular di kalangan atlet esports terkemuka. Semasa pembangunan set kepala permainan G Pro X 2, saya menikmati keselesaan yang dipertingkatkan dan mikrofon terunggul. Dalam permainan, saya mendapati pemacu Graphene baharu sebagai perubahan sangat penting, ia benar-benar membuatkan saya rasa mendapat kelebihan baharu untuk menang menentang pesaing saya.”
Chris Pate, Pengurus Produk Utama Logitech G, pula berkata “Falsafah teras Logitech G PRO Series ialah tentang mencipta peralatan yang memenuhi keperluan mendesak bagi atlet esports profesional dan pemain yang berdaya saing. Dengan PRO X 2, kami telah mencapai tahap prestasi yang cemerlang dengan mereka bentuk semula pemacu PRO-G kami dengan teknologi audio Graphene.
Dengan penggunaan graphene, kami boleh mencipta pemacu yang kedua-duanya sangat tegar dan, pada masa yang sama, sangat ringan. Ini memberikan bunyi berkualiti tinggi dengan herotan yang sangat rendah, memberikan profesional prestasi yang mereka perlukan untuk bermain di tahap kemampuan maksimum mereka,” kata Pate.
Untuk mengetahui dan mengenali dengan lebih lanjut, layari laman produk Logitech G PRO X2 LIGHTSPEED.
Bacaan Berkaitan
- Logitech MX Anywhere 3S, tetikus kompak wayarles baharu dengan sensor 8k
- Logitech lancar konsol mudah alih berasaskan Android pada harga tak masuk akal
- Tetikus Logitech Signature M650 miliki hayat 24 bulan, pilihan dua saiz dan butang tanpa bunyi
- Logitech G335 fon kepala sangat ringan dilengkapi dwi mikrofon lipat