Lebuhraya Maju Expressway (MEX) telah memulakan ujian Sistem Pembayaran Terbuka (SPT) yang membolehkan pembayaran tol dibuat menggunakan kad debit atau kredit mulai 3 Ogos 2023. Dengan ini, pengguna lebuhraya tidak lagi terhad dengan kad Touch n Go sahaja untuk membayar tol.
Bagaimanapun, dalam tempoh ujian ini hanya enam laluan di Lebuhraya MEX menyediakan kemudahan SPT. Untuk memudahkan pengguna, MEX telah menyediakan papan tanda besar yang menunjukkan laluan yang dilengkapi SPT.
Terdapat tiga plaza tol di Lebuhraya MEX iaitu Salak Selatan, Seri Kembangan, dan Putrajaya dengan dua laluan menyediakan kemudahan SPT di setiap plaza tol. Satu menghala ke Putrajaya dan satu menghala ke Kuala Lumpur, menjadikan enam laluan kesemuanya. Laluan SPT ini diletakkan hampir hujung kiri.
Guna kad debit/kredit ni tak lambat ke?
Salah satu persoalan ramai pengguna mengenai penggunaan kad debit/kredit untuk pembayaran adalah kelajuan memproses bayaran. Walaupun pengenalan SPT adalah untuk menamatkan monopoli Touch n Go sejak sekian lama, pastinya pengguna lebuhraya tidak mahu menggunakannya jika pembayaran mengambil masa yang lama untuk diproses.
Pengalaman penggunaan SPT di plaza tol sebenarnya sama seperti pembelian di kedai runcit. Ada lengah masa beberapa saat sebelum pembayaran diluluskan oleh sistem. Manakala dengan Touch n Go, proses pembayaran di plaza tol diselesaikan dengan pantas kerana ia menggunakan baki di dalam kad dan tidak perlu sambungan terus ke sistem utama.
Untuk itu, rakan kami di SoyaCincau telah pergi sendiri ke Lebuhraya MEX untuk menguji SPT. Mereka bukan sahaja cuba menggunakan kad kredit biasa, tetapi juga cuba membayar tol menggunakan Apple Pay, Samsung Pay dan kad prabayar dari pelbagai penyedia.
Pembayaran dengan kad debit/kredit agak cepat, tapi
Sebelum itu, kita meletakkan asas tanda aras pembayaran menggunakan Touch n Go iaitu:
- Kad TNG NFC dengan PayDirect – Laluan khas TNG, Salak Selatan: kurang dari 1 saat
- KadTNG NFC card dengan PayDirect – Laluan ujian SPT, Salak Selatan: kurang dari 1 saat
- RFID TNG – Laluan hibrid TNG & RFID, Salak Selatan: kurang dari 2 saat
Dan ini pula hasil ujian dengan SPT. Tiada masalah membayar menggunakan peranti pintar:
- Apple Pay dengan Apple Watch Series 6 dan kad kredit AmBank – Seri Kembangan: kurang dari 3 saat
- Apple Pay dengan iPhone 11 Pro Max dan kad kredit AmBank – Putrajaya: kurang dari 2 saat
- Samsung Pay dengan Galaxy S21 Ultra dan kad kredit RHB – Seri Kembangan: kurang dari 2 saat
Dari pengalaman mereka, tiada masalah menggunakan kad tanpa sentuh di Lebuhraya MEX. Ia juga menerima pembayaran menggunakan peranti pintar dengan lancar.
Tetapi ada sedikit kekangan apabila cuba menggunakan jam pintar untuk membayar. Ia bukan masalah sistem atau peranti, sebaliknya masalah fizikal. Ini kerana anda perlu menghulurkan pergelangan tangan ke terminal pembayaran, sesuatu yang kadang-kadang sukar dibuat menggunakan kad Touch n Go sehingga memerlukan pemukul lalat.
Anda boleh melihat pengalaman membayar menggunakan Apple Watch dalam video di bawah:
Walaupun pembayaran menggunakan kad debit, kredit atau prabayar tidak sepantas kad Touch n Go atau RFID, ia bukanlah terlalu lambat. Tetapi perlu diambil perhatian bahawa SPT di Lebuhraya MEX masih di peringkat ujian dan rakan kami merakam ujian ini pada luar waktu puncak. Ada laluan ujian SPT yang ditutup dan sebaiknya anda masih menyimpan kad Touch n Go dengan baki mencukupi apabila menggunakan Lebuhraya MEX.
Dengan ujian ini, SPT nampaknya sangat bagus. Tetapi cabaran sebenar adalah pelaksanaan sepenuhnya di 12 Lebuhraya di seluruh negara pada akhir bulan September nanti.
[Sumber: SoyaCincau]
Bacaan Berkaitan
- Bayar Tol guna kad debit dan kredit bermula di lebuhraya MEX hari ini, lebih banyak lebuhraya mulai September
- 5 lebuhraya ini akan terima pembayaran kad kredit/debit sebelum September 2023
- Lebuhraya DUKE yang ke-12 sertai program sistem pembayaran tol terbuka
- Plaza tol NPE ada mesin sentuh baru, mula terima pembayaran kad selain Touch n Go?
- Bayar guna kad debit/kredit di tol tak selaju macam Touch n Go, tapi ada kelebihannya