Untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia mula menggunakan 5G, kerajaan telah melancarkan Pakej 5G Rahmah. Ia mensasarkan untuk menyediakan pelan 5G dan telefon pintar 5G pada harga lebih mampu milik.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil, Pakej 5G Rahmah akan memberikan sekurang-kurangnya 60GB data pelan 5G berharga RM60/bulan. Telefon pintar 5G pula berharga paling tinggi RM240, dengan kontrak pelan selama 24-bulan dan peranti diberi selama 2-tahun.
Bermula 31 Ogos 2023, syarikat telekomunikasi (telco) utama di Malaysia telah mula menawarkan Pakej 5G Rahmah dengan pelan 5G dan pilihan beberapa peranti 5G.
Tetapi selepas 2-minggu, kelihatan Pakej 5G Rahmah tidak mendapat sambutan yang hangat. Kerana ada yang mengatakan, mereka yang mahu mendaftar Pakej 5G Rahmah perlu membuat pembayaran lebih daripada yang dijelaskan menteri.
Bayaran pendahuluan, caj yang tersembunyi
Rupa-rupanya untuk melanggan Pakej 5G Rahmah, pengguna perlu membayar wang pendahuluan. Perkara ini sebenarnya adalah biasa ketika menandatangani kontrak pelan telco untuk mendapatkan peranti pada harga lebih murah. Tetapi ramai yang tidak mengetahui atau perasan tentang perkara ini.
Bagaimanapun, pendahuluan yang dibayar ini akan direbatkan semula ke dalam bil bulanan pelanggan. Tetapi cara rebat ini diberikan semula berbeza mengikut telco.
Untuk mendapatkan penjelasan, kami telah mengunjungi setiap telco untuk mendapatkan maklumat lanjut. Kebanyakan telco meletakkan pendahuluan yang berbeza untuk golongan B40 yang menerima subsidi tambahan RM120 untuk peranti, dan bukan golongan B40 tanpa subsidi.
Kami sertakan jumlah yang perlu dibayar pada setiap akhir penerangan telco dan rumusan di akhir artikel.
Celcom/Digi/Xpax
Walaupun selepas bergabung, CelcomDigi menyediakan tawaran Pakej 5G Rahmah yang sedikit berbeza. Tetapi bayaran pendahuluannya sama.
Untuk telefon Samsung Galaxy A14 5G, ia berharga RM119 dan golongan B40 boleh mendapatkannya percuma. Tetapi kedua-dua golongan perlu membayar pendahuluan sebanyak RM240 dan ia akan direbat sama rata selama 24-bulan. Jadi, pengguna hanya membayar harga pelan RM50 sahaja selama 24-bulan, selepas ditolak daripada bayaran pendahuluan tadi.
Bagi telefon Honor 90 Lite 5G pula, bayaran pendahuluan yang dikenakan adalah RM270. Ia juga akan direbat semula dalam bil selama 24-bulan. Bayaran yang perlu dibuat untuk mengambil Pakej 5G Rahmah di CelcomDigi adalah seperti berikut:
B40
Samsung Galaxy A14 5G – RM240
Honor 90 Lite 5G – RM389
Bukan B40
Samsung Galaxy A14 5G – RM359
Honor 90 Lite 5G – RM509
Maxis/Hotlink
Untuk Maxis, Pakej 5G Rahmah ditawarkan menerusi pascabayar Hotlink. Ada tiga telefon ditawarkan iaitu Honor 90 Lite, Samsung Galaxy A14 5G dan Oppo A78. Harganya juga berbeza, dengan Oppo A78 paling murah RM199, Samsung Galaxy A14 5G RM219 dan Honor 90 Lite RM239.
Bayaran pendahuluan sama untuk pengguna biasa dan golongan B40, tetapi berbeza mengikut peranti. Bayaran ini akan direbat semula dalam tempoh 12-bulan sahaja. Berikut adalah bayaran yang perlu dibuat untuk mengambil Pakej 5G Rahmah di Maxis:
B40
Oppo A78 5G – RM289
Samsung Galaxy A14 5G – RM339
Honor 90 Lite 5G – RM389
Bukan B40
Oppo A78 5G – RM409
Samsung Galaxy A14 5G – RM459
Honor 90 Lite 5G – RM509
U Mobile
U Mobile pada awalnya mengumumkan dua telefon pintar 5G dengan harga pakej iaitu Samsung Galaxy A14 5G (RM240) dan Honor 90 Lite (RM240). Kini terdapat dua lagi peranti ditambah, iaitu Samsung Galaxy M14 5G (RM119) dan Realme 11x 5G (RM239). Golongan B40 menerima subsidi RM120 untuk membeli telefon pintar lebih murah.
Tetapi bayaran pendahuluan U Mobile agak mahal berbanding yang lain dan akan direbat sama rata selama 24-bulan. Semasa maklumat ini dikumpul, hanya dua telefon 5G yang ditawarkan. Ini adalah bayaran yang perlu dibuat semasa mendaftar Pakej 5G Rahmah di U Mobile:
B40
Samsung Galaxy A14 5G – RM528
Honor 90 Lite 5G – RM528
Bukan B40
Samsung Galaxy A14 5G – RM648
Honor 90 Lite 5G – RM648
Unifi Mobile
Berbanding telco lain yang tidak menyatakan dengan jelas di laman web mereka, Unifi Mobile satu-satunya yang memaklumkan bahawa ada bayaran pendahuluan untuk Pakej 5G Rahmah. Hanya ada dua telefon pintar ditawarkan pada harga pakej yang sama, iaitu RM240 bagi Samsung Galaxy A14 5G dan Honor 90 Lite. Golongan B40 hanya perlu membayar RM120 untuk peranti ini.
Harga yang perlu dibayar pelanggan untuk mendaftar sangat tinggi, kerana bayaran pendahuluannya adalah RM552 dan akan direbat sama rata selama 24-bulan. Ini menjadikannya harga tertinggi untuk mendaftar Pakej 5G Rahmah iaitu:
B40
Samsung Galaxy A14 5G – RM672
Honor 90 Lite 5G – RM672
Bukan B40
Samsung Galaxy A14 5G – RM792
Honor 90 Lite 5G – RM792
Yes 5G
Tawaran Pakej 5G Rahmah paling menarik di Yes kerana mereka menawarkan dua jenis pelan dan banyak jenis peranti. Pelan yang ditawarkan adalah Power 35 berharga RM35/bulan dan pilihan dua peranti harga rahmah yang sama, Vivo Y55+ 5G (RM240) atau ZTE Blade A73 5G (RM240).
Satu lagi pelan adalan Infinite Basic RM58/bulan, dengan tujuh pilihan peranti harga rahmah iaitu Vivo Y55+ 5G (RM0), ZTE Blade A73 5G (RM0), Samsung Galaxy A14 5G (RM100), Vivo Y27 5G (RM100), Honor 90 Lite 5G (RM200), Redmi 12 5G (RM200) dan Oppo A78 5G (RM200).
Selain pendahuluan peranti, pelanggan juga perlu membayar pendahuluan pelan 1-bulan. Ia akan direbat selama 24-bulan di dalam bil pengguna. Jumlah yang perlu dibayar untuk pendaftaran Pakej 5G Rahmah adalah seperti berikut:
B40 Power 35
Vivo Y55+ 5G – RM275
ZTE Blade A73 5G – RM275
Bukan B40 Power 35
Vivo Y55+ 5G – RM275
ZTE Blade A73 5G – RM275
B40 Infinite Basic
Vivo Y55+ 5G – RM278
ZTE Blade A73 5G – RM278
Samsung Galaxy A14 5G – RM278
Vivo Y27 5G – RM278
Honor 90 Lite 5G – RM498
Redmi 12 5G – RM498
Oppo A78 5G – RM498
Bukan B40 Infinite Basic
Vivo Y55+ 5G – RM278
ZTE Blade A73 5G – RM278
Samsung Galaxy A14 5G – RM278
Vivo Y27 5G – RM278
Honor 90 Lite 5G – RM498
Redmi 12 5G – RM498
Oppo A78 5G – RM498
Pakej 5G Rahmah mampu milik?
Untuk memudahkan anda membuat perbandingan, boleh rujuk jadual kami di bawah ini. Cara termurah bagi golongan B40 mendapatkan Pakej 5G Rahmah, adalah di CelcomDigi dengan telefon Samsung Galaxy A14 5G. Hanya perlu bayar RM240 dan bil bulanan menjadi RM50 selama 24-bulan.
Untuk bukan B40, pilihan termurah adalah di Yes 5G. Pelan Power 35 memerlukan bayaran berjumlah serendah RM275, manakala pelan Infinite Basic dari RM278. Pilihan seterusnya adalah Maxis, dengan telefon Oppo A78 5G, perlu membayar pendahuluan RM409.
Seperkara lagi perlu diingatkan, semua pelan pascabayar perlu membayar cukai 6%, tidak seperti prabayar yang dikecualikan daripada membayar cukai. Harga akhir yang perlu anda bayar nanti adalah lebih dari ini, termasuk bil bulanan di masa akan datang.
Adakah Pakej 5G Rahmah berbaloi untuk dimiliki? Sudah pasti ya tetapi adakah ia mampu dimiliki seperti yang disasarkan kerajaan? Jika tiada keperluan, 5G bukanlah keutamaan untuk anda miliki sekarang.