Malaysia kini mempunyai satu lagi pilihan telco prabayar menerusi BeONE Mobile, yang dilancarkan secara rasmi sebagai pengendali rangkaian mudah alih maya (MVNO) menggunakan rangkaian Maxis. BeONE Mobile menawarkan pelan prabayar dengan data sehingga 550GB sebulan, pada harga bermula RM25 untuk pelanggan yang ingin mengekalkan nombor telefon sedia ada.
Selain pelan mudah alih, BeONE Mobile turut menawarkan program ejen berasaskan komuniti yang membolehkan orang ramai menjana pendapatan melalui penjualan pelan dan perkhidmatan mereka.
BeONE Mobile sebenarnya bukanlah jenama baharu. Ia mula diperkenalkan pada 2021 sebagai BeONE Prepaid dan sebelum ini beroperasi di bawah RedONE. Bermula 30 Januari 2026, BeONE beralih menjadi MVNO yang menggunakan rangkaian Maxis.
Dari segi penawaran, BeONE Mobile menyediakan pelan prabayar bulanan untuk pelanggan yang ingin mengekalkan nombor sedia ada menerusi proses Mobile Number Portability (MNP), serta pelanggan yang ingin mendaftar nombor baharu.
Pelan BeONE Mobile untuk pelanggan MNP

Bagi pelanggan yang ingin bertukar ke BeONE Mobile sambil mengekalkan nombor telefon sedia ada, terdapat tiga pilihan pelan bulanan MNP (Mantain Your Number) disediakan dengan harga bermula RM25.
Berikut ialah senarai pelan yang ditawarkan:
- M25 – RM25/bulan: 150GB
- M38 – RM38/bulan: 350GB
- M48 – RM48/bulan: 500GB + 50GB
Semua pelan ini menyediakan panggilan tanpa had ke semua rangkaian, dengan kelajuan data 5G sehingga 1,000Mbps serta perkongsikan data.
Untuk pelan M48, kuota 550GB yang ditawarkan terdiri daripada 500GB data domestik dan 50GB data roaming yang boleh digunakan di Indonesia, Thailand dan Singapura.
Pelan BeONE Mobile untuk nombor baharu

Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan nombor telefon baharu, BeONE Mobile menawarkan tiga pilihan pelan bulanan dengan harga bermula RM30.
- M30 – RM30/bulan: 150GB
- M38 – RM38/bulan: 300GB
- M48 – RM48/bulan: 400GB + 50GB
Sama seperti pelan MNP, semua pilihan ini menawarkan kelajuan data sehingga 1,000Mbps dan menyokong perkongsian data.
Bagaimanapun, kuota data untuk pelanggan nombor baharu berbeza daripada pelan MNP. Pelan M48 bagi nombor baharu menyediakan 400GB data domestik dan 50GB data roaming di Indonesia, Thailand dan Singapura.


Selain pelan bulanan, BeONE Mobile turut menyediakan pilihan pelan harian, mingguan dan tahunan untuk pengguna yang tidak memerlukan langganan bulanan.
Berikut ialah pilihan yang ditawarkan:
- Harian – RM3/hari: 3GB
- Mingguan – RM12/minggu: 15GB
- Tahunan – RM38/tahun: Nombor sahaja, tanpa data
- Tahunan – RM58/tahun: 5GB
Daripada pilihan tersebut, hanya pelan mingguan menawarkan panggilan tanpa had ke semua rangkaian. Semua pelan yang disertakan dengan kuota data menawarkan kelajuan sehingga 1,000Mbps dan menyokong fungsi perkongsian data.
BeONE Mobile perkenal program ejen untuk komuniti e-hailing

Sempena pelancaran rasminya di Malaysia, BeONE Mobile turut memperkenalkan Program Keusahawanan untuk Komuniti e-hailing.
Menerusi program ini, pemandu e-hailing berpeluang menjadi ejen BeONE Mobile sambil meneruskan pekerjaan sedia ada. Peserta akan diberikan latihan, peralatan digital serta produk dan perkhidmatan BeONE Mobile untuk diperkenalkan kepada kenalan mereka.
Menurut BeONE Mobile, ejen tidak memerlukan kedai fizikal atau modal permulaan untuk menyertai program ini. Sebaliknya, mereka akan dibekalkan latihan dan peralatan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti jualan.
Pada peringkat awal, program ejen BeONE Mobile akan memberi tumpuan kepada kumpulan seperti isi rumah B40, golongan belia, pekerja gig dan peniaga kecil.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BeONE Mobile, Ameen Amaendran, syarikat itu menawarkan pembayaran insentif kepada ejen secara harian, dan mendakwa BeONE Mobile merupakan satu-satunya MVNO yang berbuat demikian. Menurutnya lagi, ejen yang berjaya mendaftarkan 10 talian pada hari ini boleh menerima sekitar RM200 ke dalam akaun bank mereka pada hari berikutnya.
Selain itu, BeONE Mobile turut memperkenalkan inisiatif Community SIM yang bermula di Lembah Pantai. Menerusi inisiatif ini, penduduk tempatan boleh mendapatkan kad SIM BeONE Community yang menawarkan data tambahan bagi menyokong akses digital dalam kalangan komuniti setempat.
Untuk maklumat lanjut mengenai pelan dan perkhidmatan yang ditawarkan, anda boleh layari laman web rasmi BeONE Mobile.






