Aplikasi navigasi tempatan, Tuju, nampaknya sudah menemui penyelesaian kepada masalah terbesar pada fungsi navigasinya, dengan cara yang agak menarik. Daripada cuba mencari laluan terbaik untuk membawa anda ke destinasi,ia kini hanya mengalihkan anda ke aplikasi yang lebih pakar dalam navigasi.
Menerusi kemas kini terbaharu untuk pengguna Android, menekan butang navigasi dalam aplikasi Tuju kini akan memaparkan mesej yang memaklumkan bahawa pengguna akan dibawa ke Google Maps untuk menuju ke destinasi mereka.
Dengan kata lain, solusi Tuju terhadap masalah navigasi belok demi belok (turn-by-turn navigation) yang tidak boleh diharap sebelum ini adalah dengan menyerahkan tugas itu bulat-bulat kepada Google Maps. Masalah selesai!
Tuju untuk Android kini mengarahkan pengguna ke Google Maps

Kemas kini terbaharu Tuju untuk Android ialah versi 2.0.4 yang mula diedarkan pada 30 Oktober 2026. Ia hadir lebih awal daripada tarikh akhir yang ditetapkan oleh pihak pembangun, iaitu 6 November, untuk memulihkan semula fungsi navigasi aplikasi tersebut.
Daripada menyediakan navigasi secara terus di dalam aplikasi Tuju sendiri, versi Android kini memaklumkan pengguna bahawa Google Maps akan dilancarkan secara automatik sebaik sahaja pilihan navigasi ditekan.
Ini sudah tentu penyelesaian yang lebih praktikal berbanding sistem navigasi Tuju sebelum ini, yang sukar memberi arahan memandu yang tepatBerdasarkan pengalaman kami mencuba versi Android dan iOS sebelum ini, arahan navigasi Tuju kebanyakannya sekadar meminta pemandu jalan terus atau masuk laluan (merge) tanpa konteks yang jelas dan berguna.
Apa yang melucukan, laman utama Tuju masih memaparkan slogan “Nak Pergi Mana? Tuju Je”. Cuma bezanya sekarang, bila anda benar-benar mahu menuju ke sesuatu destinasi, Tuju menyuruh anda buka Google Maps pula. Paling tidak, Google Maps sememangnya menyokong Android Auto.
Bagi pengguna iPhone pula, aplikasi Tuju masih belum menerima sebarang perubahan. Versi iOS masih kekal pada versi 1.5.5 yang kali terakhir dikemas kini pada November 2025.
Fungsi navigasi Tuju selepas terima kritikan pengguna

Perkembangan terkini ini berlaku seminggu selepas Tuju menerima kritikan meluas daripada orang ramai akibat pengalaman navigasi yang teruk. Pada 22 Oktober, kami menguji navigasi Tuju dan mendapati pengalamannya mengecewakan serta berisiko mengganggu tumpuan pemandu, dengan arahan yang kabur, laluan yang tidak tepat dan ketiadaan ciri navigasi penting. Susulan kritikan itu, LLM menyahaktifkan fungsi navigasi buat sementara waktu.
LLM kemudian menjelaskan bahawa Tuju tidak pernah bertujuan menggantikan Waze. Sebaliknya, ia direka sebagai aplikasi teman perjalanan, yang menyediakan maklumat terkini lebuh raya secara masa nyata, maklumat keluar tol, lokasi kawasan rehat dan rawat (R&R), paparan kamera litar tertutup (CCTV), dan nombor hubungan bantuan kecemasan.
Penjelasan ini dibuat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan alternatif buatan tempatan kepada Waze atas kebimbangan keselamatan negara dan privasi data.
Baru-baru ini, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pihak pengurusan yang bertanggungjawab ke atas Tuju mesti dipertanggungjawabkan jika maklumat yang tidak tepat dikemukakan kepada kerajaan.






