Jika ada rakyat Malaysia yang mahu ke China, mereka tidak perlu lagi bersusah payah untuk membuat bayaran, kerana pembayaran melalui Touch n Go eWallet telah diterima di China. Ia dijayakan dengan kerjasama ANT Group, yang baru-baru ini mengumumkan 10 eWallet dari Asia termasuk Touch n Go, telah diterima untuk pembayaran menerusi sistem AliPay+ di China.
10 eWallet diterima di lebih 10 juta peniaga runcit AliPay di China
Dalam pengumuman tersebut, ANT Group menyatakan sebanyak 7 eWallet dan aplikasi pembayaran telah ditambah sokongan iaitu mPay (Macao SAR, China), Hipay (Mongolia), Changi Pay (Singapura), OCBC (Singapura), Naver Pay (Korea Selatan), Toss Pay (Korea Selatan) dan TrueMoney (Thailand). Ini menjadikan jumlah yang eWallet yang disokong kepada 10 platform selepas Kakao Pay (Korea Selatan), AlipayHK (Hong Kong SAR, China) dan Touch n Go eWallet (Malaysia) disokong lebih awal dalam projek rintis pada akhir 2022.
Tambah ANT Group lagi, semua platform pembayaran yang baru disokong ini meliputi populasi melebihi 175 juta orang di Asia Tenggara dan Asia Timur.
Semasa ujian rintis rentas sempadan antara Kakao Pay, Touch n Go eWallet dan AlipayHK, jumlah pembayaran yang dibuat di China meningkat 47 kali ganda dalam 6 bulan, antara bulan Mac sehingga Ogos 2023. Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen menjadi destinasi tumpuan pelancong dari Korea Selatan, Malaysia dan Hong Kong SAR. Kebanyakan transaksi dibuat meliputi makanan dan minuman, perniagaan runcit serta pengangkutan.
Dengan perjanjian rentas sempadan yang baru menerusi rangkaian AliPay+, pelancong boleh menggunakan aplikasi pembayaran tempatan di lebih 10 juta peniaga AliPay di seluruh China sambil menikmati pengalaman yang selamat, lancar dan tanpa tunai. Pengguna juga mendapat kadar tukaran yang kompetitif dan telus semasa membuat pembayaran tanpa tunai di China. Mereka juga boleh menikmati tawaran dan promosi menerusi AliPay+ Rewards, hab pemasaran digital rentas sempadan yang digabungkan ke dalam aplikasi eWallet tertentu.
Ant Group menambah bahawa program A+China adalah inisiatif utama untuk membantu China menjadikan pembayaran mudah alih ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan rakan kongsi eWallet, NetsUnion Clearing Corporation, pemain eWallet, institusi kewangan dan organisasi kad antarabangsa utama.
Pelancong ke China boleh menggunakan kad kredit mereka di aplikasi AliPay International
Sebagai alternatif, pengembara tanpa eWallet boleh menggunakan kad kredit, debit dan prabayar mereka di aplikasi AliPay (Google Play Store, Apple App Store) versi antarabangsa dan menikmati pembayaran yang lancar dan perkhidmatan digital di China. Aplikasi ini juga memberi pengguna akse ke aplikasi mini China seperti kad mero dan perkhidmatan panduseru.
Tidak seperti pas AliPay Tour sebelum ini, pengguna tidak peru lagi menambah nilai kad prabayar maya yang dikeluarkan perbankan di China sebelum membuat pembayaran. Aplikasi AliPay International akan mengenakan bayaran pada setiap pembayaran yang dibuat sahaja.
Meningkatkan kesedaran sokongan eWallet luar negara
China menjangkakan peningkatan pengunjung menjelang Sukan Asia yang akan datang. Untuk itu, ANT Group telah meningkatkan pendidikan kepada peniaga dan kempen pemasaran merentasi seluruh China, terutama di kawasan utama pelancong. Untuk meningkatkan kesedaran sokongan eWallet luar negara, beberapa peniaga meliputi peniaga kecil sehingga cawangan besar akan membawa pelekat baru AliPay+ dan poster yang memaparkan eWallet yang disokong, termasuk Touch n Go eWallet dan lain-lain.
Pengguna boleh membuat bayaran dengan mengimbas kod QR peniaga atau menunjukkan kod QR AliPay+ mereka kepada peniaga. Pengalaman menggunakan Touch n Go eWallet di China sangat serupa seperti membuat bayaran menggunakan kod QR di Malaysia.
Bulan lepas, AliPay+ dan PayNet telah menandatangani MoU untuk meluaskan penerimaan pembayaran rentas sempadan. Di dalam perjanjian ini, peniaga dengan DuitNow QR akan boleh menerima lebih banyak eWallet luar negara, dan eWallet Malaysia akan diterima di luar negara menerusi rangkaian AliPay+.