Anda tengah usyar fon putik murah-murah ke? Kalau ada, dalam artikel ini saya nak bantu anda. Saya akan senaraikan 5 fon putik murah yang anda boleh dapat lengkap dengan ciri penyaring hingar aktif (ANC) pada harga bawah RM300.
Ciri ANC memang sangat membantu lebih-lebih lagi untuk anda yang selalu ulang alik kerja menaiki pengankutan awam macam LRT/MRT, ataupun dalam penerbangan sebab boleh singkirkan bunyi bising. Tapi, senarai fon putik ini bukan sahaja ada ANC, tetapi dilengkapi banyak lagi ciri lain seperti kalis air, multipoint dan banyak lagi.
Anda juga boleh tonton video 5 fon putik terbaik ada ANC ini di YouTube.
1. Oppo Enco Air2 Pro
Pertama sekali dalam senarai ni adalah Oppo Enco Air2 Pro. Masa dilancar awal-awal dulu, harganya atas RM300 tapi sekarang anda boleh dapat jauh lebih murah. Ia ada rekaan seakan AirPods Apple yang bertangkai. Audio fon putik dihasilkan dari pemacu sebesar 12.4mm dan ada penyaring hingar aktif ANC mampu halang bunyi luar sehingga 25db. Terdapat juga mod Transparency bolehkan anda peka akan bunyi luar jika perlukan.
Untuk panggilan, fon putik ini hadir dengan ciri pembatalan hingar AI jadikan suara pemanggil lebih jelas. Berkenaan bateri, ia boleh digunakan sehingga 28 jam bersama sarung pengecas serta ada kalis percikan air dan debu IP54. Jadi bolehlah anda guna sambil berlari atau semasa bersenam di gym tanpa risau terkena peluh. Untuk sambungan, ia menggunakan Bluetooth 5.2 dan sokong codec AAC.
Oppo Enco Air2 Pro boleh didapati pada harga RM249. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
2. Soundpeats Capsule 3 Pro
Soundpeats Capsule 3 Pro ini memiliki teknologi penyaring hingar aktif ANC yang mampu menghalang sehingga 43db bunyi luar. Ia juga ada mod Transparency kalau anda perlu peka pada bunyi persekitaran. Audio fon putik ini dipacu oleh pemacu sebesar 12mm dan ia boleh digunakan sehingga 52 jam dengan bekas pengecas, yang mana paling lama dalam senarai ni.
Selain itu, ia ada 3 mic bersensitif tinggi yang diletakkan di setiap earbuds untuk panggilan. Jadi anda tidak perlu risau jikalau pemanggil tidak dengar suara anda semasa panggilan dibuat.
Tambahan pula ia ada Game Mode berikan kependaman rendah mencapai serendah 70ms. Main game atau tengok movie jadi lebih seronok sebab bunyi akan selari. Codec yang disokong adalah LDAC, iaitu codec Hi res dan juga ada AAC. Sambungan Bluetooth yang digunakan adalah Bluetooth 5.3 terkini.
SoundPeats Capsule 3 Pro boleh dibeli dengan harga RM229. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
3. Realme Buds Air 5
Realme Buds Air 5 ini menarik sikit sebab ia ada ciri audio Spatial 360 darjah jadikan bunyi 3D, seolah bunyi berada di sekeliling anda. Ia juga diiktiraf Hi-Res kerana menyokong codec LDAC dan jangka hayat bateri boleh bertahan sehingga 40 jam dengan satu isian penuh sarung pengecas.
Teknologi penyaring hingar aktif ANC pada fon putik ini boleh menyekat bunyi sehingga 50db. Jadi memang sesuai kalau anda selalu menaiki kapal terbang atau menggunakan LRT atau MRT sebab ia boleh hilangkan bunyi enjin atau orang bercakap.
Mod gaming pun turut disertakan pada fon putik ini. Ia paling hebat dalam senarai kerana berikan kependaman ultra rendah sehingga 40ms. Sesuai untuk pro gamer yang tak mahu menggunakan fon telinga berwayar. Hayat baterinya boleh bertahan sehingga 40 jam dan boleh disambungkan pada dua peranti serentak macam telefon dan laptop.
Realme Buds Air 5 dijual di malaysia pada harga RM299. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
4. Redmi Buds 4 Pro
Redmi Buds 4 Pro ini ada jangka hayat bateri sehingga 36 jam bersama sarung pengecas, dan cas 5 minit berikan masa penggunaan 2 jam. Ia juga ada teknologi pembatalan hingar aktif ANC sehingga 43db, serta turut disertakan ciri AI adaptive yang boleh mengenalpasti dan mengubah pada 3 tahap ANC berbeza.
Menariknya, mod transparency di fon putik ni ada mod Enhance yang boleh tingkatkan kualiti suara orang di depan anda. Memudahkan apabila ada orang bertanyakan sesuatu, tak adalah anda tak dengar atau perlu keluarkan fon putik untuk dengar.
Sambungan bluetooth yang digunakan adalah yang terkini Bluetooth 5.3 dan ia boleh dipasangkan pada dua peranti serentak. Jadi senang untuk mengubah sambungan jika perlu jawab panggilan di telefon semasa tengah dengar lagu di laptop.
Ia juga diiktiraf kalis percikan air dan debu IP54. Katakanlah semasa bersukan fon putik anda terjatuh dan hilang, anda boleh guna aplikasi Xiaomi Earbuds untuk kesan fon putik dengan mainkan bunyi dekat fon putik.
Redmi Buds 4 pro boleh didapati pada harga RM259. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
5. Edifier TWS1 Pro2
Fon putik Edifier TWS1 Pro2 ini paling murah dalam senarai yang turut ada penyaring hingar aktif ANC. Ia boleh menghalang sehingga 42db bunyi luar dari 3 mod berbeza dari tinggi, rendah dan Wind Reduction. Ia juga ada mod ketelusan yang dipanggil mod ambien, serta memiliki fungsi pintar hentikan lagu apabila pemakai mengeluarkan fon putik dari telinga.
Untuk panggilan dia ada ciri Pembatalan Bunyi Panggilan AI untuk singkirkan bunyi luar sambil tingkatkan kualiti suara pemanggil. Masa penggunaan adalah sehingga 24 jam dengan bekas pengecas, dan ia ada penarafan IP54. Jadi boleh digunakan di bawah hujan renyai atau kena peluh.
Fon putik Edifier ini turut memiliki mod game untuk beri kependaman rendah dan menggunakan sambungan Bluetooth terkini 5.3. Namun codec audio yang disokong hanya SBC, tiada LDAC atau AAC.
Edifier TWS1 Pro2 boleh didapati pada harga RM199. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
Sebenarnya, ada banyak fon putik yang mempunyai ANC tapi pada harga sangat mampu milik. Namun berdasarkan senarai tadi, fon putik yang mana satu kena dengan cita rasa anda? Semuanya ada ANC, jadi anda pilih satu ciri lain yang anda perlukan macam kependaman rendah, bateri lebih tahan lama, rupa yang cantik dan ada ciri menarik untuk mengesan fon putik.