Samsung hari ini membuat kejutan apabila mengumumkan ketibaan tiga produk flagship pada harga lebih mampu milik. Menggunakan nama Fan Edition atau FE, tiga peranti baru ini adalah telefon pintar Galaxy S23 FE, tablet Galaxy Tab S9 FE dan fon putik Galaxy Buds FE.
Harga dan Ketersediaan
Ketiga-tiga peranti yang diumumkan hari ini tanpa majlis pelancaran, akan mula dijual di Malaysia pada hari Selasa, 10 Oktober 2023. Harga rasmi ketiga-tiga produk tersebut adalah seperti berikut:
Galaxy S23 FE
RAM 8GB + Storan 128GB – RM2,999
RAM 8GB + Storan 256GB – RM3,299
Galaxy Tab S9 FE
(WiFi) RAM 6GB + Storan 128GB – RM2,099
(5G) RAM 6GB + Storan 128GB – RM2,699
(WiFi) RAM 8GB + Storan 256GB – RM2,399
(5G) RAM 8GB + Storan 256GB – RM2,999
Galaxy Tab S9 FE+
(WiFi) RAM 8GB + Storan 128GB – RM2,799
(5G) RAM 8GB + Storan 128GB – RM3,399
(WiFi) RAM 12GB + Storan 256GB – RM3,099
(5G) RAM 12GB + Storan 256GB – RM3,699
Galaxy BudS FE – RM399
Setakat ini, Samsung Malaysia tidak menyatakan sebarang promosi atau tempahan awal untuk ketiga-tiga produk baru ini. Tiada juga kedai tertentu disebut, jadi ia mungkin boleh dibeli dari pengedar sah Samsung Malaysia serta kedai Samsung sendiri.
Spesifikasi Galaxy S23 FE
Samsung menyatakan, Galaxy S23 FE dikuasakan cip 8-teras dengan kelajuan sehingga 2.8GHz. Memandangkan ia tidak dijelaskan secara rasmi, kami mengandaikan ia bukanlah cip keluaran Qualcomm. Berkemungkinkan besar ia adalah cip Exynos 2200. RAM dimuatkan sebesar 8GB dan storan di antara 128GB atau 256GB.
Saiz skrin nampaknya dikekalkan iaitu 6.4-inci, berbeza dengan Galaxy S23 (6.1-inci) dan Galaxy S23+ (6.7-inci). Ia dari jenis Dynamic AMOLED 2X iaitu resolusi HD Penuh (2340×1080) dan kadar penyegaran sehingga 120Hz. Kecerahannya boleh mencapai 1,450 nits, sedikit rendah berbanding Galaxy S23 pada 1,750 nits. Ia berlubang kecil di atas dahi untuk memuatkan kamera hadapan.
Kaca Corning Gorilla Glass 5 digunakan sebagai lapisan luar dan turut digunakan di belakang. Bukan lagi plastik di belakang seperti di Galaxy S21 FE. Samsung juga menyebut, bingkai telefon diperbuat daripada aluminium, bukannya Armor Aluminium seperti Galaxy S23. Manakala pengimbas capjari ada di dalam skrin.
Untuk kamera, gandingannya kini lebih mirip kepada siri Galaxy S23. Kamera utamanya 50MP F1.8, diikuti kamera ultra lebar 12MP F2.2 dan kamera telefoto 8MP F2.4, Ia mampu mengezum optikal 3x dan zum digital 30x. Kamera ini juga mampu merakam video UHD 8K. Untuk kamera hadapan, ia hanya menggunakan sensor 10MP tanpa autofokus, berbeza dengan Galaxy S23 yang memiliki kamera hadapan 12MP F2.2 dan ada auto fokus.
Kapasiti bateri dan pengecas nampaknya tidak berubah. Galaxy S23 FE masih dilengkapi bateri 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas berwayar 25W serta pengecas wayarles. Tetapi tiada pengecas diberi di dalam kotak, ia harus dibeli berasingan.
Ciri flagship lain yang masih kekal adalah seperti speaker stereo, kalis air dan debu IP68, NFC, serta sambungan USB-C jenis USB 3.2 Gen 1 yang sangat pantas. Bagaimanapun, kabel USB-C yang diberikan adalah jenis USB2.0, bukannya USB 3.
Sistem operasi OneUI 5.1 berasaskan Android 13 digunakan. Dengan jaminan Samsung untuk kemaskini OS 4x dan keselamatan 5 tahun, bermakna Galaxy S23 FE akan menerima kemaskini OS sehingga Android 17.
Samsung kali ini menyediakan enam warna untuk Galaxy S23 FE dan dua daripadanya eksklusif untuk tempahan atas talian. Empat warna biasa adalah ungu, hijau, kelabu dan krim. Dua lagi warna eksklusif adalah biru dan oren.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Samsung Galaxy S23 FE.
Bacaan Berkaitan
- Galaxy S23 FE dijangka hadir tanpa cip khas untuk Galaxy
- Samsung mungkin lancar Galaxy S23 FE hujung tahun ini dengan kejutan yang sangat mengecewakan
- Gambaran Samsung Galaxy S23 FE terdedah atas talian, tersedia dalam 4 pilihan warna
- Galaxy S21 FE: Promosi tempahan awal serta diskaun aksesori dan peranti