Baru-baru ini Tesla Model 3 dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Lagi dalam bulan Oktober, kini giliran Mercedes-Benz pula perkenalkan EV mereka. Kali ini, mereka membawa masuk EQS SUV, sebuah Sport Utility Vehicle (SUV) elektrik sepenuhnya. Dalam pasaran antarabangsa, ada 3 varian semuanya tapi untuk pasaran Malaysia, mereka bawakan 1 varian sahaja tapi varian yang paling tinggi iaitu Mercedes-Benz EQS 580 4Matic SUV.
EQS SUV 580 4Matic ditawarkan pada harga RM699,888 untuk Semenanjung Malaysia termasuk cukai jualan 10%. Kenderaan ini berkongsi platform dengan EQS Sedan, dan EQE.
Disebut dalam namanya, EQS SUV 580 4Matic adalah EV pacuan semua roda. Jadi ada dua motor yang mengerakkan tayar depan dan belakang. Sistem motor itu mengeluarkan 400kW (536hp) kuasa dengan tork setinggi 858Nm. Ia sedikit lebih berkuasa daripada iX xDrive50 pada 390kW dan tork 765Nm. EQS SUV ini memecut daripada 0 kepada 100 km/j dalam masa 4.6 saat walaupun beratnya hampir 3 tan.
Motor elektrik EQS SUV ini mengambil tenaga daripada sistem bateri 108.4kWh. Satu bateri penuh boleh bawanya kembara sejauh sehingga 615km. Apabila perlu dicas ia boleh menerima kuasa AC pada paras 22kW dan DC pada paras 200kW. Menggunakan arus AC, mengisi penuh bateri mengambil masa lebih 5 jam setengah manakala DC daripada 0 kepada 80% mengambil masa kira-kira 31 minit.
Berada dalam kategori SUV, anda boleh la jangkakan badan yang agak besar. Rekaan grill ikonik Mercedes diwariskan iaitu grill tanpa lubang yang rata daripada hud hinggalah ke bumper depan. Memang ia ada kiu rekaan futuristik EV namun ia tidak sefuturistik BMW iX yang kalau anda tengok daripada mana-mana arahpun orang tahu ini adalah kenderaan elektrik sepenuhnya. EQS SUV pulak kalau tengok daripada sisi nampak macam SUV petrol biasa.
Makanya, kalau orang-orang tua yang dah berzaman biasa dengan rekaan kereta petrol, penghijrahan mungkin lebih lancar, tidaklah terkejut sangat. Nampak biasa, tapi sistem pengampainya adalah berasaskan udara iaitu AirMatic. Dengannya, ketinggian kenderaan boleh diubah suai bergantung kepada kelajuan kereta untuk menambah baik aerodinamik dan seterusnya memberi kesan kepada kecekapan tenaga.
Bahagian lampu depan ini ada teknologi Digital Light yang terdiri daripada 1.3 juta piksel lampu yang terang menyuluh ke jalan raya. Setiap piksel ini boleh dimatikan secara individu untuk wujudkan kawasan gelap, berguna kalau anda pasang highbeam dan ada kenderaan datang dari arah depan.
Macam biasa, anda boleh jangkakan ruangan kabin serba mewah. Bila masuk ke ruangan pemandu, anda akan nampak sistem paparan Mbux Hyperscreen. Modul paparan ini adalah satu unit yang melintang merentasi pemandu hinggalah ke penumpang. Panel paparan menggunakan teknologi OLED. Lebih menarik, lubang pendingin udara pun adalah sebahagian daripada modul Mbux Hyperscreen ini. Kalau rosak, tak tahulah berapa harga untuk gantikannya.
Kolum stereng boleh disuaikan dengan pemandu dan dikawal nampak motor elektrik. Kerusi pemandu juga dikawal dengan motor elektrik. lagi yang dikawal motor elektrik adalah kerusi belakang. Untuk mengakses barisan ketiga tempat duduk, barisan tengah akan digerakkan ke depan. Kerusi belakang, jika tidak digunakan, boleh dilipat untuk berikan lebih banyak ruang penyimpanan. Cara lipatannya sangat kemas kalau anda perasan.
Sistem audionya terdiri daripada 15 unit speaker Burmaster 3D audio keliling yang anda kena rasai sendiri. Lebih menarik, EQS SUV adalah produk bukan Apple pertama yang sokong Apple Spatial Audio. Penumpang belakang ada skrin mereka yang tersendiri dan ada headset wireless sendiri untuk mendengar kandungan multimedia tanpa mengganggu.
Anda boleh melihat SUV ini dengan lebih rapat bila anda sertai pameran Electric Weekend at Mercedes-Benz yang berlangsung pada 20 Oktober hingga 22 Oktober 2023. Sementara itu, anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.