Dalam acara Snapdragon Summit yang berlangsung di Hawaii, Qualcomm telah mengumumkan ketibaan cip pemproses flagship mereka yang terbaru, Snapdragon 8 Gen 3. Cip generasi terbaru Qualcomm kali ini membawakan perubahan besar pada keupayaan AI, dengan ia merupakan cip mudah alih pertama yang dibina dengan keupayaan penjanaan AI.
Selain AI, Qualcomm juga telah mempertingkatkan cip ini di beberapa aspek lain termasuk dari segi prestasi, kamera, serta kualiti audio. Cip terbaru Snapdragon ini akan tersedia dipakai di telefon pintar Android dalam beberapa minggu lagi pada jenama seperti ASUS, Honor, iQoo, RedMagic, Xiaomi dan banyak lagi.
Teras CPU baharu yang lebih pantas
Untuk iterasi kali ini, cip Snapdragon 8 Gen 3 diperbuat dari proses 4nm dengan menampilkan CPU Kryo terbaru yang mempunyai 8 teras. Teras utamanya adalah Cortex-X4 yang bergerak pada kelajuan 3.3GHz, bersama-sama lima teras prestasi Cortex-A720 dengan tiga daripadanya bergerak pada 3.3GHz dan lagi dua pada 3.0GHz. Lebihan dua teras adalah teras kecekapan Cortex-A520 pada 2.3GHz.
Secara keseluruhannya, menurut Qualcomm, cip ini akan menawarkan prestasi 30% lebih laju daripada sebelumnya, sambil 20% lebih cekap tenaga. Ia boleh digandikngkan bersama RAM LPDDR5X sehingga 24GB dengan kelajuan sehingga 4800MHz, serta menyokong penggunaan storan 4.0.
Sokongan Ray Tracing dipertingkatkan
Bahagian GPU juga telah dipertingkatkan, dengan menampilkan GPU Adreno yang baru. Prestasinya kini 25% lebih laju untuk tugas render dan gaming, serta 25% lebih efisien. Lagi naik taraf yang dikenakan adalah ia mampu untuk memproses Ray Tracing secara nyata 40% lebih baik, serta menyokong Unreal Engine 5.2 dengan Global Illumination untuk tawar pantulan cahaya yang lagi realistik.
Selain itu, GPU terbaru ini dikatakan oleh Qualcomm dapat menawarkan permainan pada kadar bingkai sehingga 240FPS menggunakan Adreno Frame Motion Engine 2.0.
Penjanaan AI dengan teras NPU tercanggih
Perkara terbesar yang menerima naik taraf adalah pada bahagian keupayaan AI-nya. Dengan dibina dari penjanaan AI, enjin Qualcomm AI terkini ini adalah yang pertama seumpamanya menyokong penjanaan AI. Ia menyokong model bahasa lebih besar dan mampu untuk mengenal pasti percakapan secara automatik, dan boleh menjalankan sehingga 10 billion parameter secara terus dari peranti.
Ini kerana pemperoses neural Hexagon Qualcomm telah dinaik taraf, menawarkan prestasi 98% lebih laju membolehkan model bahasa memproses maklumat pada 15 token persaat. Sementara itu, fungsi AI Sensing Hub Qualcomm juga kini 3.5 kali lebih pantas, menambahbaik fungsi lain berkaitan AI.
Sistem kamera pintar diperkasa AI
Di samping itu, cip ini juga menampilkan fungsi kamera yang dikuasakan AI. Pemproses isyarat imej (ISP) Qualcomm Spectra baharu membolehkan ia meningkatkan kualiti gambar dan video dalam pelbagai situasi menggunakan AI. Serta, ia juga menyokong penyuntingan gambar dan video, seperti memadam objek dalam bingkai.
Penggunaan cip ini turut dioptimumkan untuk sensor Samsung 200MP yang mana dapat membenarkan perakaman berbilang video, penjejakan objek serta zum 2x dan 4x dalam resolusi 4K. Ciri penjanaan AI juga dapat meluaskan gambar yang ditangkap daripada gambar asal.
Dalam masa sama Qualcomm juga bekerjasama dengan Truepic untuk mengenalpasti gambar sebenar atau diedit dengan penjanaan AI.
Lossless audio menerusi WiFi & sambungan canggih
Sementara itu, pemproses audionya kini ditambah baik dengan teknologi Expanded Personal Area Network Technology yang mana menawarkan penstriman audio lossless tanpa gangguan menerusi WiFi.
Ketersambungan juga adalah yang terbaik setakat ini. Ia menggunakan Snapdragon X75 Modem-RF yang membenarkan kelajuan muat turun mencapai sehingga 10Gbps menggunakan rangkaian 5G, dan Qualcomm FastConnect 7800 untuk sambungan WiFi 7 dan teknologi Dwi-Bluetooth yang lebih canggih.
Penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 3 ini pada telefon pintar akan dipakai lebih awal dari anda yang sangka. Ini kerana telefon pertama yang bakal dikuasakan cip ini telah didedahkan siri Xiaomi 14. Pelancarannya akan berlangsung pada 26 Oktober ini jam 7 malam.
[Sumber: Qualcomm]