Acara Snapdragon Summit menyaksikan pelancaran cip pemproses terbaru keluaran Qualcomm. Di samping melancarkan cip mudah alih terbaru Snapdragon 8 Gen 3, Qualcomm juga telah memperkenalkan cip terbaru bagi platform komputer yang diberi nama Snapdragon X Elite.
Cip Snapdragon X Elite ini ditujukan untuk komputer Windows dan juga laptop. Menurut Qualcomm, ia merupakan cip paling berkuasa dalam kelasnya, serta mempunyai keupayaan AI yang baik dan sangat cekap tenaga, lantas menawarkan penggunaan peranti yang berhari-hari panjang.
Semua teras berprestasi tinggi
Melihat pada spesifikasi, Snapdragon X Elite diperbuat daripada platform tersuai yang dikenali sebagai Qualcomm Oryon. Ia menggunakan proses 4nm dan mempunyai 12 teras prestasi tinggi yang bergerak pada kelajuan 3.8GHz. Kelajuan teras tunggal dan dwi teras boleh dipertingkatkan untuk mencapai sehingga 4.3GHz beri prestasi yang ultra responsif bagi mengoptimumkan tugasan berat.
Qualcomm memaklumkan prestasi yang ditawarkan Snapdragon X Elite ini 50% lebih bagus berbanding pesaing ARM yang lain pada prestasi multi-threaded, dan juga lebih pantas daripada cip Apple M2 Max dalam prestasi single-threaded. Keseluruhan prestasinya malah dikatakan dua kali ganda lebih hebat berbanding dengan cip laptop 12 teras dan 10 teras x86 seperti Intel Core i7-1355U and Core i7-1360P.
Lebih mengagumkan, ia dapat menyamai kuasa cip pemproses lain dengan hanya menggunakan satu per tiga kuasa, membolehkannya untuk ada tahap kecekapan tenaga yang baik. Walaupun CPU Oryon ini menggunakan kurang 30% kuasa, ia dapat menyerupai kuasa puncak yang ditawar M2 Max. Snapdragon X Elite menggunakan RAM LPDDR5X dengan kelajuan memori sehingga 8533MT/s dan menyokong RAM sehingga 64GB, serta storan PCIe Gen 4 dan UFS 4.0.
Keupayaan khusus untuk AI
Selain itu, Snapdragon X Elite menawarkan sejumlah ciri khusus untuk AI, dengan dimampatkan enjin Qualcomm AI. Ia dibina di atas unit pemperoses neural (NPU) Hexagon yang berupaya untuk memproses sehingga 75 trilion operasi sesaat (TOPs) merentasi CPU, GPU dan NPU mikro. Ini juga membolehkan cip ini menjalankan model bahasa penjanaan AI pada paras sehingga 13 billion parameters terus di atas peranti.
Tambahan pula, enjin AI Qualcomm ini juga menyokong Windows Studio Effects dan beberapa aplikasi AI lain. Terdapat juga dwi NPU mikro yang telah dinaik taraf pada Qualcomm Sensing Hub untuk mengawal selia perkara berkaitan keselamatan, privasi dan pengalaman melog masuk.
GPU terbina yang berkuasa
Snapdragon X Elite datang bersama GPU Qualcomm Adreno yang mampu mencapai kelajuan sehingga 4.6 TFLOPS. Dengannya juga peranti dapat menyokong skrin resolusi sehingga 4K dan kadar penyegaran 120Hz bersama-sama HDR 10. Sementara itu, untuk paparan luar, GPU Adreno ini mampu mengeluarkan output tiga paparan Ultra HD, atau dua paparan 5K dalam satu masa.
GPU terbina ini dikatakan Qualcomm akan memberikan dua kali ganda prestasi GPU berbanding cip lain dalam kelasnya, di samping menggunakan kuasa yang minima.
Sambungan 5G terus di PC
Dalam pada itu, fungsi ketersambungan cip ini juga agak menarik. Ia menampilkan Modem-RF Snapdragon X65 5G dan sistem Qualcomm FastConnect 7800 yang menawarkan sambungan 5G secara terus, dan juga menyokong WiFi 7 dan Bluetooth 5.4.
Ia juga mempunyai Snapdragon Sound untuk sambungan audio lossless, serta dilengkapi Snapdragon Seamless yang membolehkan kesalinghubungan lancar antara peranti. Terdapat juga ciri keselamatan pintar menerusi Qualcomm Secure Processing Unit.
Tersedia pertengahan tahun 2024
Walau bagaimanapun, bagi anda yang mahu menggunakan laptop yang dikuasakan cip ini, Qualcomm memberitahu yang komputer dikuasakan oleh Snapdragon Elite X ini akan membuat kemunculan pertamanya sekitar pertengahan tahun 2024.
Selain itu, Qualcomm juga memberi bayangan platfom Qualcomm Oryon akan digunakan pada lebih banyak cip dalam keluarga Snapdragon nanti.
[Sumber: Qualcomm]