Infinix antara pengeluar yang sering menghangatkan pasaran telefon pintar. Mereka dapat menambat hati pengguna tempatan kerana menawarkan telefon dengan harga murah berbanding prestasi dan perkakas yang dikenakan.
Dalam tahun ini, Infinix banyak mengeluarkan telefon pintar terbaru mereka. Kalau anda perasan pun, kebanyakan telefon Infinix pada tahun ini semuanya bernombor 30. Sebelum ni ada Infinix Hot 30, ada Hot 30i dan Infinix Note 30 dan Note 30 Pro pun ada.
Jadi sekali lagi, Infinix melancarkan sebuah telefon pintar dengan nombor 30 iaitu Infinix Zero 30 5G. Ia adalah telefon berada dalam kelas pertengahan, dan menampilkan keupayaan kamera hebat, serta ada ciri pembantu AI.
Maklumat berkenaan harganya masih belum didedahkan lagi, tetapi ia mungkin diletakkan sekitar RM1,000. Jika Infinix sebelum ini dapat beri spesifikasi bagus pada harga murah, kejutan apa yang Infinix bawa untuk kali ini? Jom baca reviu ini dengan lebih lanjut. Atau anda boleh tonton menerusi video di bawah:
Spesifikasi Infinix Zero 30 5G
- SoC: Mediatek Dimensity 8020
- RAM: LPDDR4X 12GB
- Storan: UFS 3.1 256GB
- Skrin: AMOLED, 6.78-inci, HD Penuh, 144Hz, 950 nits
- Kamera Utama: 108MP OIS F1.7
- Kamera Ultralebar: 13MP F2.2
- Kamera Potret: 2MP F2.4
- Kamera Hadapan: 50MP F2.5
- Bateri: 5,000mAh
- Pengecas: USB-C 68W
- Audio: Speaker Stereo
- OS: XOS 13, Android 13
Pakej dalam kotak
Pakej kotak Infinix Zero 30 ini hadir dengan benda yang agak banyak juga. Ia datang bersama sarung getah lutsinar, pembuka dulang sim, kabel USB-C, dan juga kepala pengecas. Malah, lebih berbaloi apabila Infinix turut menyertakan fon kepala USB-C berwayar sekali.
Rekaan dan pengalaman
Bermula dengan rekaan, Infinix Zero 30 ini mempunyai panel belakang dengan kemasan matte yang terasa lembut di tangan. Teksturnya seolah terasa seperti kulit pun ada. Warna yang ada pada saya ni adalah berwarna Golden Hour, dan warna panel akan berubah sikit jika terkena cahaya pada sudut tertentu. Saya perasan yang pantulan panel belakang ini akan pantul dalam bentuk X, yang mana berikan estetik unik padanya.
Memegang badan Infinix Zero 30 agak selesa, kerana ia ada sisi badan dan skrin yang melengkung. Disebabkan itu juga, telefon terasa lebih premium apabila berada dalam tangan. Keseluruhan badan telefon ini juga tidak terasa berat, dan ada badan yang nipis. Meskipun begitu, rekaannya mengingatkan saya pada telefon Realme 11 Pro. Ada bingkai melengkung yang sama, dan skrin dengan lubang kamera di tengah-tengah.
Bercakap perihal skrin, telefon terbaru Infinix ini ada skrin AMOLED melengkung berukuran 6.78 inci. Namun yang membuatkan saya lebih suka pada skrin ini adalah ia ada bezel nipis pada lengkungan di sisi, tapi yang penting sekata pada atas dan bawah. Tengok skrin tak adalah terganggu sangat seperti di telefon dengan dagu tebal.
Kualiti panelnya dapat hasilkan warna cantik dan terang, serta ia ada tahap kontras yang baik dengan menawarkan warna hitam yang dalam. Imej yang dipaparkan juga sangat tajam dan jelas. Kecerahan skrin boleh mencapai sehingga 950 nits. Apabila menggunakannya di bawah cahaya matahari terik sekalipun, saya masih boleh nampak butiran skrin dengan jelas.
Di samping itu, tambah baik pengalaman melihat skrin adalah ada kadar penyegaran 144hz yang ia miliki. Skrin boleh bergerak dengan sangat lancar, membuatkan pengalaman menatal sangat baik. Kadar penyegarannya juga boleh ditetapkan untuk automatik, yang mana akan merendahkannya kepada 60Hz mengikut keperluan untuk jimat bateri.
Disebabkan skrinnya yang melengkung, saya agak kerap juga mengalami sentuhan tidak sengaja pada skrin. Kadang-kadang tengah mengambil gambar secara melintang pun akan menyebabkan ia tersentuh fungsi lain.
Walaupun Infinix tawar tiga mod iaitu ‘Intelligent’, ‘Strong’ dan ‘Weak’ untuk mengelaknya, tapi tetap akan berlaku juga sentuhan tidak sengaja tak kira mod mana saya guna. Jadi ini mungkin lumrah yang pengguna skrin melengkung perlu hadap.
Di samping skrin yang baik, telefon ini ada speaker cukup lantang dan sedap. Stereo speaker yang menembak ke bawah dan ke depan. Sementara itu, ia tak ada jek audio 3.5mm untuk sambungan berwayar.
Kamera hebat
Satu perkara yang Infinix mahu tonjolkan pada zero 30 ini adalah bahagian kameranya. Dari kotak pun mereka sudah nyatakan dengan besar, yang ia boleh merekod sehingga 4K 60fps dan kamera depan khusus untuk vlog. Jadi agak menakjubkan dan dalam segmennya, ia mungkin satu-satunya telefon pintar yang dilengkapi keupayaan sebegini.
Sistem pengimejan Infinix Zero 30 dipacu oleh kamera utama 108MP, kamera ultra lebar 13MP. Lagi satu modul kamera adalah kamera potret 2MP. Untuk gambar biasa, kamera utamanya menangkap dengan resolusi 12MP menggunakan teknologi ‘Pixel Binning’.
Ia dapat menghasilkan warna yang cantik. Warnanya agak dekat seperti dunia sebenar, serta gambar kelihatan sangat jelas dan tajam. Tahap Dynamic range juga agak baik, masih boleh kekalkan butiran awan yang cerah serta butiran di kawasan gelap.
Namun, jika tangkap menggunakan mod 108MP, gambar dihasilkan lebih tajam, malah perkataan yang jauh apabila di zum pun masih nampak dengan jelas, berbeza dengan menggunakan kamera biasa. Tapi semasa zum, awal-awal akan nampak kabur sedikit sebab ia mengambil masa seketika untuk memproses. Jadi kalau suka crop gambar, saya syorkan anda untuk gunakan mod 108MP, memang ketara lebih baik. Tapi kena tahu yang ia ambil masa beberapa saat untuk simpan menggunakan mod ini, dan saiz fail pun akan lebih besarlah.
Di samping itu, ia menyokong zum digital sehingga 10x, dan hasil yang diberikan masih boleh diterima untuk nampakkan teks di papan petanda dari jauh. Butiran gambar masih tidak hilang sepenuhnya atau erti kata lain tak kabur, dan perkataan boleh nampak dengan jelas. Hasil tangkapan menggunakan kamera ultra lebar pula beri kualiti yang tidak berbeza dengan kamera utama. Warna yang dihasilkan lebih kurang sama, yang juga bermakna ia ada kualiti yang bagus.
Mengambil selfie menggunakan kamera depan 50MP pula, kualiti gambar sangat cantik. Warna kulit kelihatan natural dan tidak terlalu diproses seperti di sesetengah telefon Android, serta imej jelas dan tajam. Tambah pula ia ada lampu flash depan, bolehkan anda selfie dalam persekitaran yang kurang pencahayaan.
Cukup tentang gambar, saya ingin bercakap pasal perkara yang Infinix tujukan untuk telefon ini, iaitu keupayaan merekod video sehingga 4K 60fps. Pada ujian saya, video ada kejelasan yang sangat baik, dan tawarkan warna dan imej yang berkualiti. Cumanya apabila banyak pergerakan, video jelas nampak cuba distabilkan guna perisian, dan ia menjadikan video nampak sedikit pelik. Seolah video bergerak-gerak dalam dimensi. Kesan ini akan nampak lebih jelas apabila video ketika sedang berjalan.
Tetapi nasib baik ia ada fungsi Ultra Steady untuk rakaman yang lebih stabil, tapi kena tahu yang ia hanya terhad untuk rakaman HD Penuh 60 fps. Dengannya, video direkod lebih stabil, tapi kesan penstabilan yang tidak natural itu masih ada, tapi sangat minima.
Kamera depan Inifinix Zero 30 ini juga berupaya untuk merakam sehingga 4K 60 fps. Video yang dirakam darinya ada hasil sangat baik. Kualiti jelas, warna terang dan ada fokus yang baik. Memang tepat apa yang infinix kata iaitu sesuai untuk vlog. Dan apa yang saya suka ia tak ada kesan penstabilan janggal yang ada pada kamera belakang. Jadi video lebih elok dan sedap untuk di tengok semula. Cuma kekurangannya pada bahagian cerah, kerana ia tidak dapat kekalkan butiran.
Saya dapati yang apabila mengambil video dalam jangka panjang, telefon akan rasa sedikit suam. Tapi apa yang saya boleh simpulkan, sistem kamera di Infinix Zero 30 mempunyai kualiti antara yang terbaik dari kamera lain dalam kelasnya.
Masih ada DNA gaming
Menjenguk pada bahagian prestasi, Infinix Zero 30 sememangnya tidak mengecewakan. Ia boleh dikata memiliki prestasi bagus walaupun bukanlah yang terbaik. Cip yang menggerakkan telefon ini merupakan Dimensity 8020, yang memiliki 4 teras Cortex-A78 yang berkelajuan 2.6 GHz. Dengannya, ia berupaya untuk menjalankan segala tugas harian dengan baik.
Tambah baik prestasi telefon ini adalah RAM 12GB yang dilengkapinya, dengan menyokong perluasan RAM maya sehingga RM9GB, serta storan jenis UFS 3.1 yang ia gunakan.
Prestasi yang cip Dimensity 8020 ini ada boleh dilihat setara dengan cip Qualcomm Snapdragon 865, iaitu cip flagship empat tahun yang lepas. Ini kerana, markah yang diperoleh pada dua-dua cip ini di ujian penanda aras adalah lebih kurang sama.
Di Geekbench 6, cip Snapdragon 865 ini peroleh 1,110 dan 3,258 markah untuk teras tunggal dan pelbagai teras, 4,562 markah di 3D Mark dan737,273 mata di Antutu. Berikut saya kongsikan pula markah yang diperoleh Infinix Zero 30 di Geekbench 6, 3D Mark dan Antutu.
Walaupun tidak diiklankan untuk gaming, Infinix Zero 30 ini dapat menjalankan kebanyakan game tanpa masalah. Agak lancar juga permainan bergerak, tapi sudah tentu bukan dengan tetapan yang disetkan pada paling tinggi. Kalau game berat seperti Genshin Impact, ia boleh main dengan sangat lancar jika diset pada ‘High’ pada 60fps. Tapi kalau pada tetapan ‘Highest’, game akan tersekat-sekat sikit.
Kalau game seperti Call of Duty Mobile, telefon ini tiada masalah untuk memainkannya pada tetapan tertinggi. Game bergerak dengan lancar, dan grafik pun nampak cantik. Untuk game yang lebih ringan seperti Mobile Legends dan Asphalt 9, lagilah ia mampu untuk menjalankan game dengan sangat baik.
Ketika melakukan tugasan berat atau bermain game, seperti biasa telefon akan terasa agak suam untuk dipegang, terutamanya pada bahagian panel belakang. Namun, bukan pada panel belakang sahaja, tapi saya merasakan suam-suam di bahagian atas skrin atau kiri skrin apabila meleret skrin semasa bermain game. Walaupun panas, ia tidak memberi sebarang kesan terhadap prestasi gaming.
Perisian dan fungsi AI ChatGPT
Seperti biasa, Infinix memasangkan sistem operasi XOS buatan mereka sendiri di telefon ini. Sejurus menghidupkan telefon, saya dapati telefon datang dengan banyak aplikasi bloatware yang telah di pra-pasang, yang mana agak menjengkelkan juga. Tidak seperti Infinix GT 10 Pro yang tiada bloatware langsung. Jadi agak pelik kenapa Zero 30 ini ada banyak bloatware sedangkan Infinix boleh buangnya di GT 10 Pro.
Namun, satu aplikasi yang berada di antara aplikasi bloatware ini adalah aplikasi Folax. Ia adalah fungsi pintar seperti Siri atau Bixby, tapi versi Infinix yang dikuasakan oleh ChatGPT. Walaupun Folax ini telah dipra-pasang terlebih dahulu, ia tidak boleh digelar sebagai aplikasi bloatware kerana Folax ini bukan aplikasi yang dibayar oleh pihak ketiga dan dihasilkan oleh Infinix sendiri.
Dengan Folax, anda boleh beri pelbagai arahan seperti melancarkan aplikasi atau juga boleh beri arahan untuknya mengambil selfie. Tapi sebab ia berintegrasi dengan ChatGPT, keupayaannya tidak terhad pada itu. Anda juga boleh menanyakan pelbagai soalan yang kompleks. Ia boleh menjawabnya sepertimana yang boleh dilakukan di ChatGPT.
Cuma kelebihannya di sini adalah ia boleh dilakukan secara terus di Folax. Tak perlu melayari laman web OpenAI ataupun memuat turun aplikasi berasingan.
Infinix Zero 30 ini nampak sahaja macam bukan telefon gaming, tapi ia mempunyai ciri gaming Xarena dengan Dar-Link. Dengannya, anda boleh buat tetapan khas untuk gaming, macam ubah tahap prestasi, kawal selia haba masa gaming dan banyak lagi.
Tapi ciri yang ada pada Zero 30 ini tidaklah selengkap yang terdapat di telefon khusus untuk gaming seperti Infinix GT 10 Pro. Ini adalah kerana Zero 30 ini tidak memiliki fungsi bypass charging untuk penjagaan bateri gaming semasa mengecas. Tapi fungsi Magic Button masih ada untuk anda manfaatkan sebagai butang tambahan. Semua fungsi ini boleh diakses dengan meleret lama di tepi skrin.
Magic Ring, Dynamic Island versi Infinix
Satu ciri baru yang saya jumpa pada telefon ini adalah ia ada fungsi seakan Dynamic Island di iPhone, yang dinamakan Magic Ring. Ia boleh tawar maklumat asas kepada pengguna dalam bentuk animasi di bahagian kamera depan. Antara maklumat yang boleh ia tawar termasuk notifikasi pengecasan, peringatan bateri rendah, panggilan di latar belakang, dan face unlock. Animasinya kemas dan bersih.
Namun, ia taklah secanggih Dynamic Island boleh tawar pelbagai maklumat dan notifikasi. Tapi sekurang-kurangnya ia menambah nilai yang telefon ini ada.
Bateri dan pengecasan
Untuk penggunaan biasa macam melayari media sosial dan menonton video, masa penggunaan yang Zero 30 ini beri agak bagus. Ia boleh bertahan sehingga akhir hari tanpa masalah, dengan berbaki dalam 15-20% lagi. Jika bermain game, saya dapati ia agak kuat telan bateri. Saya main Genshin Impact dalam masa sejam lebih, jadikan bateri turun dari 85% ke 55%.
Jika kehabisan bateri, Infinix Zero 30 ini menyokong pengecasan sehingga 68W. Untuk mengecas penuh, ia ambil masa sekitar 45 minit. Lebih memudahkan, Infinix juga beri kepala pengecas 68W sekali dalam kotak. Tak perlu beli kepala lain lagi kalau anda ada kepala pengecas yang lagi rendah watt.
Kesimpulan
Akhir kata, saya memang agak kagum dengan apa yang Infinix tawar untuk telefon Infinix Zero 30 ini. Keupayaan merakam pada 4K 60fps memang satu kelebihan besar buat telefon ini, kerana ia adalah satu ciri yang ada pada telefon flagship. Tapi kualiti video kameranya bukanlah terbaik untuk kamera belakang. Untuk kamera depan anda pasti tak akan kecewa.
Tambah pula ia ada skrin 144Hz dan mampu untuk menjalankan game dengan cukup baik. Fungsi gaming pun masih ada, cuma kehilangan pada ciri Bypass Charging sahaja. Seperkara lagi ia ada fungsi pintar menggunakan ChatGPT, serta Magic Ring yang menarik dan berguna untuk situasi tertentu.
Jika dibandingkan dengan Realme 11 Pro, rekaan skrin dan badan sama sahaja, tapi Zero 30 ada keupayaan menangkap gambar dan merakam lebih baik, malah prestasi pun lagi tinggi. Lagi pesaingnya adalah Redmi Note 12 Pro+. Tapi Zero 30 turut lebih baik, pada prestasi, skrin, cuma Redmi ada pengecasan lagi laju 120W.
Disebabkan telefon ini masih belum dilancar, anda kena tunggu pelancarannya nanti yang mungkin diadakan sekitar November tahun ini.