Kalau anda berhasrat untuk dapatkan TV pintar baru, saya nak cadangkan anda untuk dapatkan TV pintar menggunakan Google TV. Ini kerana sistem Google TV dilengkapkan pelbagai fungsi Google macam kawalan suara Google Assistant, Chromecast terbina, dan juga ada Google Play Store. Lebih mudah untuk memuat turun pelbagai aplikasi.
Dengan Google TV juga, anda boleh tonton di aplikasi penstriman lain macam Sooka, RTMKlik dan MyTV. Nak menstrim di YouTube pun senang. Kalau banding dengan TV pintar bukan Google TV, aplikasi yang tersedia agak terhad, dan anda kena ada Android Box terlebih dahulu, kemudian kena guna dua remote berbeza untuk kawalan.
Jadi dalam artikel ini saya nak cadangkan 5 TV Google terbaik saiz 43 inci dengan harga sekitar seribu ringgit di Malaysia. Kenapa saya pilih 43 inci adalah untuk mengekalkan harga dalam lingkungan mampu milik, lagipun tak semua nak TV yang besar.
1. TCL P636 4K UHD 43″
TV TCL P636 4K UHD ini mempunyai resolusi 4K dengan HDR untuk paparan kualiti warna yang cantik. Terdapat teknologi Dynamic Colour Enhancement memberikan warna dipapar lebih terang, serta ia ada kadar penyegaran 60Hz.
TV ni ada rekaan ‘Edgeless Design’ dengan bezel yang sangat nipis. Selain menggunakan sistem operasi Google TV dan ada Google Assistant, TV ini juga mempunyai fungsi kawalan suara Amazon Alexa. Jadi anda mempunyai pilihan yang lebih dan tidak terhad untuk Google sahaja.
TV ini dikuasakan oleh cipset AIPQ Engine 2.0 untuk bantu memproses kandungan dan melakukan upscaling pada kualiti imej dan audio. Cip ini juga mampu untuk mengenalpasti dan menyingkirkan bunyi herotan, sekali gus menambahbaik pengalaman audio. Sistem bunyi juga dibantu oleh teknologi Dolby Audio dengan speaker berkuasa 10W.
Selain itu, ia juga mempunyai ‘Auto Low Latency Mode’ berikan skrin lebih responsif semasa gaming. Untuk sambungan, TV ini menyokong WiFi 2.4 GHz dan 5 Ghz, ada port USB 3.0 dan HDMI 2.1 yang menyokong eARC dan juga port RF.
TV TCL P636 ini tersedia dalam saiz 43 inci, tapi dekat Malasyia banyak yang jual 50 inci ke atas sahaja. Jadi untuk 50 inci, ia boleh dimiliki anda pada harga sekitar RM1,400. Anda boleh mendapatkannya di Lazada dan Shopee.
2. Haier H43K66UG 43″
Haier H43K66UG ini memiliki paparan beresolusi 4K UHD berukuran 43 inci. Skrinnya mempunyai nisbah kontras 5000:1 dan juga piawaian HDR 10 untuk menawarkan kandungan dengan lebih jelas. Kadar penyegaran yang disokong adalah 60Hz.
Sistem audionya digerakkan oleh dua speaker berkuasa 10W yang mempunyai sokongan Dolby Digital. Ia juga ada fungsi ‘Auto Volume Leveller’ untuk menjaga kelantangan bunyi yang tidak sekata.
Untuk sambungan port, ia ada 4 port HDMI 2.0, 2 USB 2.0, satu input komposit dan 1 port Ethernet RJ45. Terdapat juga jek audio 3.5mm jika anda perlukan sambungan audio berwayar.
Disebabkan menggunakan Google TV, sudah tentu ia mempunyai sambungan WiFi untuk anda menstrim rancangan kegemaran anda. Lebih menarik, TV ini juga boleh berintegrasi bersama Google Home melalui Google Assistant, jadi anda boleh kawal perkakas rumah menggunakan suara sahaja.
TV Haier ini boleh didapati pada harga RM1,329 di Lazada dan Shopee.
3. Xiaomi TV A Pro 43″
Xiaomi TV A Pro ini baru sahaja dilancar pada bulan September lepas. Bukan sahaja mempunyai Chromecast terbina, ia juga mempunyai Miracast membolehkan anda tonton di TV menerusi telefon pintar pada resolusi tinggi.
Bahgian bunyinya dilengkapkan dengan dua speaker stereo berkuasa 12W. Sistem bunyi ini dibantu dengan Dolby Audio dan DTS Virtual:X yang boleh menawarkan bunyi tiga dimensi (3D). Jadi ia akan menawarkan pengalaman seolah menonton di dalam panggung wayang.
Paparannya ada bezel yang sangat nipis dengan skrin beresolusi 4K UHD. Ia juga ada Dolby Vision, HDR10 dan HLG untuk menawarkan imej dengan kontras dan warna dengan lebih terperinci, serta memiliki warna gamut DCI P3 90% berikan warna yang tepat. Pergerakan laju pada skrin boleh menjadi lancar dengan adanya teknologi MEMC.
TV ini menggunakan sambungan WiFi 2.4 GHz atau 5GHz dan mempunyai 3 port HDMI yang satu daripadanya eARC, dua port USB 2.0, 1 port komposit AV, 1 ethernet port dan jek audio 3.5mm.
Xiaomi TV A Pro boleh didapati pada harga RM1,199. Anda boleh membuat pembelian di Lazada dan Shopee.
4. Sharp AQUOS 2TC42EG1X 42″
Sharp Aquos 42 inci hadir dengan mod ‘Low Latency’ untuk melancarkan pergerakan dalam bingkai secara automatik semasa gaming. Paparannya juga menyokong piawaian HDR10 dan juga HLG untuk tawar imej yang cantik jelas, serta ia ada warna gamut yang luas.
Segala imej dan audio dari TV ini diproses dari cipset S2 Revelation yang dilengkapinya. Namun, kekurangan paparan TV ini adalah ia hanya menyokong resolusi HD penuh dan menggunakan panel VA tetapi ini menjadikan harganya paling murah.
Speakernya ada teknologi ‘Sound Reflector’ untuk membolehkan suara dipancar ke depan dengan lebih jauh menggunakan dua speaker terbina berkuasa 7.5W. Ia juga memiliki teknologi Dolby Audio dan Dolby Atmos untuk menawarkan bunyi sekeliling (Surround Sound).
Dalam masa sama, TV ini juga menyokong WiFi dan mempunyai sejumlah sambungan seperti 3 port HDMI, 2 port USB, 1 port Ethernet dan jek audio 3.5mm.
Sharp Aquos boleh didapati pada harga RM1,029. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
5. Skyworth SKY-43SUE7600 43″
Skyworth ini mungkin jenama yang anda jarang dengar. Tapi ia antara jenama yang popular dan banyak menghasilkan TV di Malaysia. Untuk model Skyworth SKY-43SUE7600 ini, ia ada paparan beresolusi 4K UHD dan dilengkapi dengan ciri ‘Low Blue Light’ dan ‘Flicker Free’ untuk melindungi dan mengelakkan keletihan mata semasa menonton.
TV ini juga menyokong HDR10 dan HLG berikan warna paparan yang cantik. Ia diproses menggunakan cip Chameleon Extreme 2.0 yang mana juga dapat bantu menambah baik kesan kontras dan menawarkan imej yang berkualiti. Tambahan pula ia mempunyai Filmmaker mode untuk menawarkan pengalaman menonton filem lebih mengasyikkan.
Sistem audio TV ini hadir dengan teknologi Dolby Audio dan DTS Studio Sound, tawar bunyi yang lebih imersif. Dengan memiliki kawalan suara Google Assistant, TV ini juga boleh kawal perkakas rumah menerusi Home Control. Sambungan WiFi yang disokong adalah 2.4 dan 5Ghz, dan ia memiliki 2 port USB, 2 port RF, 3 HDMI, mini RCA dan 1 port ethernet.
Skyworth SKY-43SUE7600 boleh dibeli pada harga RM1,299 di Lazada dan Shopee.
Berdasarkan senarai tadi, ada tak yang menarik minat anda? Semua TV dalam senarai ini dilengkapi dengan Google TV, jadi anda boleh guna kesemua fungsi Google yang tersedia. Tapi, jika masih tak pasti, anda boleh pilih satu ciri lain yang anda mahukan pada TV.
Kalau anda nak guna untuk gaming, boleh dapatkan TCL P636 4K UHD atau Sharp AQUOS 42 Inci sebab ia ada ‘Auto Low Latency Mode’. Kalau nak speaker sedap ada bunyi 3D, boleh dapatkan Xiaomi TV A Pro sebab dia ada speaker berkuasa 12W dengan DTS Virtual:X. Kalau anda ada anak kecil, lebih sesuai untuk dapatkan Skyworth Skyworth SKY-43SUE7600 43 inci sebab ia ada ciri ‘Low blue light dan ‘Flicker free’.