Kalau anda nak cari jam pintar yang sesuai untuk wanita, ini saya ada senaraikan 5 jam pintar terbaik yang boleh anda dapatkan. Harganya semua di bawah RM1,500. Dengan harga ini, anda boleh dapatkan spesifikasi yang terbaik untuk jam pintar anda, termasuklah fungsi khas untuk wanita.
Anda boleh tonton senarai 5 jam pintar terbaik untuk wanita di bawah RM1,500 dalam video di bawah. Kami juga ada sediakan senarai jam tangan pintar di bawah RM500 di sini.
1. Apple Watch SE
Apple Watch SE merupakan jam berbentuk segi empat ini didatangkan dalam dua pilihan saiz, 44mm atau 40mm. Untuk wanita semestinya saiz muka jam yang lebih kecil iaitu 40mm dengan skrin paparan Retina LTPO OLED 1.57 inci boleh dijadikan pilihan utama. Harganya pun sudah tentu lagi murah berbanding 44mm.
Selain fungsi kecergasan, ciri menarik lain pada Watch SE adalah ia dilengkapi sensor cahaya persekitaran, pemantauan corak tidur seperti tidur nyenyak, tidur ringan dan fasa REM iaitu semasa anda sedang bermimpi.
Ada juga fungsi panggilan SOS, pengesan kemalangan dan jatuh serta fungsi pembayaran Apple Pay. Ia juga menyediakan ciri khas untuk wanita iaitu pengesanan kitaran haid.
Watch SE ini juga ada mikrofon dan speaker, jadi bolehlah anda membuat atau menjawab panggilan telefon terus dekat jam sahaja. Malangnya jam pintar Apple ini cuma boleh dipautkan dengan iPhone sahaja. Hayat baterinya juga agak singkat, hanya bertahan untuk tempoh 18 jam dengan penggunaan biasa.
Apple Watch SE ini boleh dimiliki pada harga bermula RM1,199. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
2. Huawei Watch GT 4
Watch GT 4 keluaran Huawei telah memasuki pasaran pada Oktober 2023 sera datang dalam 2 saiz, 46mm dan 41mm. Dengan rekaan badan jam berbentuk bulat seakan loket bersama skrin AMOLED 1.31 inci, menjadikan jam saiz 41mm lebih sesuai digayakan wanita.
Menariknya jam ini menawarkan lebih daripada 100 mod senaman termasuk berjalan, berbasikal dan berenang dengan keupayaan kalis air 5 ATM. Istimewa untuk wanita, terdapat juga fungsi jangkaan waktu haid dan kesuburan melalui data terkumpul dan algoritma yang terdapat dalam jam.
Selain jangka hayat baterinya yang boleh bertahan sehingga 7 hari, Huawei Watch GT 4 yang boleh dipautkan dengan peranti Android atau iPhone ini juga membolehkan anda menjawab panggilan dan bercakap terus di jam tanpa perlu mengeluarkan telefon. Nak berbalas mesej pun boleh dari muka jam. Tapi kekurangannya untuk pengguna iPhone, ia tidak menyokong fungsi balasan mesej pantas.
Harga untuk Huawei GT 4 ini bermula daripada RM1,099. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
3. Samsung Galaxy Watch6
Jam berbentuk bulat bersama skrin paparan Super AMOLED 1.3 inci yang dilancarkan pada bulan Ogos 2023 ini didatangkan dalam dua saiz, 40mm dan 44mm. Dengan saiz yang lebih kecil, membuatkan Samsung Galaxy Watch6 bersaiz 40mm lebih sesuai wanita, jadi jam pintar anda tidak akan nampak terlalu besar di tangan, poket pun selamat sebab harganya lebih murah.
Antara fungsi pada Galaxy Watch6 adalah pemantauan tidur bagi menambah baik kualiti tidur, ciri kecergasan dengan analisis komposisi badan untuk mengukur peratusan lemak dan air dalam badan, otot rangka serta kadar metabolisme asas, panggilan SOS dan pengesan jatuh.
Kelebihan terbesar jam ini adalah ia menawarkan fungsi ECG, yang boleh kesan kalau ada masalah dengan kadar degupan jantung anda. Bagi wanita pula, terdapat ciri perubahan suhu kulit serta kitaran haid yang menggunakan sensor suhu inframerah.
Untuk tempoh penggunaan pula, jam ini boleh mencapai sehingga tempoh 40 jam dengan sekali caj. Nak buat panggilan dan berbalas mesej terus di jam pun boleh. Tetapi seperti Apple Watch SE, kekurangan jam ini adalah ia hanya boleh serasi dengan peranti Android sahaja. Jadi kalau anda pengguna iPhone, terpaksalah lupakan pilihan jam pintar ini.
Harga untuk Samsung Galaxy Watch6 ini bermula daripada RM1,099. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
4. Amazfit Balance
Amazfit Balance telah memasuki pasaran Malaysia bulan September 2023. Dengan badan berbentuk bulat, Amazfit Balance dilengkapi skrin paparan AMOLED 1.5 inci bersama kecerahan puncak 1,500 nits.
Ciri menarik jam pintar ini adalah Bioelectric Impedance Sensor yang dapat mengira lemak dan paras air dalam badan, protein, BMI dan jumlah pembakaran kalori. Kalau anda suka bersenam, Amazfit Balance menawarkan jurulatih peribadi yang dikuasakan AI, iaitu Zepp Coach. Selain kalis air sehingga 5ATM, Amazfit Balance turut menawarkan fungsi penjejakan kitaran haid untuk wanita.
Dengan jam pintar ini juga anda boleh membuat dan menjawab panggilan telefon melalui sambungan Bluetooth. Tapi kelemahannya, pengguna iPhone tidak boleh menghantar balasan mesej pantas daripada panggilan, SMS atau sebarang aplikasi teks lain seperti WhatsApp, Telegram atau Facebook Messenger. Daripada segi jangka hayat bateri pula, ia dikatakan dapat bertahan sehingga 14 hari.
Harga untuk Amazfit Balance ini adalah RM1,099. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
5. Garmin Vivoactive 5
Jam pintar keluaran Garmin ini telah memasuki pasaran Malaysia pada Oktober 2023. Badan jam berbentuk bulat dengan saiz 42mm dan dilengkapi dengan paparan AMOLED 1.2 inci.
Antara ciri yang ditawarkan Vivoactive 5 adalah lebih 30 mod sukan, fungsi kesihatan seperti Pulse OX, pemantau waktu tidur, Body Battery, penjejak lokasi, di samping kalis air sehingga 5ATM. Khas bagi pengguna wanita, jam ini membolehkan anda menjejak kitaran haid atau kehamilan serta tip pemakanan dan senaman.
Garmin Vivoactive 5 yang mempunyai jangka hayat sehingga 11 hari ini serasi digunakan bersama peranti iPhone atau Android untuk menerima dan membaca SMS, notifikasi media sosial, email dan banyak lagi. Namun kekurangannya adalah fungsi membalas dengan menggunakan papan kekunci dan melihat photo terus daripada jam tangan hanyalah untuk pengguna Android sahaja.
Harga untuk Garmin Vivoactive 5 ini adalah RM1,480. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.