Vivo telah melancarkan telefon flagship terbaru mereka untuk pasaran China, siri Vivo X100. Ia merangkumi dua model X100 dan X100 Pro, dan merupakan siri telefon pertama yang dikuasakan SoC MediaTek terhebat setakat ini, Dimensity 9300.
Sebagai pengganti kepada siri Vivo X90 yang diumumkan awal tahun ini, siri Vivo X100 ini juga didatangkan dengan kamera penjenamaan Zeiss, tapi telah dinaik taraf untuk menggunakan kamera telefoto yang diiktiraf Zeiss APO.
Skrin AMOLED melengkung
Daripada luaran, rekaan model biasa dan Pro boleh dilihat sama. Kedua-duanya mempunyai skrin melengkung AMOLED LTPO 6.78 inci dengan resolusi 2,800 x 1260 piksel, serta kadar penyegaran 1-120Hz. Panel paparannya memiliki kecerahan puncak sehingga 3,000 nits, dan tampil dengan teknologi PWM Dimming setinggi 2,160Hz untuk melindungi mata. Terdapat lubang kamera hadapan yang diletakkan di tengah-tengah skrin.
MediaTek Dimensity 9300
Seperti yang dikata awal tadi, kedua-dua model siri Vivo X100 ini diperkasa cip terbaru MediaTek Dimensity 9300. Ia memiliki 4 teras berprestasi tinggi Cortex-A4 dengan kelajuan 3.25Ghz, dan 4 teras cekap tenaga Cortex-A720 pada 2Ghz. Cip tersebut digandingkan dengan RAM LPDDR5 atau LPDDR5T sehingga 16GB dan storan UFS 4.0 sehingga 1TB.
Telefon siri Vivo X100 ini menjalankan sistem operasi OriginOS4 terbaru berasaskan Android 14. Khas di model X100 Pro, ia juga dipasangkan cip pengimejan Vivo V3 6nm terbaru untuk mengendali rakaman dan pemprosesan video potret dalam resolusi 4K.
Kamera Zeiss APO
Di sistem pengimejan, kedua-dua model menampilkan bulatan besar yang menempatkan tiga modul kamera yang hadir dengan penjenamaan Zeiss. Walaupun nampak sama, terdapat perbezaan pada modul kamera yang digunakan.
Untuk model X100 Pro, ia menampilkan tiga unit kamera beresolusi 50MP. Kamera utamanya menggunakan sensor 1″ Sony IMX989 dengan bukaan apertur f/1.8. Kamera kedua adalah kamera telefoto Zeiss APO yang mampu untuk memperbetulkan lensa zum secara apokromatik dengan menjajarkan warna hijau, merah dan biru pada paras fokus sama, lantas berikan kejelasan baik serta mengurangkan herotan warna pada imej. Kamera ini juga mampu untuk zum optikal 4.3x dan zum digital sehingga 100x. Lagi satu kamera adalah kamera ultralebar f/2.0 dengan jarak fokal 15mm.
Sementara itu, untuk model X100, ia turut menggunakan kamera utama 50MP f/1.57 tapi dengan sensor IMX920, bersama kamera telefoto 64MP OIS menggunakan sensor bersaiz 1/2″ dengan keupayaan zum optikal 3x. Kamera ultralebar 50MP 15mm yang sama pada model Pro turut ada padanya. Kesemua modul kamera siri X100 ini menggunakan lensa dengan coating T* Zeiss yang didakwa dapat mengurangkan pantulan 50% beranding siri Vivo X90.
Kapasiti bateri
Untuk tenaga, Vivo X100 dimuatkan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W, manakala model X100 Pro ada bateri lebih besar 5,400mAh dengan pengecasan 100W berwayar dan 50W secara wayarles. Kedua-duanya memiliki sambungan WiFi 7, Bluetooth 5.4 dan tersedia dalam empat warna iaitu hitam, putih, biru, dan oren.
Harga dan ketersediaannya di China
Harga siri Vivo X100 di China adalah seperti berikut:
- Vivo X100 (RAM 12GB + storan 256GB) – RMB3,999 (~RM2,587)
- Vivo X100 (RAM 16GB + storan 256GB) – RMB4,299 (~RM2,780)
- Vivo X100 (RAM 16GB + storan 512GB) – RMB4,599 (~RM2,975)
- Vivo X100 (RAM 16GB + storan 1TB) – RMB4,999 (~RM3,234)
- Vivo X100 (RAM LPDDR5T 16GB + storan 256GB) – RMB5,099 (~RM3,300)
- Vivo X100 Pro (RAM12GB + storan 256GB) – RMB4,999 (~RM3,234)
- Vivo X100 Pro (RAM16GB + storan 512GB) – RMB5,499 (~RM3,558)
- Vivo X100 Pro (RAM LPDDR5T 16GB + storan 256GB) – RMB5,999 (~RM3,881)
Siri Vivo X100 ini akan dijual di China mulai 21 November 2023 ini. Namun setakat ini, masih tiada pengumuman berkenaan pelancarannya di Malaysia, tapi pelancaran antarabangsanya dikatakan akan diadakan kemudian.