Garmin telah menghasilkan pelbagai jam kecergasan untuk aktiviti berbeza. Jika anda suka menyelam, salah satu pilihan yang ada ialah Garmin Descent G1. Ia pertama kali dilancar pada April 2022 dan kini Garmin membawakan warna baru yang diperbuat daripada 100% plastik kitar semula dari lautan, Garmin Descent G1 Solar Ocean Edition.
Dari segi fungsi, ia tidak berbeza dengan Garmin Descent G1 Solar yang lain. Tetapi dengan kesedaran terhadap tanggungjawab kepada alam sekitar, jam ini dihasilkan dengan 100% plastik kitar semula yang digunakan pada badan, bingkai dan butang jam, adalah plastik yang dikutip dari lautan.
Harga dan Ketersediaan
Orang ramai boleh mendapatkan jam Garmin Descent G1 Solar Ocean Edition di Malaysia, mulai akhir Disember 2023. Jam ini terdapat dalam badan berwarna biru gelap, bersama tali berwarna biru cerah bagi menunjukkan kaitannya dengan air dan laut.
Harga rasmi untuk model Descent G1 termasuk edisi baru ini adalah seperti berikut:
- Garmin Descent G1 Solar Ocean Edition – RM3,087
- Garmin Descent G1 Solar Black – RM3,087
- Garmin Descent G1 Solar Hurricane Blue – RM3,087
- Garmin Descent G1 Powder Grey – RM2,609
- Garmin Descent G1 Storm Grey – RM2,609
Apabila tersedia kelak, ia boleh dibeli di Kedai Jenama Garmin dan pengedar sah Garmin, serta atas talian di AECO e-store, Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Garmin Descent G1 Solar Ocean Edition
Plastik kitar semula yang digunakan dalam pembuatan Descent G1 Solar Ocean Edition, dikumpulkan dari kawasan sekitar air. Seterusnya, ia disusun, dibersihkan dan dikeringkan. Plastik itu kemudiannya dileburkan menjadi resin berpelet sebelum diperkukuh dengan gentian kaca dan diwarnakan. Selepas itu, ia dibentuk menjadi badan jam, bingkai dan butang dan bergabung sebagai sebuah komputer menyelam dan jam pintar yang tahan lasak, untuk membantu menyelam dengan lebih yakin.
Jam menyelam Garmin ini menampilkan badan polimer diperteguh berukuran 45mm, kaca nilam kalis calar dan paparan monokrom yang jelas dan mudah dibaca. Ia kalis air sedalam 100 meter dan telah diuji mencapai standard MIL-STD 810 iaitu tahan haba, gegaran dan air. Ini menjadikan Descent G1 sedia digunakan untuk aktiviti di dalam dan di luar air.
Penyelam baharu dan penyelam berpengalaman boleh menggunakan Descent G1 kerana ia menyokong pelbagai mod menyelam untuk tangki gas tunggal dan berbilang (termasuk udara, nitrox, trimix dan 100% O2), tolok, apnea, pemburuan apnea dan litar tertutup bernafas semula.
Siri Descent G1 juga memiliki kompas digital 3 paksi dan amaran getaran tahap kedalaman untuk panduan semasa menyelam. Penyelam boleh melihat kedalaman, masa menyelam, suhu, NDL/TTS, kadar naik/turun, campuran gas, PO2, pemuatan N2, maklumat penyahmampatan/hentian keselamatan dan waktu semasa, semuanya boleh disesuaikan mengikut pilihan pengguna.
Dengan sokongan satelit lokasi multi-GNSS, Descent G1 akan menanda secara automatik titik masuk dan keluar air pengguna dan menyimpan log ke dalam aplikasi Garmin Dive. Dengan ini, pengguna boleh merujuk semula segala maklumat dan analisa aktiviti menyelam mereka dengan mudah, termasuk tahap paling dalam dan masa menyelam. Pengguna juga boleh menggunakan aplikasi Garmin Dive untuk merancang aktiviti menyelam seterusnya di lokasi popular yang telah dikunjungi pengguna lain.
Ciri pemantau biasa juga terdapat di Descent G1 seperti pemantau waktu tidur, serta pelbagai aktiviti kecergasan di dalam dan luar bangunan bersama GPS. Descent G1 boleh mengesan dan memantau pestasi seperti tahap VO2 Max, status latihan, waktu pemulihan, aktiviti HIIT dan cadangan kecergasan harian.
Pengguna juga boleh menerima notis panggilan, mesej, peringatan kalendar, kemaskini media sosial, berita terkini dan lebih lagi apabila dihubungkan dengan telefon pintar. Ia serasi digunakan bersama peranti Android dan iOS. Muka jam boleh diubahsuai menerusi aplikasi Connect IQ, menempatkan data yang diingini, aplikasi dan widget yang sesuai.
Jam Garmin Descent G1 Solar Ocean Edition serasi digunakan dengan pelbagai tali Garmin QuickFit. Hayat bateri padanya boleh bertahan sehingga 25 jam dalam mod menyelam dan sehingga 124 hari dengan mod jam pintar.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Garmin Descent G1.