Di Malaysia, pasaran kita menerima dua telefon jenis flip dalam tahun 2023. Model yang pertama ialah Samsung Galaxy Z Flip 5 dan satu lagi ialah Oppo Find N3 Flip. Samsung Galaxy Z Flip 5 ditawarkan dalam beberapa varian iaitu:
- Galaxy Z Flip 5 (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM3,599
- Galaxy Z Flip 5 (RAM 8GB + Storan 512GB) – RM3,999
Kemudian, di kem Oppo pula, Find N3 Flip hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu RAM 12GB dan storan 256GB pada harga RM4,399. Mana satu nak pilih?
Dalam artikel ini saya kongsikan kelebihan dan kekurangan yang boleh anda temukan pada kedua-duanya.
N3 Flip punya skrin lebih luas, Z Flip 5 lebih ergonomik
Secara kasarnya Find N3 Flip dan Z Flip 5 ada footprint lebih kurang sama. Dalam keadaan terlipat, mereka ada dimensi hampir petak tapi N3 Flip lebih nipis. Dalam keadaan terbuka pula, saya dapati Find N3 Flip lebih lebar di dalam tangan. Nisbah paparannya dalam keadaan terbuka adalah lebih ke arah telefon biasa.
Z Flip 5 pula lebih langsing di dalam tangan dan tahap ergonomik lebih tinggi. Namun, anda terpaksa korbankan keluasan paparan. Anda akan nampak antara muka lebih sempit pada Z Flip 5 tapi yang bagusnya, papan kekunci mudah dicapai.
Memang jadi ruji pada telefon boleh lipat untuk ada skrin luar. tapi sejauh manakah praktikalnya skrin tersebut? Untuk rujukan anda, Samsung Galaxy Z Flip 5 ada skrin sekunder yang lebih besar. Panelnya AMOLED bersaiz 3.4” beresolusi 720 x 748. manakala find N3 Flip ada skrin 3.26” beresolusi 382 x 720.
Memang anda akan nampak skrinZ Flip 5 lebih besar tapi yang kelakar, saya dapati yang N3 Flip punya skrin lebih peraktikal.
Saya boleh layan TikTok dalam keadaan video penuh tapi tidak di Z Flip 5. Mujurlah Z Flip 5 boleh paparkan video melintang seperti YouTube dengan baik dan lebih besar. Find N3 Flip juga boleh lakukan benda yang sama walaupun sedikit kecil.
Dijangkakan ramai yang akan manfaatkan skrin luar untuk tonton video dan navigasi berbanding tengok kalendar dan tangkap gambar semata-mata. Jadi saiz skrin bukanlah satu keutamaan tapi cara kandungan dipaparkan.
ColorOS 13 vs. OneUI 6
Kedua-dua telefon ini menjalankan sistem operasi Android 13 bersadur antara muka khas yang dibangunkan pengeluar masing-masing. Saya tiada masalah sangat dengan antara muka yang dijalankan kerana biasanya saya akan guna custom launcher. Jadi bila saya berpindah jenama sekalipun, laman pemuka akan kekal sama.
Yang beza adalah kawasan pusat notifikasi dan setting. lain-lain adalah sama. Saya pun jarang gunakan aplikasi stock yang diberikan pengeluar sebaliknya gunakan versi Google kalau anda. Namun, ada beberapa fungsi menarik yang ada pada aplikasi stock yang tiada pada versi Google.
Contohnya ada fungsi auto crop subjek daripada gambar dalam aplikasi Photo Samsung. Daripada segi customization, saya rasakan Samsung ada kelebihan dalam kategori ini.
Mereka ada Samsung Goodlock yang sediakan macam-macam komponen untuk anda jadikan telefon lebih peribadi. Oppo Find N3 pula biasa-biasa sahaja.
Kamera 50MP vs. 12MP
Bahagian kamera memang Find N3 Flip tapau habis Z Flip 5. Bukannya sikit tapi nyata lebih baik di atas kertas dan kegunaan sebenar.
N3 Flip ada tiga kamera belakang iaitu:
- Kamera utama 50MP F1.8
- Kamera telefoto 32MP F2.0 2x zum optikal
- Kamera ultralebar 48MP F2.2 0.5x zum optikal
Ini adalah telefon flip pertama yang ada tiga buah kamera belakang yang boleh ambil gambar sendiri. Huawei P50 Pocket dulu pun dilapor ada tiga kamera tapi kamera ketiga adalah 3D Sensing dan bukannya untuk ambil gambar.
Siri Z Flip pulak, sejak pengenalannya lagi masih kekal gunakan konfigurasi dwikamera belakang. Ia ada dua buah kamera belakang 12MP satu untuk kamera utama dan satu lagi kamera ultralebar 0.6x zum optikal.
Specs yang agak mengecawakan juga ada di kamera selfie iaitu ia cuma ada sensor 10MP sahaja, tak macam N3 Flip, ya ada kamera 32MP. Secara teknikalnya, resolusi kamera depan saja dah hampir menyamai resolusi semua kamera Z Fold 5, digabungkan!
Tapi adakah ya bermakna kualiti gambar kamera Find N3 Flip jauh lebih baik? Jom kita tengok. Mempunyai kamera yang ada resolusi tinggi memang ada kelebihan. Dalam keadaan cahaya yang mencukupi, hasil gambar yang diperolehi adalah lebih tajam.
Walaupun tengok pada skrin kecil gambar nampak macam sama, sekiranya anda zum masuk anda akan nampak butiran yang lebih tinggi kelihatan pada hasil gambar kamera Find N3 Pro.
Satu lagi kelebihan Find N3 Pro adalah pada kehadiran kamera telefoto 2 kali zum optikal. Juga anda beroleh butiran yang lebih tinggi jika dizum masuk.
Kamera telefoto juga hasilkan gambar berbokeh semula jadi bila anda ambil gambar potret. Di Z Flip 5, bokehnya ditambah secara digital.
Namun, dalam keadaan malap, sensor piksel banyak bukanlah kelebihan. Ia tetap dihadkan oleh saiz sensor. Sudahnya, piksel yang banyak-banyak tadi bergabung jadi piksel yang lebih besar untuk jadikan gambar Oppo jadi 12MP, sama macam di Z Flip 5 juga.
Walaupun Z Flip 5 beri gambar lebih cerah, bila anda zum masuk, ia lebih kabur berbanding gambar daripada Oppo.
32MP lawan 10MP? Nampak sama saja.
Bateri 4,300mAh vs. 3,700mAh
Beza kapasiti bateri antara N3 Flip dengan Z Flip 5 adalah 16% dengan jenama Oppo mendahului pada 4,300mAh. Ia juga ada pengecasan pantas 44W, lebih pantas dariapda Samsung 25W. Namun, Z Flip 5 bukannya boleh kalah dengan mudah. Ia ada pengecasan wayarles 15W dan ada fungsi pengecasan wayarles berbalik 4.5W.
Daripada segi keversatilan, memanglah Z Flip 5 menang. Telefon dah hipster, takkan balik kerja nak cucuk kabel lagi, bukan? Pastinya nak letak di pad pengecasan.
Kalis air vs. tak kalis air
Helah terakhir Z Flip 5 ni saya bayangkan macam Yu Gi Oh! tarik kad Exodia.
Penawaran IPX8 sudahpun ada sejak Galaxy Z Flip2 lagi sedang pengeluar lain masih belum mampu mengejarnya. tak terkecuali dengan N3 flip yang cuma ada IP54. Jadi Z Flip 5 boleh harungi musim tenkujuh dengan jayanya manakala N3 Flip masih takut-takut. Apa guna hardware mahal-mahal tapi takut air kan?
Mana lagi best?
Saya lebih gemarkan tahap ergonomik Find N3 Flip yang lebih selesa dipegang dalam tangan dalam keadaan terbuka. Skrin sekundernya juga lebih praktikal untuk tayangkan video menegak ataupun melintang. Spesifikasi kamera turut lebih versatil terutamanya dengan kehadiran kamera telefoto beserta sensor beresolusi tinggi merentasi semua kamera. Malangnya, tiada ciri kalis air pada telefon ini.
Faktor terkuat orang mendapatkan Z Flip 5 sudah tentu ciri kekalisan airnya. Ekosistem Samsung yang luas juga adalah boleh menarik orang ramai untuk cenderung ke arah telefon ini dan juga One UI yang lebih banyak kustomasi boleh dilakukan. Walaupun baterinya kecil, ia ada sistem pengecasan wayarles yang saya rasakan lebih praktikal, seiring dengan sasaran penggunanya.
Pilih Oppo sekiranya anda perlukan fizikaliti dan spesifikasi mentah yang mantap. Pilih Samsung jika anda takut telefon anda rosak dek air.
Itulah dia perkongsian saya untuk kali ini. Anda team Samsung atau team Oppo? Jom kita borak-borak dalam ruangan komen.