Nothing adalah satu jenama yang menawarkan produk premium, manakala CMF by Nothing yang merupakan subjenama kepada Nothing pula menampilkan produk lebih murah harganya.
Namun itu tidak bermakna produk yang ditawarkan CMF by Nothing ini tidak berkualiti. Malah dengan harga RM239, bagi saya prestasi fon putik CMF Buds Pro ini cukup baik. Jom baca reviu saya selepas menggunakannnya selama seminggu untuk ketahui lebih lanjut.
Reka bentuk kotak menarik
Perkara pertama yang saya sukakan mengenai produk CMF Buds Pro adalah bungkusan kotaknya. Tidak seperti kotak lain, bungkusan kotak CMF ini sangat unik.
Ini kerana kebiasaannya bungkusan akan berbentuk kotak segi empat, tetapi untuk CMF ini, bungkusan kotaknya perlu dibuka seperti buku. Apabila dibuka, anda akan terus dapat melihat bekas pengecasnya.
Namun tidak daripada aspek praktikalnya kerana ia agak memakan ruang dan besar kalau hendak dibandingkan dengan bekas fon putik di dalamnya.
Saiz bekas pengecas besar
Untuk bekas pengecasnya ia tampil dengan rekaan berbentuk bulat dan terdapat logo pada bahagian atasnya. Selain warna kelabu cerah dengan kemasan matte, fon putik CMF ini juga tersedia dalam warna oren dan kelabu gelap.
Anda akan melihat lampu LED di hadapan yang bersinar dalam warna putih dan merah. Ia berfungsi untuk memastikan pengguna mengetahui tentang hayat bateri. Lampu ini akan bertukar merah ketika pengecasan dilakukan.
Manakala pada bahagian belakang bekas terletak port USB-C untuk mengecas bekas. Ia adalah satu-satunya cara untuk mengecas, kerana ia tidak menyokong pengecasan wayarles seperti fon putik Nothing Ear 2.
Pada bekasnya terdapat magnet, jadi ia tertutup dengan selamat. Terdapat juga magnet kuat pada bahagian fon putik untuk menahan dan mengekalkannya pada kedudukan, selain mengecasnya.
Apabila bekasnya dibuka, terdapat butang untuk memudahkan carian dan pautan antara fon putik dengan telefon. Untuk memautkan fon putik dengan telefon, saya perlu memuat turun aplikasi Nothing X. Dengan sambungan Bluetooth 5.3, dalam tempoh kurang seminit, saya boleh menggunakan fon putik yang telah dipautkan dengan telefon. Ia juga turut menyokong Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair.
Namun bercakap mengenai saiz bekasnya, saya boleh katakan ia agak besar dan tebal jika hendak dibandingkan dengan bekas fon putik lain. Jadi secara keseluruhan dimensi bekasnya kurang praktikal bagi saya.
Selesa dipakai di telinga
CMF Buds Pro menampilkan reka bentuk bertangkai dan terdapat grafik logo CMF. Untuk saiz fon putiknya ideal, tidaklah terlalu besar, bak kata orang “sedang-sedang elok aje”. Namun saya agak kurang menggemari tekstur berkilat pada bahagian putiknya kerana perlu dibersihkan lebih kerap sebab boleh nampak jika ada habuk melekat.
Bagi tip telinga pula, ia datang dalam tiga pilihan saiz tip telinga untuk muat pada kebanyakan telinga dengan lebih baik. Terdapat saiz kecil, medium dan besar. Saiz medium dipasang terus dalam fon putik, namun untuk saya, saya perlu menukarnya kepada saiz kecil bagi memberikan kedapan yang terbaik untuk telinga saya.
Pada bahagian atas tangkai fon putik ini terdapat fungsi sensor kawalan sentuh seperti Double Tap untuk langkau lagu atau menjawab panggilan telefon. Tetapan untuk fungsi ini boleh dilakukan dengan aplikasi Nothing X.
Namun bagi wanita yang bertudung seperti saya, fungsi ini tidak berguna kerana sensornya tidak dapat mengesan sentuhan apabila saya menyentuhnya, jadi terpaksalah guna telefon juga.
Sejujurnya saya bukan seorang yang gemar menggunakan fon putik, lebih-lebih lagi kerana saya bertudung. Tetapi apabila menyarungkan fon putik ini, ia terletak dengan selesa dalam telinga dan tidak menyakitkan walaupun dipakai untuk tempoh yang lama ketika bertudung.
Audio seimbang & boleh diubah
Setiap satu fon putik ini dilengkapi dengan tiga mikrofon berdefinisi tinggi bersama Clear Voice Technology untuk mengurangkan bunyi hingar pemanggil semasa panggilan. Berkenaan kualiti mikrofon pula, pemanggil tiada masalah untuk mendengar suara saya dengan jelas, walaupun terdapat bunyi radio yang mengitari latar belakang.
Perkara yang saya suka mengenai fon putik ini adalah ia dilengkapi dengan penderia optik. Di mana ia berfungsi untuk menghentikan seketika audio secara automatik apabila saya mengeluarkan fon putik daripada telinga. Ia juga akan memainkan audio kembali sebaik sahaja saya memakai semula fon putik.
Dengan aplikasi Nothing X juga, anda boleh membuat tetapan untuk audio. Terdapat empat preset tersedia – Balanced, More Bass, More Treble dan Voice.
Tentang audionya, pada saya kualiti audio yang dihasilkan cukup sedap dan jelas. Bagi anda yang lebih gemarkan audio yang seimbang, preset Balanced adalah pilihan yang terbaik. Namun untuk saya, saya lebih gemarkan preset More Bass, di mana bunyi bass yang terhasil sedap, tapi masih jelas kedengaran vokal dan bunyi instrumen lain.
Dengan aplikasi ini juga, anda boleh membuat konfigurasi tetapan keseimbangan (equaliser) mengikut cita rasa dan halwa telinga anda. Fon putik ini turut menyokong Teknologi Ultra Bass, jadi anda boleh buat tetapan untuk mendapatkan audio bass dan treble yang lebih dalam.
CMF Buds Pro juga memiliki ciri untuk melaras tahap ANC, sama ada rendah, sederhana atau tinggi. Pun begitu, pada tahap ANC yang tinggi, masih ada bunyi halus yang dapat menembusi fon putik. Tapi secara keseluruhannya, boleh saya katakan ANC pada pada fon putik ini dapat menyingkirkan kebanyakan bunyi luar dengan baik.
Di samping itu, terdapat ciri Find My Earbuds yang membolehkan anda mencari fon putik jika ia tercicir. Ia akan memainkan bunyi supaya fon putik mudah dicari. Terdapat juga ciri Low Lag Mode yang dapat memberikan mod gaming untuk bunyi selari pada fon putik.
Tempoh masa penggunaan
Dari aplikasi, selain berfungsi menetapkan kawalan audio and ANC, anda juga akan dapat melihat jumlah peratusan bateri. Jadi tiada lagi alasan untuk bateri habis secara tiba-tiba.
Oleh sebab saya bukan jenis yang gemar menggunakan fon putik, dalam tempoh penggunaan antara 2 hingga 3 jam sehari dengan mod ANC hidup dan mod More Bass, fon putik tidak pernah kekeringan bateri. Malah baterinya akan diisi semula apabila saya meletakkan fon putik kembali ke dalam bekas pengecas, jadi setiap kali nak guna, memang bateri penuhlah jawabnya.
Kesimpulan
Tidak dinafikan fon putik ini selesa dipakai untuk tempoh yang lama. Cumanya bagi mereka yang bertudung dan gemar menggayakan fesyen tudung terkini, penggunaan fon putik mungkin kurang sesuai.
Lebih-lebih lagi jika anda jenis yang kerap menanggalkan fon putik. Ini kerana ia agak sukar untuk dimasukkan dan dikeluarkan daripada telinga semasa bertudung. Malah jika ditanyakan pilihan saya secara peribadi, saya akan lebih memilih menggunakan fon kepala berbanding fon putik.
Namun apa yang boleh saya simpulkan mengenai fon putik ini, pada harga bawah RM300, CMF Buds Pro by Nothing adalah fon putik yang cukup memuaskan dan berbaloi untuk dimiliki. Dengan harga RM239, ia bukan sahaja menawarkan ciri menarik bersama kualiti audio yang baik, malah fon putik ini dilengkapi dengan fungsi ANC, fungsi carian serta low lag mode. Prestasi bateri juga cukup bagus.
Bagi mereka yang berminat, anda boleh mendapatkannya di stor rasmi CMF by Nothing di Shopee dan Lazada. Sekiranya anda mahukan lebih pilihan fon putik, kami juga ada senarai fon putik ANC lain di sini.
Bacaan berkaitan:
- CMF Buds Pro oleh Nothing tiba di Malaysia, fon putik dengan ANC 45db & penarafan IP54
- Power 65W GaN, pengecas CMF by Nothing mampu cas 3 peranti serentak termasuk laptop, telefon & jam
- CMF Watch Pro, jam pintar dengan skrin AMOLED sangat besar, boleh buat panggilan & kalis air IP68
- Nothing buka kedai di Plaza Low Yat, khidmat lepas jualan turut disediakan