Realme Malaysia akhirnya mengumumkan tarikh pelancaran untuk telefon pintar baru yang akan datang, Realme GT 3 240W. Malah, tempahan awal turut dibuka sekarang, menawarkan hadiah yang lumayan untuk mereka yang sanggup membayar deposit tanpa mengetahui harga rasminya.
Pelancaran Realme GT 3 240W di Malaysia akan diadakan pada hari Rabu, 20 Disember 2023. Pastinya akan ada siaran langsung di media sosial, yang boleh ditonton oleh peminat. Pastinya harga rasmi Realme GT 3 240W akan diumum pada majlis ini.
Tempah sekarang, hadiah percuma bernilai sehingga RM928
Memandangkan Realme GT 3 telah dilancar sejak bulan Februari 2023, tiada lagi yang rahsia tentang spesifikasinya. Apa yang dinantikan adalah harga rasminya di Malaysia.
Jika anda rasa mahu membeli telefon ini apabila dilancarkan kelak, anda boleh membuat tempahan sekarang. Ini kerana Realme Malaysia menawarkan hadiah percuma bernilai sehingga RM928 untuk tempahan awal.
Tempahan awal Realme GT 3 240W dibuka mulai hari ini, 12 Disember sehingga 21 Disember 2023. Ia hanya terdapat di Stor Realme, tiada atas talian. Pengambilan di kedai pula dibuat mulai 22 Disember 2023.
Terdapat dua tawaran disediakan untuk tempahan awal ini. Tawaran pertama adalah membayar deposit RM20 dan menerima hadiah percuma Realme Techlife Air Purifier Pro bernilai RM799.
Tawaran kedua pula dipanggil Premium Combo. Bayar depost RM50, akan mendapat hadiah percuma bernilai RM928 iaitu Realme Techlife Air Purifier Pro, fon putik Realme T100 dan kotak hadiah edisi terhad (pengecas kerata, sarung telefon, dll).
Hadiah ini akan diberikan pada hari pengambilan peranti, selepas baki bayaran dibuat. Sebagai rujukan, Realme GT 3 240W dilancar pada Februari 2023 di Barcelona, Sepanyol pada harga USD649 (~RM3,037) dengan RAM 8GB dan storan 128GB. Dijangka harganya akan dibawah RM3,000, tetapi kami rasakan harga lebih layak untuknya adalah di bawah RM2,499.
Spesifikasi Realme GT 3
Seperti biasa, siri GT adalah peranti kelas flagship Realme. Bagi Realme GT 3, ia dikuasakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 tahun lepas, bersama RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 3.1 sehingga 1TB. Agak mirip dengan pilihan kuasa Nothing Phone (2).
Skrinnya juga agak hebat. Ianya jenis AMOLED seluas 6.74-inci, dengan resolusi 1.5K (2772×1240) serta kadar penyegaran 144Hz. Skrin ini memiliki kadar kecerahan puncak mencecah 1,400 nits dan juga kadar PWM setinggi 2,160Hz. Pengimbas capjari ada di dalam skrin dan ia turut mampu mengesan denyutan nadi.
Bagi menangkap gambar, terdapat tiga kamera belakang iaitu kamera utama 50MP F1.88 menggunakan sensor Sony IMX890 OIS, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera mikroskop 2MP F3.3. Di hadapan pula, ia dilengkapi kamera 16MP F2.45 yang terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Jika mahu bercerita tentang kelebihan atau keunikan, Realme GT 3 memiliki lampu ‘Halo Ring’ lutsinar yang terletak di tepi kamera belakang. Ia boleh diubahsuai kepada 25 warna RGB untuk menjadi notifikasi pelbagai aplikasi dan maklumat.
Tetapi tarikan utamanya sudah pasti adalah kuasa pengecas 240W. Telefon ini yang memiliki bateri 4,600mAh, ia boleh mengecas dari 0-20% dalam 80 saat, mencecah 50% dalam 4 minit dan mencapai 100% hanya 9.5 minit. Bermakna, boleh cas 0-100% tak sampai 10 minit pun. Realme menerangkan, kuasa mengecas 240W ini dicapai melalui penggunaan 3 cip pengecasan pantas, bersama dwi-pengecas GaN berkuasa tinggi dan kabel data 12A.
Lain-lain perkara yang turut ada di Realme GT3 adalah sokongan pembesar suara stereo Dolby Atmos, pemancar infra merah dan radio NFC 360-darjah. Masih tiada sokongan kalis air atau pengecasan wayarles. Sistem operasi pula menggunakan antaramuka Realme UI 4.0 berasaskan Android 13.