Honor Malaysia hari ini mendedahkan yang tak lama lagi mereka akan membawa masuk telefon terbaru dalam siri X, iaitu Honor X8b dan X7b ke pasaran Malaysia. Pelancarannya akan berlangsung pada 22 Disember 2023, dengan ia akan membawakan peningkatan dari model terdahulu Honor X8a dan Honor X7a.
Walaupun sebelum pelancarannya, telah ada pengedar tempatan yang mula menyenaraikan Honor X7b dan Honor X8b di laman dalam talian mereka, lantas mendedahkan maklumat berkenaan harga dan varian yang ditawarkan, serta spesifkasi penuh yang didukung kedua-dua telefon ini.
Harga Honor X8b & Honor X7b
Di DirectD, dapat dilihat Honor X8b dijual pada harga RM999, manakala Honor X7b pula pada harga RM799. Kedua-duanya tersedia dalam warna yang sama iaitu perak dan hijau. Yang menariknya, pembelian juga akan disertakan sekali dengan hadiah percuma fon putik Honor Choice X5 Lite bernilai RM139.
Spesifikasi Honor X8b
Honor X8b menampilkan rekaan badan sangat nipis berukuran 6.78mm dengan badan berat 166g. Paparannya dipasangkan skrin AMOLED 6.7 inci beresolusi HD Penuh bersama kadar penyegaran 90Hz. Kelihatan lubang kamera hadapannya menggunakan bentuk pil, dan hadir dengan fungsi seakan Dynamic Island di iPhone 15.
Atas papan utama, ia diperkasa cip Qualcomm Snapdragon 680 bersama gandingan RAM dalaman 8GB dengan RAM dinamik 8GB, serta storan 512GB. Namun, tiada slot MikroSD yang tersedia untuk Honor X8b. Dari segi perisian, ia menjalankan sistem operasi MagicOS 7.2 berasaskan Android 13.
Menyalurkan tenaga pada telefon adalah dari bateri berkapasiti 4,500mAh dengan pengecasan 35W melalui USB-C, yang mana lebih pantas dari model sebelum ini pada 22.W.
Bahagian kameranya menggunakan tiga buah kamera di belakang. Ia adalah kamera utama 108MP mengguna pakai sensor Samsung ISOCELL HM6, dengan dua lagi kamera ultralebar 5MP dan kamera makro 2MP. Menariknya, kamera depannya memiliki sensor sebesar 50MP, satu naik taraf besar dari 16MP di Honor X8a.
Spesifikasi Honor X7b
Sementara itu, untuk Honor X7b, spesifikasinya telah pun didedahkan apabila ia dilancarkan secara global. Ia mengekalkan rekaan yang sama seperti Honor X7a, dengan mempunyai tebal 8.24mm dan berat 199g.
Bahagian paparan menggunakan panel LCD rata 6.8 inci pada resolusi HD Penuh, dengan kadar penyegaran 90Hz. Skrinnya juga menerima pengesahan TUV Rheinland untuk cahaya biru rendah. Terdapat lubang kamera di tengah-tengah skrin menempatkan kamera hadapan, dan bukannya takuk U seperti Honor X7a.
Mengkuasakannya adalah cip Qualcomm Snapdragon 680 yang digandingkan dengan RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB. Storan boleh diperluas dengan adanya slot kad mikroSD. Sejurus keluar kotak, ia menjalankan sistem operasi Magic OS 7.2 berasaskan Android 13.
Tenaga telefon disalur oleh bateri berkapasiti 6,000mAh dan memiliki sokongan pengecasan 35W melalui USB-C yang sama seperti Honor X8b.
Bahagian pengimejannya dipacu oleh tiga kamera belakang. Kamera utamanya mempunyai sensor 108MP dengan bukaan apertur f/1.8, bersama kamera ultra lebar 5MP f/2.2 dan juga kamera makro 2MP. Lubang kamera hadapan menempatkan kamera selfie 8MP f/2.0.
Antara ciri lain yang boleh ditemui adalah pengimbas cap jari di butang kuasa, jek audio 3.5mm, Bluetooth 5.0, NFC, dan 4G
Bacaan berkaitan
- Honor 100 & Honor 100 Pro dilancar, telefon pertama Snapdragon 7 Gen 3 dengan kamera pelik
- Honor X7b kini rasmi dengan bateri besar 6,000mAh dan kamera 108MP
- Honor X9b, telefon sangat teguh dan lasak dilancar dengan hadiah percuma bernilai RM978
- Honor Magic V2s diumum di China, Snapdragon 8+ Gen 1 dan kamera sedikit rendah spesifikasi