Realme pada hari ini telah melancarkan sebuah telefon flagship mereka yang lama dinanti-nantikan peminat, iaitu Realme GT3. Berada dalam siri flagship, ia adalah sebuah telefon dikuasakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 dengan pengecasan paling pantas 240W, serta hadir dengan fungsi unik yang dipanggil ‘Halo Ring’.
Harga dan promosi Realme GT3
Di Malaysia, Realme GT3 ditawarkan dalam satu varian dengan storan sebesar 1TB. Harga rasminya di Malaysia adalah seperti berikut:
- Realme GT3 (RAM 16GB dan storan 1TB) – RM 2,799
Jika anda berminat, Realme GT3 telah tersedia untuk didapatkan orang ramai di stor rasmi Realme di Lazada dan Shopee.
Tempahan awal Realme GT3 yang dibuka sebelum ini masih lagi berjalan dan akan tamat esok, 21 Disember 2023. Realme menyediakan dua tawaran menarik untuk tempahan awal, di mana mereka yang deposit RM30 akan menerima hadiah percuma Realme Techlife Air Purifier Pro bernilai RM799, manakala deposit RM50 akan diberikan hadiah percuma Realme Techlife Air Purifier Pro, fon putik Realme T100 dan kotak hadiah edisi terhad bernilai RM928.
Bagi pelanggan yang membuat tempahan pada 20 dan 21 Disember, anda boleh mula membuat pengambilan telefon Realme GT3 pada 22 Disember 2023, bersama-sama membawa pulang hadiah percuma berdasarkan deposit yang dilakukan.
Spesifikasi Realme GT3
Siri GT adalah peranti kelas flagship Realme. Bagi Realme GT 3, ia dikuasakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 dua tahun lepas, bersama RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 3.1 sehingga 1TB. Agak serupa dengan kuasa yang terdapat di Nothing Phone (2).
Skrinnya juga agak hebat. Ianya jenis AMOLED seluas 6.74-inci, dengan resolusi 1.5K (2772×1240) serta kadar penyegaran 144Hz. Skrin ini memiliki kadar kecerahan puncak mencecah 1,400 nits dan juga kadar PWM setinggi 2,160Hz. Pengimbas capjari ada di dalam skrin dan ia turut mampu mengesan denyutan nadi.
Bagi menangkap gambar, terdapat tiga kamera belakang iaitu kamera utama 50MP F1.88 menggunakan sensor Sony IMX890 OIS, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera mikroskop 2MP F3.3. Di hadapan pula, ia dilengkapi kamera 16MP F2.45 yang terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Jika mahu bercerita tentang kelebihan atau keunikan, Realme GT 3 memiliki lampu ‘Halo Ring’ lutsinar yang terletak di tepi kamera belakang. Ia boleh diubahsuai kepada 25 warna RGB untuk menjadi notifikasi pelbagai aplikasi dan maklumat.
Tetapi tarikan utamanya sudah pasti adalah kuasa pengecas 240W. Telefon ini yang memiliki bateri 4,600mAh, ia boleh mengecas dari 0-20% dalam 80 saat, mencecah 50% dalam 4 minit dan mencapai 100% hanya 9.5 minit. Bermakna, boleh cas 0-100% tak sampai 10 minit pun. Realme menerangkan, kuasa mengecas 240W ini dicapai melalui penggunaan 3 cip pengecasan pantas, bersama dwi-pengecas GaN berkuasa tinggi dan kabel data 12A.
Lain-lain perkara yang turut ada di Realme GT3 adalah sokongan pembesar suara stereo Dolby Atmos, pemancar infra merah dan radio NFC 360-darjah. Masih tiada sokongan kalis air atau pengecasan wayarles. Sistem operasi pula menggunakan antaramuka Realme UI 4.0 berasaskan Android 13 dan ia tersedia dalam dua varian warna iaitu ungu dan putih.