Haier Malaysia melancarkan pelbagai produk baharu ke dalam pasaran elektronik pengguna dan peralatan rumah untuk tahun 2024, seperti mesin basuh, pendingin hawa, peti sejuk, peti beku, pemanas air, perkakasan dapur dan TV.
Pelancaran produk-produk tersebut menggariskan komitmen Haier untuk meningkatkan gaya hidup pengguna menerusi falsafah ‘ Smart Living’ dengan kualiti produk yang unggul dan lebih memudahkan pengguna.
TV OLED terbesar, 98 inci
Sudah tentu, produk yang menarik perhatian adalah perancangan Haier untuk memperkenalkan TV OLED 98 inci.
Sebelum ini, TV terbesar yang pernah dibawa masuk ke pasaran Malaysia oleh Haier adalah TV QLED 98 inci H98S900UX. Ia dilengkapi panel QLED 120Hz resolusi 4K, warna HDR Dolby Vision IQ bersama sistem audio Dolby Atmos Harmon Kardon 2.1 Surround.
TV tersebut turut menyokong local dimming untuk menggelapkan permukaan hitam serta mencerahkan permukaan yang terang bagi menghasilkan kontras tinggi dan ia dijual pada harga RM29,999.
Manakala TV OLED 98 inci yang bakal diperkenalkan Haier akan dilengkapi paparan OLED 120Hz 4K bersama Dolby Vision IQ dan menyokong local dimming yang dapat memberikan kualiti paparan gambar lebih kontras dan menjadikan visual lebih jelas dan nyata.
Selain boleh dihubungkan dengan Google TV dan fungsi kawalan suara medan jauh (Far Field Voice Control), TV keluaran Haier itu juga akan dipasangkan sistem audio Dolby Atmos Technology dan Harmon Kardon.
TV OLED pertama Haier
Sebenarnya dalam tahun ini juga, Haier baru memperkenalkan TV OLED pertamanya di Malaysia, H65C900UX (65 inci) dan H55C900UX (55 inci) pada sekitar bulan Oktober 2023.
Kedua-dua TV OLED itu menggunakan panel OLED beresolusi 4K, paparan warna HDR dengan Dolby Vision IQ. Sistem audionya terdiri daripada Dolby Atmos dan pembesar suara Harman Kardon 2.1 Surround.
Ia boleh dihubungkan dengan Google TV untuk pelbagai aplikasi dan akses kepada kandungan video. Haier 65″ H65C900UX dijual pada harga RM15,999, manakala 55″ H65C900UX dijual pada harga RM7,499.
Kalau yang 55 inci pun harganya mencecah RM7,500, anggaran anda berapa pula harga untuk TV OLED 98 inci itu ya?
Duta kempen Haier
Dalam majlis yang sama, Haier turut melanjutkan kerjasama dengan pasangan beregu badminton kebangsaan, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk terus menjadi duta Haier Malaysia untuk tahun 2024.
Pemilihan kedua-dua atlet tersebut bertujuan memberikan inspirasi dan motivasi kepada rakyat Malaysia untuk mengejar impian dan berusaha mencapai kejayaan dalam semua aspek kehidupan.
Pasangan pemain badminton yang berada di tempat ketiga di dunia itu telah berjaya merangkul kejuaraan sulung dalam kejohanan siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas mengungguli Terbuka Denmark 2023 pada Oktober 2023, selepas enam tahun penantian.