Oppo telah rasmi melancarkan siri telefon kelas pertengahan terbaru mereka, Oppo Reno 11 untuk pasaran Malaysia. Pelancarannya mengambil tempat di pantai Desaru Coast, Johor. Siri terbaru ini datang dalam dua model iaitu Reno 11 dan juga Reno 11 Pro.
Kedua-dua telefon ini hadir dengan kemasan unik berkilauan pada panel belakang, kamera utama 50MP dan datang bersama Android 14 terkini. Walau bagaimanapun, varian yang dilancarkan di Malaysia sedikit berbeza dengan varian di China dari segi cip yang digunakan.
Harga dan ketersediaan Oppo Reno 11 Pro di Malaysia
Bagaimanapun, orang ramai yang berminat boleh mula dapatkan Reno 11 dan Oppo Reno 11 Pro bermula hari ini. Hanya satu varian yang ditawarkan untuk kedua-dua model dan harga jualannya di Malaysia adalah seperti berikut:
- Oppo Reno 11 (RAM 12GB dan storan 256GB) – RM1,899
- Oppo Reno 11 Pro (RAM 12GB dan storan 512GB) – RM2,499
Lebih menarik, Oppo turut menawarkan hadiah eksklusif secara percuma bernilai sehingga RM515 kepada pembeli awal yang membuat pembelian Reno 11 Pro dari 11 Januari hingga 21 Januari 2024. Hadiah tersebut berupa pengecas kereta 80W dan kabel, powerbank dan waranti tambahan selama setahun.
Untuk membuat pembelian, anda boleh singgah ke stor dalam talian Oppo, kedai jenama Oppo, semua pengedar sah Oppo di seluruh Malaysia dan juga gedung rasmi Oppo di Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Oppo Reno 11 Pro
Oppo Reno 11 Pro berkongsi banyak ciri yang sama seperti Oppo Reno 11. Tetapi terdapat kelainan pada rekaan luarannya, di mana Reno 11 Pro didatangkan dalam kemasan satin berwarna putih berikan sentuhan premium pada telefon. Badannya juga cukup nipis berukuran 7.66mm dan berat hanya 181 gram.
Bahagian paparan Reno 11 Pro dipasangkan skrin melengkung yang sama dengan Reno 11 jenis OLED 6.7-inci pada resolusi 2412 x 1080 piksel. Panel ini menyokong kecerahan puncak 950 nits dan kadar penyegaran 120Hz, bersama cakupan warna gamut DCI-P3 100% serta diiktiraf HDR10+. Untuk keselamatan, terdapat pengimbas cap jari di dalam skrin.
Namun, berbanding di China, Malaysia menerima varian yang menggunakan cip jauh kurang berkuasa. Pasaran Malaysia menerima Reno 11 Pro dikuasakan cip MediaTek Dimensity 8200 4nm yang dipadankan bersama RAM LPDDR5X seluas 12GB dan storan UFS 3.1 512GB. Keupayaan RAM dinamik juga tersedia membolehkan perluasan RAM sehingga 12GB lagi.
Di bahagian pengimejan, ia mengguna pakai gabungan tiga kamera di belakang dengan rekaan yang dipanggil Sunshine Ring. Ia adalah kamera utama 50MP f/1.8 yang menggunakan sensor 1/1.56″ Sony IMX890 dengan sokongan OIS, kamera telefoto 32MP f/2.0 berupaya zum optikal 2x dan kamera ultra lebar 8MP f/2.2. Manakala untuk selfie, terdapat kamera hadapan bersensor 32MP f/2.4 dengan sokongan autofokus.
Kapasiti bateri yang dimuatkan dalam Reno 11 Pro lebih kecil pada 4,600mAh. Ia menyokong pengecasan yang lebih pantas iaitu SuperVOOC 80W melalui USB-C. Sejurus keluar kotak, ia menjalankan sistem operasi Android 14 yang diselaputi dengan ColorOS14.
Speakernya adalah jenis stereo menembak depan dan bawah telefon. Selain itu, ia juga menyokong sejumlah ciri lain seperti Bluetooth 5.4, NFC, IR Blaster, 5G, dan WiFi 6. Reno 11 Pro tersedia dalam dua pilihan warna iaitu putih dan kelabu.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Oppo Reno 11 Pro di sini.