Samsung telah selamat melancarkan keluarga Galaxy S24 mereka. Seperti biasa, ada banyak penambahbaikan yang mereka bawa berbanding generasi terdahulu. Walau bagaimanapun, untuk tahun 2024, perkara baharu yang mereka bawa lebih unik berbanding kebiasaan.
Selain daripada naik taraf komponen dan perisian, siri Galaxy S24 turut memberikan fokus pada teknologi AI yang meletup sejak tahun 2023. Banyak ciri berasaskan AI dimasukkan Samsung ke dalam flagship 2024 mereka.
Berikut adalah empat ciri menarik berasaskan AI pada siri Galaxy S24 yang sempat saya cuba.
AI Call Assist
AI Call Assist adalah fungsi yang diperkenalkan di dalam aplikasi telefoni Samsung itu sendiri. Menggunakan ciri ini, terjemahan secara masa nyata boleh dilakukan sewaktu sesi penggilan suara sedang berjalan.
Contohnya, saya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan AI Call Assist boleh terjemahkannya ke dalam salah satu daripada 15 bahasa yang disokong, salah satunya adalah bahasa Korea.
Melalui demonstrasi, saya berada di pihak pemanggil menggunakan Galaxy S24 Ultra dan, dalam satu sesi main peranan, memanggil sebuah restoren untuk menempah meja makan malam.
Menariknya sesi ini, pihak yang dipanggil menggunakan feature phone urusan tempahan berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa frasa yang gagal diterjemah secara baik, namun mesej disampaikan dengan jayanya dengan cara mengulangi pertuturan sekiranya berlaku silap terjemah.
Malangnya, bahasa Melayu ataupun Indonesia masih belum disokong dalam kalangan 15 bahasa yang disediakan.
Memang sewaktu sesi panggilan berjalan, suara penterjemah memang berbunyi seakan generik dan ia bukanlah suatu isu yang besar malahan sewaktu penerima mengangkat telefon, ia dimaklumkan terus yang panggilan suara ini melibatkan penterjemahan berasaskan AI oleh Samsung.
Satu perkara menarik tentang Samsung Call Assist ini adalah ia berlaku secara masa nyata dan tidak memerlukan capaian Internet. Hanya sekali sahaja capaian Internet diperlukan iaitu sewaktu anda memuat turun pek bahasa.
Circle to Search
Samsung dan Google nampaknya terus mempererakt kerjasama antara mereka. Circle to Search adalah salah satu ciri yang akan diperkenalkan pada sistem operasi Android namun siri Samsung Galaxy S24 menikmatinya terlebih dahulu.
Fungsinya adalah sama seperti Google Lens sedia ada apabila kita mengambil tangkap layar pada telefon dan biarkan AI mengenal pasti subjek menarik yang mungkin kita berminat.
Namun dengan Circle to Search, pengguna boleh melukis sendiri parameter untuk dianalisis sama ada menggunakan stailus ataupun menggunakan jari.
Sewaktu demonstrasi, kami buka aplikasi YouTube dan mula mainkan video reviu Asus ROG Ally. Kemudian, kami lakukan tangkap layar dan mula lukis parameter di sekeliling konsol permainan itu. Sistem berjaya mengecam produk itu dan memaparkan kandungan-kandungan yang berkaitan dengannya.
Selain daripada tangkap layar sebagai sumber, suapan daripada kamera juga boleh digunakan untuk Circle to Search. Pendek kata, ciri ini disokong di keseluruhan telefon.
AI Note Assist & Chat Assist
Pada pendapat saya, ini adalah ciri yang paling berguna dalam kalangan ciri Galaxy AI yang diperkenalkan dan ia adalah fungsi AI yang dibina di dalam aplikasi Samsung Keyboard itu sendiri. Samsung Note Assist & Chat Assist boleh bantu anda untuk memperkemas idea ataupun menyesuaikan nada mesej mengikut kesesuaian.
Bermula dengan memperkemas idea, saya didemonstrasikan dengan nota mesyuarat yang diambil secara bullet point. Itu adalah perkara biasa kerana pastinya kita tak ada banyak masa untuk menaip secara penuh, apatah lagi berformat.
Dengan menekan simbol Galaxy AI tiga bintang di bahagian toolbar papan kekunci, Note Assist akan memperkemas ayat beserta menyusunnya dalam format yang betul. Malah, ia mencadangkan kepada saya beberapa format yang boleh digunakan. Hasilnya, minit mesyuarat terus jadi kemas dan mudah dirujuk dikemudian hari.
Itu tentang nota. Lebih menarik kalau disentuh tentang permesejan. Saya cuma perlu menaip isi penting dalam bentuk senarai dan cari simbol Galaxy AI bintang dua untuk biarkan sistem memproses mesej tadi.
Daripada maklumat tadi, Galaxy AI boleh kembangkannya menjadi mesej yang sempurna dan anda boleh memilih salah satu daripada lima nada daripada kasual hinggalah ke formal untuk disuaikan kepada si penerima. Contohnya, Galaxy AI boleh jana mesej yang sarat dengan emoji untuk dihantar kepada sahabat handai ataupun mesej yang mempunya format sempurna untuk dihanta kepada bos.
Satu perkara yang kurang menarik tentang Note Assist dan Chat Assist adalah disebabkan ia terbina terus di dalam aplikasi Samsung Keyboard, ciri ini akan hilang apabila papan kekunci pihak ketiga digunakan.
AI Photo Editing
Fungsi penyuntingan gambar berasaskan AI bukanlah perkara baharu buat Samsung. Mereka sudahpun ada aplikasi seperti Galaxy Enhance-X yang memanfaatkan teknologi AI untuk memperelok gambar. Namun, untuk siri Galaxy S24 ada fungsi tambahan yang dimasukkan.
Salah satu daripada adalah ciri pembetulan garisan ufuk. Apabila anda tangkap gambar dan dapati garisan ufuknya senget, cara pembetulan konvensional adalah dengan mengezum masuk gambar sambil pembetulan dilakukan.
Dengan bantuan AI, pengezuman tidak perlu dilakukan sebaliknya ruang kosong yang terhasil sewaktu gambar dipusing akan diisi secara pintar berdasarkan maklumat piksel-piksel yang berhampiran. Kaedah ini jadikan gambar yang dijana lebih semula jadi.
Ada juga fungsi membuang objek seperti Magic Eraser pada Google Pixel hadir untuk siri Galaxy S24. Objek boleh diasingkan daripada bingkai dengan parameter dijana di sekelilingnya secara pintar. Sekiranya perlu, komposit imej baharu boleh dijana menggunakan ciri generative AI dengan syarat telefon mempunyai sambungan kepada Internet.
Banyak lagi fungsi AI menarik pada siri Galaxy S24
Sesi demonstrasi hanya pamerkan sejumlah kecil daripada fungsi AI menarik yang boleh diguna pakai pada Galaxy S24. Kami akan cuba semua yang baharu apabila set reviu diperolehi kami nanti. Contohnya, Galaxy S24 boleh menjana wallpaper sendiri menggunakan teknik regenerative AI.
Bahagian kamera juga menerima sentuhan AI apabila kamera gambar potret waktu malam juga akan jadi lebih cerah dengan dengan kesan bokeh menawan hasil penggunaan AI Stereo Depth Map. Selain itu, enjin kamera Eureka Samsung didakwa boleh mengenal pasti 12 jenis subjek untuk pengoptimumkan dedahan, warna, dan resolusi.