Kebiasaannya, anda pasti gunakan sahaja pengecas yang datang sekali dalam kotak, betul tak? Pernah tak anda terfikir nakkan pengecas lebih unik serta ada rekaan lain daripada lain? Sebenarnya di Malaysia ada beberapa pilihan pengecas dengan rekaan unik tau.
Jadi dalam artikel ini saya nak senaraikan 5 pengecas unik yang anda boleh dapatkan sekarang. Ada daripadanya pengecas GaN, ada yang memiliki paparan dan ada juga yang ada kuasa mengecas tinggi. Nak tahu apa pengecas itu? Jom saya senaraikan.
Selain itu, anda juga boleh semak senarai pengecas GaN 100W kami.
1. Sharge Retro 35W GaN Charger
Pengecas Sharge Retro 35W ini memang menarik sebab ia hadir dengan rekaan unik ala-ala retro komputer Apple Macintosh. Ia ada kuasa mengecas 35W menggunakan teknologi GaN. Dekat badan pengecasnya juga ada paparan LED kecil yang boleh menunjukkan status output kuasa.
Macam contoh, warna putih semasa output kuasa rendah, kuning cas biasa, biru cas pantas dan hijau cas terpantas. Dengannya, senang untuk semak berapa laju anda sedang mengecas.
Selain tu, badan pengecas ini juga sangat kecil. Boleh simpan dalam poket kalau nak bawa. Untuk mengecas, terdapat satu port USB-C pada pengecas dan anda boleh gunakannya untuk mengecas peranti seperti telefon, tablet, malah laptop berkuasa rendah. Sharge juga ada bagi travel adapter, senang untuk bawa ke luar negara.
Sharge 35W boleh didapatkan pada harga RM199 di Lazada dan Shopee.
2. Ugreen RoboGaN 30W
Pengecas Ugreen RoboGaN 30W turut ada rekaan unik comel tetapi macam robot. Sekali pandang tak nampak seperti pengecas, macam mainan pun ada. Ia ada kaki untuk dirikannya dan kalau nak cas atau gunakannya, boleh cabut sahaja penutup kaki dan akan dedahkan pin pengecas. Saiz pengecas ni pun kecil dan comel.
Dekat muka pengecas ada paparan LCD untuk tunjuk sama ada ia sedang mengecas atau sudah dicas penuh. Kalau sedang mengecas,ia tunjukkan mata dengan hidung, tetapi kalau dah penuh ia tunjuk mata sahaja. Kan senang nak tahu dah penuh atau tak. Tak perlu hidupkan telefon untuk tengok pengecasan sudah penuh ke belum.
Macam nama pengecas ini, ia ada kuasa mengecas 30W melalui satu port USB-C. Ia juga menggunakan teknologi GaN, jadi ada pelbagai perlindungan peraliran kuasa untuk pengecasan lebih selamat. Ia serasi digunakan untuk mengecas iPhone, iPad, telefon Samsung dan macam-macam gajet lain.
Pengecas Ugreen RoboGaN ini boleh didapati pada harga RM79.90 di Lazada dan Shopee.
3. Mcdodo Displayer Charger 20W
Kalau anda rasa tak cukup satu lubang pengecas, pengecas Mcdodo Displayer Charger 20W ini ada dua port pengecas. Satu adalah port USB-C dan satu lagi port USB-A. Ia menyokong pengecasan pada kelajuan maksimum 20W. Uniknya pengecas ni dia hadir dengan skrin LCD untuk paparkan kuasa output, jadi senang untuk ketahui paras kelajuan mengecas.
Selain daripada ada paparan LCD, pengecas ini juga ada sokongan pelbagai protokol pengecasan termasuk PD3.0. Walaupun pengecas ini tak ada kuasa mengecas tinggi dan teknologi GaN, ia mempunyai perlindungan untuk peraliran tenaga bolehkan anda mengecas secara selamat.
Lebih menarik, pengecas ini datang bersama kabel USB-C ke Lightning secara percuma. Jadi anda yang pakai iPhone dah boleh jimat dekat situ.
Pengecas Mcdodo Displayer Charger 20W boleh didapatkan pada harga RM60 di Lazada dan Shopee.
4. Gravastar Delta35
Gravastar Delta35 ada rekaan yang diinspirasi robot mecha dengan tangan yang boleh digerak-gerak dan juga mata berkelip-kelip. Mata kelip-kelip ini juga berfungsi sebagai indikator pengecasan.
Pengecas ini juga adalah pengecas GaN jadi anda tak perlu risau tentang haba, dan ia ada kuasa output setinggi 35W. Sebanyak dua port USB-C ada dekat badan jadi anda boleh mengecas dua peranti serentak, tapi kuasa output akan dipecah kepada 12W dan 12W.
Ia datang dengan 1 tahun waranti dan yang menariknya, kalau rosak, gravastar tawar 1 to 1 exchange. Ia juga datang dengan dua plug EU dan UK. Ia tersedia dalam dua pilihan warna putih dan pink.
Gravastar Delta 35W boleh didapatkan pada harga RM99 di Lazada dan Shopee.
5. Sharge Retro 67W
Yang terakhir, pengecas paling mahal dalam senarai, Sharge Retro 67W. Pengecas ini berada dalam siri yang sama dengan Retro 35W tetapi dengan kuasa output lebih tinggi. Reka bentuknya pun hampir sama dengan Retro 35W, seperti rekaan Apple Macintosh.
Tetapi, sebalik ada muka dekat skrin, pengecas ini boleh paparkan digit kuasa watt yang disalurkan pada peranti. Nak ketahui pengecasan sudah penuh pun senang sebab jika penuh,skrinnya akan padam selepas 5 minit.
Untuk port, pengecas ni ada tiga port pengecas USB-C yang boleh mengecas maksimum 67W kalau satu port digunakan bersendirian. Kalau guna dua port akan pecah pada 45W dan 20W, kalau semua port digunakan akan jadikan pecahan kepada 45W, dan dua port berkongsi kuasa 15W. Dengannya, anda boleh mengecas sebuah Macbook Air dengan dua lagi gajet lain.
Selain itu, kelebihan pengecas ni juga adalah ia menggunakan teknologi GaN, dan datang dengan travel adapter untuk kemudahan ketika di luar negara.
Sharge Retro 67W boleh dibeli pada harga RM369 di Lazada dan Shopee.
Rekaan pengecas dalam senarai ni semua unik. Ada yang ada skrin digital, reka bentuk robot dan kuasa mengecas cukup tinggi. Anda memang jarang akan jumpa orang lain pakai pengecas macam ini. Tetapi kalau anda ada bajet lebih dan perlukan tiga port pengecas, boleh dapatkan pengecas Sharge Retro 67W.
Kalau nak yang rupa biasa, murah tetapi boleh paparkan output kuasa, dapatkan Mcdodo Displayer Charger 20W. Kalau nak pengecas dengan kaki yang boleh cabut, dapatkan Ugreen RoboGaN 30W dan kalau nak ada skrin yang lampu warna-warni, boleh dapatkan Retro Sharge 35W.