Anda tidak lama lagi akan boleh menggunakan seluruh laluan di Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di bahagian Perak. Ini kerana, Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi telah mendedahkan seluruh bahagian Perak lebuhraya WCE akan dibuka kepada orang ramai pada Mac 2024.
Bahagian terakhir yang akan dibuka, iaitu Seksyen 11 WCE akan membolehkan pengguna untuk membuat perjalanan dari Beruas ke Taiping Selatan. Pembukaan ini juga adalah lebih awal dari pelan asal, yang mana sebelum ini disasarkan untuk buka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan April 2024.
Perkembangan ini diberikan oleh menteri ketika majlis yang berlangsung di Kompleks Kerja Raya semalam. Dia juga memaklumkan lebuhraya WCE ini akan berfungsi sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di mana ia akan mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan. Dia turut mengatakan projek mega ini turut akan membantu lonjakan ekonomi dan pembangunan di negara ini.
Pengguna boleh lakukan perjalanan dari Hutan Melintang ke Taiping Selatan di WCE pada Mac
Dengan siapnya Seksyen 11 lebuhraya WCE, pengguna boleh memanfaatkan laluan penuh di Perak dari Hutan Melintang ke Taiping Selatan. Tiga daripada empat seksyen lebuhraya WCE di Perak sudahpun siap dibina dan dibuka, iaitu jajaran dari Hutan Melintang ke Beruas (Seksyen 8, 9 dan 10).
Bagaimanapun, bahagian WCE di Selangor akan memerlukan masa lebih lama untuk siap. Setakat ini, hanya Seksyen 5 dan Seksyen 6 sahaja yang baru dibuka. Baki seksyen WCE di Selangor dijangka akan siap secara berperingkat pada tahun 2024 dan 2025.
Selain daripada itu, RHB dan WCE juga akan menganjurkan acara berbasikal Century Ride pertama di Malaysia yang diadakan di lebuhraya tertutup WCE pada bulan Mei 2024. Ia akan melibatkan laluan dari plaza tol Lekir ke Taiping Selatan untuk kategori 160km.
Lebuhraya Pan Borneo akan siap dibina pada 2024
Manakala untuk perkembangan di Borneo, Nanta memaklumkan lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dijangka akan dibuka sepenuhnya pada tahun ini. Pembangunan projek tersebut telah mencapai 98.91%. Sementara itu, lebuhraya Pan Borneo di Sabah pula hampir siap 87% untuk fasa 1A yang membabitkan 15 pakej kerja. Fasa 1B pula yang melibatkan 19 pakej sedang dalam proses tender.
[Sumber: SoyaCincau]