Apa itu Smart Lane?
Smart Lane adalah istilah yang diperkenalkan oleh PLUS Malaysia. Ia merujuk kepada pengaktifkan lorong paling kiri iaitu lorong kecemasan untuk kereta. Ia dilaksanakan untuk menambah kapasiti lorong di lebuh raya dan seterusnya menyuraikan trafik untuk mengurangkan kesesakan.
Paling baharu adalah sewaktu perayaan Tahun Baru Cina 2024 apabila PLUS mengumumkan 14 lokasi pengaktifan seawal KM1.9 antara Dato Onn dengan Pasir Gudang hinggalah di KM156.0 antara Bukit Tambun dengan Plaza Tol Juru.
Wah baguslah ada lorong tambahan, cepat sikit boleh bergerak. Namun, ada sedikit isu kerana ada beberapa insiden dirakamkan di sewaktu Smart Lane aktif. Contohnya, insiden ini berlaku pada 10 Februari 2024, jam 1:42 petang. Kalau ikutkan koordinat dashcamnya, lokasi kejadian adalah sekitar KM20 lebuhraya PLUS.
Berdasarkan jadual PLUS, memang video ini dirakam sewaktu laluan Smart Lane antara Kulai dan Senai aktif. Kelihatan penunggang motorsikal berhenti dan tidak berpuas hati dengan kereta pemilik dashcam. Pengutus video mengatakan yang dia dimarahi kerana menggunakan laluan kecemasan.
Alamak, macam mana penunggang motor tak tahu tentang Smart Lane? Adakah penyebaran maklumat tak cekap? Adakah implementasi Smart Lane yang lemah?
Macam mana nak guna Smart Lane?
Menurut PLUS, lorong Smart Lane boleh dikenal pasti dengan papan tanda berwarna kuning sebagai titik bermulanya pembukaan lorong paling kiri untuk digunakan dan satu lagi papan tanda sebagai titik berakhirnya.
Untuk Smart Lane yang panjang, contohnya antara Slim River dan Sungkai sepanjang 13.3km, papan tanda peringatan diletakkan secara berkala sepanjang laluan tersebut. Untuk makluman anda, Smart Lane PLUS terpendek adalah sepanjang 400m daripada Bukit Tambun kepada Plaza Tol Juru (Arah Utara).
Berdasarkan video tutorial daripada PLUS, boleh masuki laluan Smart Lane selepas beri isyarat awal dan bertukar lorong secara berhati-hati. Anda disarankan untuk pandu pada kelajuan sesuai dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
Selain daripada Smart Lane lebuhraya PLUS, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) juga ada mengimplementasikan konsep hampir serupa. Penggunaan lorong kecemasan pada waktu tertentu ditandakan dengan papan tanda berwarna merah.
Smart Lane bukanlah perkara yang baharu. Ia telah diuji sejak Oktober 2019 dengan lokasi yang pertama antara Setia Alam dengan susur keluar plaza Tol Shah Alam laluan NKVE. Ketika itu, mereka mensasarkan pengurangan sehingga 40% trafik di lokasi berkenaan sewaktu waktu puncak waktu pagi.
Adakah mereka berjaya mencapai sasaran itu, tidaklah pula diketahui kerana tiada statistik dikongsikan.
Smart Lane di lebuhraya MEX telah diuji bermula 1 Jun 2023 lalu di Plaza Tol Seri Kembangan (arah KL) sepanjang 2.1km.
Smart Lane: Pengguna tidak peka atau implementasi tak betul?
Selepas meninjau di X dan Facebook mencari utusan berkisarkan Smart Lane ini, didapati yang ada beberapa tema aduan boleh dicerap. Pertama adalah tentang permintaan lorong Smart Lane ditandakan dengan lebih jelas.
Ada yang mohon lampu kelip-kelip dipasang sebagai penanda. Ada juga yang meminta laluan dicat dengan garisan khas supaya pengguna sedar mereka sedang berada di zon tersebut
Satu komen yang menarik perhatian saya adalah soalan tentang berapakah had laju di Smart Lane. Perkara ini menarik adalah tutorial yang diterbitkan pihak PLUS tidak mempunyai maklumat yang khusus sebaliknya samar-samar. Mereka gunakan frasa “kelajuan yang sesuai”. Berapa lajukah kelajuan yang sesuai?
Perkara ini penting kerana lorong disebelah kanan Smart Lane biasanya dihuni oleh kenderaan berat yang dipandu perlahan. Sekiranya pengguna Smart Lane memandu pada kelajuan 110km/j, adakah ia berbahaya? Ditambah pula dengan lorong kecemasan yang biasanya sempit, ia pastinya lebih membahayakan.
Di pihak saya, isu yang mungkin saya boleh cungkil adalah pada segi keseragaman. Tahukah anda yang “Smart Lane” versi LDP hanya boleh digunakan oleh kenderaan Kelas 1? Sekiranya peraturan ini dikuatkuasakan secara ketat, motorsikal yang biasanya melalui lorong kecemasan perlu beratur di laluan kenderaan berat pula.
Itu belum lagi kita ambil kira rekaan papan tanda yang berbeza mengikut lebuh raya. PLUS menggunakan warna kuning sementara LDP menggunakan warna merah.
Berdasarkan dokumen arahan teknik ATJ 2E/87 (Pindaan 2011) Guide Signs Design and Application, warna merah digunakan untuk menyampaikan amaran sementara warna kuning untuk menyampaikan mesej.
Satu lagi yang ingin saya ajak anda berfikir adalah video cicipan di atas ini. Kandungan cicipan berbunyi seperti meghentam penunggang motorsikal yang katanya menghalang laluan di Smart Lane. Namun begitu, bukankah motorsikal itu juga sedang menggunakan Smart Lane pada kelajuan yang dirasakan munasabah baginya? Bukankah pemandu di belakangnya sepatutnya mengekalkan jarak pemanduan yang selamat?
Maka dengan sebab itu, panduan yang jelas diperlukan supaya semua orang boleh faham tatacara penggunaan Smart Lane.
Kesesakan waktu puncak bukanlah perkara baharu dan tidaklah setakat di Malaysia. Di luar negara juga hadapi masalah yang sama. Bagaimanakah mereka menanganinya?
Smart Lane bukan di Malaysia sahaja
Suratan ataupun kebetulan? Sehari selepas Smart Lane pertama di NKVE dibuka, negara di sebalik sana dunia juga lakukan perkara yang sama dan juga menggelarnya sebagai Smart Lane. Lebuhraya I-670 dalam negerai Ohio, Amerika Syarikat memulakan ujian Smart Lane sepanjang 11km.
Smart Lane di sana dilengkapi 9 papan tanda gergasi merentasi laluan dengan 39 kamera pemantauan. Perkara yang “smart” tentang solusi di I-670 adalah, Smart Lane diaktifkan secara automatik apabila aliran kenderaan bawah pada 72km/j dan ditutup secara automatik sekiranya trafik sudah lancar.
Di beberapa negara seperti Kanada dan Sepanyol, mereka memberi insentif pada kenderaan yang membawa ramai penumpang untuk menggunakan laluan khas. Katanya mereka ini mengurangkan bilangan kereta di atas jalan raya dan seterusnya mengurangkan potensi pencemaran udara.
Sepanyol menggelarkan laluan ini sebaga lorong Bus-VAO yang hanya boleh digunakan oleh bus ataupun kenderaan yang ada lebih daripada dua orang yang ada di dalamnya.
Kanada menggunakan istilah High Occupancy Vehicle (HOV) untuk merujuk pada lorong yang sama kegunaannya. Mereka tandakan lorong tersebut dengan simbol daiman menandakan pengguna sedang memandu di atas lorong HOV.
Memang kedengaran canggih, namun ia tidak terlepas daripada masalah tersendiri. Kalau dah namanya manusia, otaknya pastinya ligat mencari jalan menipu. Contohnya, yang terdesak sanggup meletakkan patung di kerusi penumpang untuk kelihatan layak menggunakan lorong HOV.