Pada Mei 2023, kerajaan Malaysia telah mengumumkan bahawa pembangunan rangkaian 5G di Malaysia akan berubah dari konsep Rangkaian Borong Tunggal (SWN) kepada model dwi-rangkaian. Peralihan ini sepatutnya bermula pada Januari 2024 selepas Digital Nasional Berhad (DNB) berjaya mencapai 80% liputan 5g di kawasan berpenduduk. Tetapi selepas dua bulan berlalu, masih tiada sebarang berita dan petanada kedatangan rangkaian 5G kedua, yang bertujuan untuk mewujudkan lebihan bagi 5G serta menghentikan monopoli DNB sebagai rangkaian 5G tunggal di negara ini.
Malaysia akan hentikan monopoli DNB dengan model Dwi-Rangkaian
Seperti diumumkan Menteri Komunikasi (dahulunya dikenali sebagai Menteri Komunikasi dan Digital), YB Fahmi Fadzil tahun lepas, DNB telah diarahkan untuk meneruskan pembangunan 5G untuk mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun 2023. Usaha ini telah dipercepatkan daripada pelan asal DNB untuk mencapai 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk dengan 7,509 tapak pada akhir 2024.
Dalam pengumuman itu, Fahmi menyatakan bahawa model Dwi-Rangkaian akan dilaksanakan berdasarkan syarat yang konsisten dengan amalan terbaik antarabangsa yang menawarkan pelbagai rangkaian, bukan sahaja untuk pengguna tetapi juga untuk industri yang merupakan antara segmen sasaran untuk penggunaan teknologi 5G.
Beliau menambah, keputusan itu dibuat dengan fokus untuk meningkatkan penggunaan dan inovasi 5G secara menyeluruh. Fahmi berkata, model Dwi-Rangkaian mengambil kira kapasiti industri telekomunikasi semasa di Malaysia dan ia akan menamatkan elemen monopoli yang dikaitkan dengan DNB.
Katanya lagi, peralihan kepada Dwi-Rangkaian menunjukkan penglibatan sepenuhnya semua syarikat telekomunikasi tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada. Pasukan Petugas 5G telah dibentuk untuk memastikan peralihan yang lancar ke arah model Dwi-Rangkaian.
Pada waktu itum Fahmi menerangkan bahawa maklumat lanjut mengenai rangkaian kedua akan didedahkan selepas DNB mencapai sasaran liputan. Dengan dua rangkaian 5G bersaing, rakyat Malaysia boleh menjangkakan kadar yang lebih kompetitif, inovasi lebih hebat dan paling utama, penggunaan lebih meluas.
Masih tiada khabar Rangkaian 5G kedua selepas DNB capai sasaran liputan 5G
Seperti diumum oleh Fahmi bulan lepas, DNB telah mencapai 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk. Tetapi, masih tiada petunjuk yang jelas bilakah peralihan ke model Dwi-Rangkaian akan bermula.
Sehingga hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih tidak mengeluarkan sebarang penjelasan atau kriteria untuk pembentukan Entiti B. Memandangkan DNB memiliki semua spektrum 700MHz, 3.5GHz dan 28GHz untuk 5G, SKMM seharunya mengeluarkan arahan untuk melepaskan sebahagian spektrum yang diberikan untuk penggunaan rangkaian 5G kedua yang akan datang.
Daripada apa yang didedahkan sebelum ini, DNB memegang blok 40MHz dari spektrum 700MHz , blok 200MHz dari spektrum 3.5GHz dan blok 1,600MHz dari spektrum 26/28GHz (mmWave).
Jika DNB telah menggunakan lebih dari separuh dari spektrum 5G yang telah diperuntukkan, SKMM perlu mengeluarkan notis dan memberikan tempoh masa kepada syarikat milik kerajaan tersebut untuk menyerahkan spektrum tersebut. Sebarang kelewatan penyusunan spektrum boleh merencatkan pembangunan rangkaian 5G kedua.
SSA Telco dengan DNB masih berjalan
Disember tahun lepas, lima syarikat telekomunikasi (CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM dan YTL Communications) telah menandatangani Perjanjian Langganan Saham (SSA) untuk mengambil alih secara bersama 70% pegangan saham DNB. Setiap telco perlu membayar RM233 juta untuk memiliki 14% pegangan bagi setiap syarikat. Sementara SSA masih di peringkat proses usaha wajar yang diperlukan, dana tersebut akan digunakan untuk memenuhi keperluan pembiayaan DNB.
Proses usaha wajar masih berjalan dan SSA ini dijangka akan dimuktamadkan antara Februari hingga April 2024. Perlu diingatkan bahawa ini adalah percubaan kedua kerajaan untuk mendapatkan syarikat telekomunikasi untuk memperoleh pegangan saham dalam DNB.
Pada Oktober 2022, empat telco iaitu Celcom, Digi, YTL Communications dan Telekom Malaysia telah menandatangani Perjanjian Langganan Saham bersyarat dengan DNB untuk beroleh 65% pegangan saham, sementara Kementerian Kewangan memegang baki 35% saham serta saham khas (golden share). SSA ini telah ditamatkan oleh Celcom, Digi dan TM kerana tempoh untuk memenuhi semua syarat telah tamat. Sekarang, sebanyak lima telco termasuk Maxis telah sedia menawarkan 5G menerusi perjanjian akses 5G yang berbeza.
Malaysia masih kekurangan penggunaan 5G perusahaan
Walaupun Malaysia berbangga kerana berjaya mencapai 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk, penggunaan 5G sebenarnya masih sangat rendah. Menurut Fahmi, kini telah ada 10 juta pengguna 5G yang menandakan peningkatan sebanyak 2400% berbanding Disember 2022. Tetapi jumlah ini tidak menjelaskan sama ada ia adalah pengguna yang melanggan pelan 5G, atau pengguna yang benar-benar menggunakan 5G, melalui peranti 5G, di kawasan liputan 5G.
Kebanyakan perkhidmatan 5G digunakan pengguna pelan data dan jalur lebar wayarles. Perubahan ketara untuk 5G sebenarnya di sektor perusahaan. Malangnya, hanya sedikit contoh penggunaan 5G di sektor perusahaan di Malaysia, termasuk rangkaian 5G peribadi.
Seperti yang dijelaskan GSMA, kejayaan pembangunan 5G harus datang dari inovasi, bukannya mengejar liputan di kawasan berpenduduk. Organisasi yang mewakili industri telekomunikasi telah menyebut dalam laporan mereka bahawa, kecenderungan untuk berinovasi dikurangkan dalam persekitaran SWN di mana tiada persaingan infrastruktur wujud. GSMA percaya persaingan infrastruktur adalah asas utama untuk inovasi, sama ada dalam rangkaian persendirian, pengiraan pengkomputeran atau RAN Terbuka dan telah mendapat lonjakan di banyak negara sebagai usaha untuk mengurangkan kos, meningkatkan ketangkasan dan memacu persaingan vendor.
Tiada liputan 5G dalam bangunan, di mana 5G SA?
Sementara DNB berjaya mempercepatkan pembangunan 5G untuk mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk agak membanggakan, ia kebanyakannya untuk liputan di luar bangunan. Realitinya, liputan 5G dalam bangunan hampir tiada sekarang dan signal 5G sukar ditemui di dalam pusat beli-belah terbaru seperti The Exchange Mall di TRX, yang terletak di sebelah ibu pejabat DNB. Perkara yang mudah seperti membayar menggunakan eWallet dengan 5G tidak berjaya dan ia bertambah sukar jika telco anda tiada liputan 4G yang baik di dalam dan luar bangunan.
Jika anda tidak tahu, 5G di Malaysia masih berasaskan seni bina Non-Standalone (NSA), yang masih menjadikan 4G sebagai teras utama. 5G Standalone (SA) baru boleh dikatakan 5G sebenar yang menggunakan 5G sebagai teras dan menjanjikan kependaman ultra-rendah satu-digit sahaja. DNB masih belum membentangkan perancangan yang jelas untuk membangunkan 5G SA untuk rangkaiannya.
Lepaskan spektrum 700MHz untuk perbaiki masalah liputan 4G
Seperti yang dijelaskan lebih awal, spektrum 700MHz telah diperuntukkan kepada DNB. Untuk memperbaiki masalah liputan dengan segera di kawasan bandar dan luar banda, SKMM harus melepaskan spektrum 700MHz yang tidak digunakan terus kepada telco atau Entiti B, yang membolehkan ia digunakan untuk 4G dan 5G.
Dengan jalur frekuensi lebih rendah, pemancar 700Mhz boleh mencapai liputan lebih luas dan menembusi dinding untuk liputan dalam bangunan lebih baik, berbanding 900MHz dan 1800MHz. Peningkatan rangkaian melalui 700MHz kepada pengguna boleh dirasai serta merta kerana masih majoriti pengguna masih dengan peranti 4G sekarang.
Seperti yang dikongsikan TM sewaktu Projek Demonstrasi 5G di Langkawi pada tahun 2022, 700MHz boleh menyediakan jalur lebar wayarles berkelajuan tinggi di kawasan yanpa rangkaian fiber, dengan kelajuan melebihi 200Mbps.
Masa untuk mengembalikan neutraliti spektrum
Memandangkan kerajaan mahu beralih ke model Dwi-Rangkaian, telco harus dibenarkan untuk menggunakan spektruk sedia ada untuk pembangunan 5G. Pada tahun 2021, SKMM telah membatalkan neutraliti spektrum untuk spektrum yang telah diberikan kepada syarikat telekomunikasi, menghalang mereka daripada membangunkan 5G menggunakan sumber sedia ada.
Langkah ini menjadi kontroversi kerana teleco telah membayar untuk penggunaan spektrum berasaskan neutraliti spektrum yang membolehkan mereka menggunakan untuk 5G, 6G dan seterusnya. Sekatan untuk mengehadkan telco kepada 4G ini dibuat untuk memastikan hanya DNB dibenarkan untuk menawarkan 5G dalam model SWN.
Memandangkan tiada lagi keperluan untuk melindungi DNB sebagai monopoli 5G, mengembalikan neutraliti spektrum selaras dengan amalam terbaik antarabangsa bagi membantu mempercepatkan pembangunan 5G dan merangsang pelaburan CAPEX oleh syarikat telekomunikasi.
Menggunakan spektrum 4G sedia ada seperti 2300MHz dan 2600MHz untuk 5G bukanlah perkara baharu dan ia telah dilakukan di beberapa negara. Sebagai contoh, Thailand kini menggunakan 2600MHz untuk 5G manakala Australia menggunakan spektrum 2300MHz untuk 5G. Bagi memastikan pengguna 4G tidak diabaikan, spektrum sedia ada yang diberikan kepada syarikat telekomunikasi boleh digunakan untuk kedua-dua 4G dan 5G secara optimum menerusi Perkongsian Spektrum Dinamik (DSS).
Menurut Kedudukan Dasar Awam GSMA, 5G memerlukan spektrum merentasi jalur rendah, pertengahan dan tinggi. Jalur 2.3GHz dan 2.6GHz juga harus dilesenkan kepada pengendali untuk kegunaan 5G, dan semua lesen sedia ada dan baharu harus neutral teknologi untuk membolehkan evolusi mereka kepada perkhidmatan 5G.
[Sumber: SoyaCincau]