Scoot, syarikat penerbangan tambang rendah dan juga anak syarikat kepada Singapore Airlines (SIA), kini melancarkan Jualan Mega Mac yang menawarkan harga promosi menakjubkan ke pelbagai destinasi dalam dan luar negara. Promosi oleh Scoot ini berjalan dari 19 Mac sehingga 25 Mac 2024.
Menariknya, Scoot menawarkan perjalanan dari pelbagai lokasi dari Malaysia. Paling utama, sudah pasti dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Selain itu, Scoot turut menawarkan promosi ini untuk penerbangan dari dan ke lokasi di Malaysia seperti Pulau Pinang, Langkawi, Sibu, Ipoh, Kuantan, Kuching dan Miri.
Antara perjalanan yang ditawarkan dalam Jualan Mega Mac Scoot ini adalah seperti:
- Kuala Lumpur – Sydney dari RM608
- Kuala Lumpur – Melbourne dari RM608
- Kuala Lumpur – Perth dari RM458
- Kuala Lumpur – Hong Kong dari RM328
- Kuala Lumpur – Cebu dari MYR278
- Kuala Lumpur – Lombok dari RM268
- Kuala Lumpur – Bali dari RM248
- Kuala Lumpur – Yogyakarta dari RM188
Harga tiket ini adalah untuk perjalanan sehala kelas ekonomi, dan termasuk cukai yang berkaitan. Tempahan tiket penerbangan boleh dibuat di laman web www.flyscoot.com dan aplikasi mudah alih Scoot yang boleh dimuat turun di Apple AppStore dan Google PlayStore.
Tarikh penerbangan promosi dan Tarikh Gelap
Sebelum merancang untuk membeli tiket promosi Scoot ini, adalah penting untuk mengetahui tentang terma dan syarat jualan ini. Mula-mula, sudah tentu tentang tarikh jualan promosi iaitu dari 19 hingga 25 Mac 2024 sahaja. Seterusnya dan agak penting, tarikh penerbangan.
Promosi ini hanya melibatkan penerbangan pada masa di luar tarikh gelap atau blackout. Tarikh yang terlibat dalam promosi ini adalah:
- 1 April – 25 Mei 2024
- 25 Jun – 16 November 2024
- 2 Januari – 29 Januari 2025
- 10 Februari – 29 Mac 2025
Jika anda perasan, antara tarikh gelap yang dinyatakan adalah selama sebulan dari 26 Mei hingga 24 Jun 2024. Di samping itu, pada hujung tahun termasuk Hari Krismas dan Tahun Baru, juga termasuk dalam tarikh gelap. Scoot turut menyatakan, tarikh gelap mungkin dikenakan pada waktu cuti sekolah.
Kenapa Scoot ada banyak destinasi penerbangan di Malaysia
Sebenarnya, agak menakjubkan jika dilihat senarai destinasi penerbangan Scoot di Malaysia. Sebab ia meliputi bandar-bandar yang jarang terdapat dalam senarai penerbangan syarikat lain.
Ini kerana destinasi tersebut tidak menyediakan penerbangan secara terus ke lokasi tujuan. Sebaliknya setiap penerbangan Scoot akan singgah ke Singapura dan membuat pertukaran pesawat ke destinasi seterusnya.
Contohnya Kuala Lumpur ke Bali yang biasanya mengambil masa penerbangan 3 jam sahaja, menjadi 19 jam dengan Scoot kerana transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi selama 15 jam 20 minit.
Manakala penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth yang mengambil masa sekitar 6 jam jika terbang terus, menjadi 29 jam di Scoot dengan transit selama 23 jam di Singapura.
Kalau anda benar-benar berminat dengan promosi Scoot ini, jangan lupa semak betul-betul waktu penerbangan dan berapa lama pula waktu transit di Singapura. Mungkin jalan-jalan di Singapura boleh menjadi sebahagian dari perjalanan anda.
Untuk maklumat lanjut, layari laman promosi Gotta Scoot.