Syarikat pengeluar peranti e-buku, Rakuten Kobo telah memperkenalkan barisan tablet eReaders terbaru untuk pasaran Malaysia. Ia hadir dengan tiga produk baharu iaitu Kobo Libra Colour, Kobo Clara Colour dan Kobo Clara BW. Yang menariknya, dua daripadanya menggunakan teknologi paparan warna e-ink buat pertama kalinya bagi produk Kobo.
Kobo Libra Colour
Salah satu daripadanya adalah Kobo Libra Colour. Sebenarnya, dari luaran ia kelihatan sama sahaja seperti model Libra 2 yang dilancar sebelum ini. Tetapi, ia telah diperbaharui untuk menggunakan paparan e-ink Kaleido 3 warna berukuran 7-inci dengan FastGLR dan mod gelap. Skrinnya ada resolusi 1264 x 1680p dengan kadar kepadatan piksel 150 PPI untuk memaparkan kandungan berwarna dan kepadatan piksel lebih tinggi pada 300 PPI semasa memaparkan warna hitam dan putih.

Selain itu, ia juga kini mempunyai sokongan stailus menerusi Kobo Stylus 2. Di dalamnya, ia didatangkan dengan cip pemproses dwi teras berkelajuan 2GHz yang lebih pantas berbanding Libra 2 pada kelajuan 1GHz. Ia digandingkan dengan storan 32GB. Bukan itu sahaja, ia juga kini menyokong WiFi 5 berbanding WiFi 4, memiliki sambungan wayarles melalui Bluetooth serta diiktiraf kalis air IPX8.

Menghidupkannya adalah bateri berkapasiti 2,050mAh dan katanya ia mampu menawarkan masa pengguna sehingga 40 hari. Kobo Libra Colour juga menyokong pelbagai format seperti EPUB, PDF CBR dan banyak lagi.
Kobo Clara Colour

Kobo Clara Colour juga model yang dilengkapkan dengan paparan e-ink Kaleido 3 warna. Paparannya memiliki resolusi 1448 x 1072p dengan kepadatan piksel 300 PPI untuk memaparkan warna hitam dan putih dan 150 PPI ketika memaparkan kandungan berwarna.
Dari segi storan, ia hadir dengan ruang 16GB dan dikuasakan cip pemproses dwi teras berkelajuan 2.0Ghz. Bateri berkapasiti 1,500mAh terdapat di dalamnya yang menawarkan masa penggunaan sehingga 42 hari. Ia juga ada kalis IPX8 dan memiliki ciri sambungan seperti WiFi 5 dan Bluetooth.
Kobo Clara BW

Kobo Clara BW merupakan model yang kemaskini daripada model Clara 2e terdahulu. Ia menggunakan panel paparan Carta 1300 e-ink lebih baharu yang didakwa menawarkan tahap kontras lebih baik dan kadar penyegaran lebih pantas berbanding paparan Carta 1200 pada Clara 2e. Ia mempunyai paparan berukuran 6-inci menggunakan resolusi 1448 x 1072p dengan kepadatan piksel 300 PPI.
Di sampin itu, ia dikuasakan dengan cip pemproses berkelajuan 1GHz dan ada storan bersaiz 16GB.Ia dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 1,500mAh dengan masa penggunaan sehingga 53 hari. Seperti yang lain, Kobo Clara BW ini juga menyokong sambungan WiFi 5, Bluetooth dan juga ada kalis air IPX8.
Harga dan ketersediaan Kobo Libra Colour, Clara Colour dan Clara BW
Ketiga-tiga Kobo Libra Colour, Kobo Clara Colour dan Kobo Clara BW boleh mula didapatkan di Malaysia bermula 30 April 2024 dengan pra tempah telah tersedia sekarang. Harga jualan rasminya adalah seperti berikut:
- Kobo Libra Colour – RM1,079
- Kobo Clara Colour – RM779
- Kobo Clara BW – RM679
Selain itu, pengguna juga boleh dapatkan aksesori tambahan lain seperti Kobo Stylus 2 berharga RM319, Notebook SleepCover pada RM185, Basic SleepCover pada RM155 dan sarung lutsinar berharga RM135.
Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh layari laman web Kobo Malaysia di sini.
[Sumber: SoyaCincau]