Beli Sekarang Bayar Kemudian atau lebih popular dengan singkatan BNPL adalah salah satu jenis pembiayaan yang semakin popular di Malaysia. Perkhidmatan BNPL membolehkan orang ramai untuk membeli barang secara berhutang dan membayar hutang tersebut kemudian. Ada caj dikenakan untuk membuat hutang ini, termasuk caj lewat bayar.
Apa yang menyebabkan BNPL popular adalah kebanyakannya tidak terikat dengan komitmen hutang rasmi lain, seperti pinjaman peribadi, kad kredit dan lain-lain. Ramai mengambil peluang ini untuk membuat hutang baru kerana ia mudah diluluskan.
Salah satu penyedia BNPL di Malaysia yang kian meningkat naik adalah Shopee SPayLater.
Apa itu SPayLater?
Shopee SPayLater menyediakan perkhidmatan BNPL bukan sahaja di dalam aplikasi, malah untuk pembayaran di kedai fizikal. Ini kerana Shopee merupakan salah satu eWallet yang menyokong DuitNow QR, membolehkan ia digunakan untuk membayar di mana-mana tempat yang menerima pembayaran DuitNow QR.
Shopee SPayLater juga menyediakan bayaran ansuran secara 3 bulan, 6 bulan dan 12 bulan, bergantung kepada jenis produk. Tetapi tawaran yang lebih menarik adalah bayar di bulan hadapan tanpa sebarang caj.
SPayLater Patuh Syariah?
Pada awalnya, SPayLater adalah perkhidmatan yang tidak patuh syariah. Tetapi ia kemudiannya dikemaskini supaya perkhidmatan SPayLater patuh syariah setelah disemak oleh Armanie’s Advisory, firma pematuhan syariah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Antara perubahan yang dibuat supaya ia patuh syariah adalah, tiada lagi caj lewat bulanan tetapi diganti dengan denda lewat bayar RM10 hanya sekali. Selain itu, akaun pengguna akan dibeku jika lewat bayar dan belum membayar denda RM10. Malah, sebarang caj melebihi kos sebenar yang ditanggung akan didermakan kepada badan kebajikan yang diluluskan oleh Penasihat Syariah. Perkara ini turut diiktiraf oleh pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Caj yang dikenakan SPayLater
Selepas mendapat pematuhan syariah, tidak banyak caj yang mengelirukan untuk menggunakan SPayLater. Untuk ansuran bulanan, SPayLater hanya mengenakan satu kali yuran pemprosesan 1.5% sebulan (atau 4.5% 3 bulan, 9% 6 bulan, 18% 12 bulan). Caj ini tidak akan berulang atau berganda, hanya dikenakan semasa pertama kali bayaran diproses.
Yang menariknya, Shopee menawarkan caj 0% untuk SPayLater 1-bulan, atau beli sekarang dan bayar penuh bulan hadapan. Tetapi ada masanya, Shopee turut menawarkan SPayLater tanpa caj pemproses untuk ansuran 3-bulan. Ini bergantung kepada produk yang dibeli.
Akhir sekali yang perlu diketahui pengguna, adalah caj lewat bayar. Pengguna perlu membayar ansuran bulanan SPayLater selewat-lewatnya pada tarikh akhir pembayaran, contohnya tanggal 1 haribulan setiap bulan. Jika tidak membayar pada hari tersebut, akaun Shopee akan dibekukan dan caj lewat bayar RM10 dikenakan.
Hanya selepas caj lewat bayar RM10 dan ansuran bulanan sebelumnya dijelaskan, barulah akaun Shopee pengguna akan diaktifkan semula. Tidak perlu risau adanya caj berganda atau terkumpul apabila lewat bayar.
Cara Bayar Pembelian dengan SPayLater
Dengan sokongan DuitNow QR, Shopee SPayLater boleh digunakan untuk membayar di kedai fizikal dengan mengimbas kod DuitNow QR. Tetapi pembayaran paling utama adalah di dalam aplikasi Shopee sendiri. Sebarang pembelian di aplikasi Shopee, boleh menggunakan SPayLater.
Bayar SPayLater dalam aplikasi Shopee
Untuk membayar menggunakan SPayLater di dalam aplikasi Shopee sangat mudah. Pertama, pergi ke produk yang ingin dibeli dan tekan pada Beli di bawah. Pengguna akan disajikan dengan pilihan SPayLater di bawah. Pilih berapa bulan ansuran yang diingini dan tekan Beli Sekarang.
Perkara yang hampir serupa untuk pembayaran produk yang dikumpul di Troli (Cart). Pilih semua produk yang ingin dibayar, kemudian tekan Semak Keluar. Di Pilihan Bayaran, akan disenaraikan ansuran bulanan SPayLater dengan jelas. Pilih ansuran bulanan yang diingini dan tekan Membuat Pesanan.
Bayar SPayLater di Kedai Fizikal
Untuk membayar dengan SPayLater di kedai fizikal, caranya serupa dengan pembayaran QR biasa tetapi ada dua cara. Pertama anda imbas kod QR peniaga. Kedua, peniaga imbas kod QR anda. Untuk membayar, mula-bula buka aplikasi Shopee dan tekan pada ikon pengimbas bayaran.
Jika anda imbas kod QR peniaga, halakan kamera kepada kod QR dan isi jumlah yang ingin dibayar. Pada Pilihan Bayaran, pilih SPayLater dan ansuran bulanan yang diingini untuk membayar.
Kalau mahu peniaga imbas kod QR anda, pilih untuk tunjukkan kod QR anda. Di bawahnya, pilih SPayLater pada Pilihan Bayaran dan ansuran bulanan jika perlu. Sememangnya cara yang sama dengan pembayaran QR yang lain, tetapi perlulah memilih SPayLater.
Shopee ada bekerjasama dengan pelbagai rakan niaga untuk menawarkan diskaun untuk pembelian menggunakan SPayLater. Jangan lupa untuk menyemak tawaran yang ada sebelum membuat bayaran.
Kebaikan & Kelebihan SPayLater
Tidak dapat dinafikan, SPayLater dapat membantu memudahkan kehidupan. Antaranya, pengguna boleh membeli dulu barang yang diingini walaupun di tengah bulan. Tak perlu tunggu ada duit baru beli, boleh bayar lepas dapat gaji hujung bulan. Asalkan bayar selewatnya pada tarikh pembayaran untuk elak didenda RM10.
Selain itu, orang ramai boleh membeli barang yang mahal secara ansuran bulanan sehingga 12 bulan. Kadang-kadang tanpa caj pemprosesan, tetapi selalunya dikenakan caj pemprosesan 1.5% sebulan. Tidaklah terbeban untuk membayar sekaligus jumlah yang besar. Ada can nak merasa pakai iPhone kan.
Ada waktu dan ketika, pengguna SPayLater boleh mendapat lebih diskaun kerana ada kupon dan baucar diberikan Shopee. Terutama sekali pada hari jualan, macam tarikh berganda seperti 5.5 dan 6.6, atau pada hari gaji setiap 25 haribulan.
Kelemahan & Keburukan SPayLater
Jangan lupa juga, hutang boleh menjadi beban yang berat jika tidak diuruskan dengan baik. Sama juga dengan penggunaan SPayLater kerana ia satu bentuk hutang.
Paling penting, jangan berbelanja di luar kemampuan. Memang ansuran menjadikan jumlahnya lebih kecil, tetapi jika tidak dapat membayarnya kerana terlalu banyak hutang lain, ia boleh menjadi kesusahan lain.
Selain itu, jika lewat membayar walau 1 hari, pengguna akan dikenakan denda RM10 selain akaun dinyahaktifkan. Tidak lagi boleh membeli-belah di Shopee, sehingga bayaran untuk bulan tersebut dijelaskan, bersama denda RM10.
Pengalaman Guna SPayLater
Sebagai pengguna tegar Shopee, SPayLater membantu saya membeli-belah tanpa perlu duit gaji. Kadang-kadang ada promosi lalu pada barang yang diperlukan (dah lama ada dalam troli), boleh bayar terus dengan SPaylater menggunakan ansuran 1-bulan. Dapat gaji nanti boleh bayar.
Selain itu, kalau rasa bajet hujung bulan agak ketat, boleh pilih ansuran lebih panjang 3-bulan. Buat masa ini, tak pernah pilih lebih 3-bulan.
Pengalaman buruk, pernah sekali terlupa bayar pada tarikh akhir bayaran. Akaun dibekukan dan kena bayar denda RM10. Lepas tu memang buat peringatan dalam kalendar, 1 haribulan mesti bayar Shopee SpayLater.
BNPL macam Shopee SpayLater merupakan senjata serampang dua mata. Ia boleh beri kebaikan jika digunakan dengan teratur dan cermat, tetapi boleh memakan diri sendiri dan bawa kesusahan jika tidak dikawal.
Paling penting, beli ikut keperluan bukannya ikut keinginan. Dengan mengawal nafsu, baru boleh mengawal perbelanjaan. Apakah anda mampu mengawalnya? Jika ya, gunakanlah Shopee SPayLater dengan sebaiknya.