Berikutan perkhabaran tentang pelaksanaan subsidi bersasar diesel oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan perincian untuk program Bantuan Subsidi MADANI atau singkatannya Budi Madani.
Untuk makluman anda, Budi Madani merupakan program pemberian subsidi diesel kepada rakyat Malaysia yang layak termasuk untuk individu yang memiliki kenderaan diesel serta petani dan pekebun kecil komoditi.
Apa itu BUDI MADANI?
Seperti yang dinyatakan tadi, Budi Madani adalah inisiatif yang dibangunkan kerajaan untuk memberikan subsidi diesel kepada rakyat melalui bantuan berbentuk tunai. Ia terpakai dan boleh dimohon pemilik kenderaan berasaskan diesel serta petani dan pekebun kecil komoditi di semenanjung Malaysia.
Dalam program ini, mereka yang layak akan menerima sumbangan tunai sebanyak RM200 setiap bulan. Terdapat dua kriteria yang disediakan di mana pemilik kenderaan diesel boleh memohon dibawah kategori BUDI Individu, manakala petani dan pekebun kecil boleh memohon di bawah BUDI Agri-Komoditi.
Kedua-dua kategori tersebut akan menerima sumbangan RM200 sebulan di bawah program ini dan ia boleh mula dimohon bermula hari ini, 28 Mei 2024.
Syarat kelayakan BUDI Individu
Walau bagaimanapun, perlu untuk anda tahu yang terdapat kriteria kelayakan Budi Madani bagi dua kategorinya iaitu BUDI Individu dan BUDI Agri-komoditi. Untuk layak dalam kategori BUDI Individu, pemohon mestilah memiliki kenderaan diesel bukan mewah berdaftar dengan JPJ di bawah usia 10 tahun, cukai jalan aktif serta pendapatan tahunan individu atau pasangan bawah RM100,000.
Selain itu, ia juga tidak terpakai untuk golongan T20 dan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun. Untuk tentukannya, data pemohon akan disemak terlebih dahulu dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Syarat kelayakan BUDI Agri-komoditi
Bagi kriteria kelayakan untuk BUDI Agri Komoditi pula, ia mestilah pemohon yang berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil di kementerian yang berkaitan khususnya Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Seterusnya, pemohon juga perlu adalah seorang pekebun aktif yang menjana perolehan tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.
Namun, sekiranya permohonan anda tidak berjaya, anda tidak perlu risau kerana permhohonan rayuan boleh dibuat. Ia akan dibuka bermula pertengahan Jun nanti.
Bila boleh mula memohon dan sumbangan akan diberikan?
Permohonan BUDI MADANI telahpun dibuka sekarang dan ia akan dibuka sepanjang tahun ini. Pendaftaran boleh dibuat di laman web https://budimadani.gov.my. Jika anda tertanya bila bantuan subsidi akan mula disalurkan, ia bergantung pada bila permohonan diluluskan.
Jika permohonan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, sumbangan akan disalurkan sekitar pertengahan Jun 2024 dan seterusnya akan diberikan secara bulanan. Kalau permohonan diluluskan selepas 3 Jun, anda akan terima sumbangan tunai dalam masa dua minggu dan setiap bulan selepas itu.
Terdapat dua kaedah bagaimana sumbangan tersebut akan disalurkan. Pertamanya, sumbangan tunai akan dikreditkan kepada akaun bank penerima dan kedua adalah penerima boleh menuntutnya secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Malaysia di semenanjung Malaysia.
MySubsidi Diesel ‘Fleet Card’
Selain BUDI Individu dan BUDI Agri-komoditi, kerajaan turut memperkenalkan sistem MySubsidi Diesel ‘Fleet Card’. Ia adalah sistem untuk membolehkan kenderaan awam dan syarikat logistik mendapatkan subsidi diesel melalui ‘Fleet Card’. Tujuannya adalah untuk meminimumkan kos logistik serta mengurangkan risiko kenaikan harga barangan.
MySubsidi Diesel ini boleh mula dimohon sekarang tetapi tertakluk pada syarat kelayakan dan kategori yang dibenarkan sahaja. Anda boleh ketahui lebih lanjut syarat kelayakannya di sini. Selain itu, buat masa ini kerajaan memaklumkan yang sebanyak 90,000 ‘Fleet Card’ telah dikeluarkan kepada sektor pengangkutan awam dan logistik.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman Budi Madani.