Telefon terbaru Nothing Phone (2a), kini menerima warna baru yang lebih meriah. Dipanggil sebagai Special Edition atau Edisi Khas, ia mengekalkan rekaan telus cahaya tetapi kini dihiasi dengan tompok-tompok warna primer iaitu merah, kuning dan biru.
Menurut Nothing, ketiga-tiga warna ini tidak pernah digunakan serentak pada satu produk. Sebelum ini, warna merah terdapat pada fon putik kanan Nothing Ear, warna kuning menjadi warna tema Ear (a) dan warna biru terdapat pada telefon Nothing Phone (2a).
Harga dan ketersediaan
Sebagai edisi khas, unit yang akan dijual juga terhad tetapi Malaysia bernasib baik kerana akan dapat dibeli di sini. Harganya juga tidak berubah, sama seperti Phone (2a) semasa dilancarkan iaitu:
- Nothing Phone (2a) Special Edition [RAM 12GB + Storan 256GB] – RM1,699
Bagaimanapun, ia akan dijual secara eksklusif di satu lokasi sahaja, iaitu kedai online Crossover pada 7 Jun 2024, mulai jam 12 tengah malam. Hanya ada 100 unit dijual untuk pasaran Malaysia, jadi siapa yang cepat sahaja akan dapat membelinya.
Kalau anda berminat dengan rekaan baru ini atau suka mengumpul produk edisi khas, jangan terlepas peluang untuk membeli Nothing Phone (2a) Special Edition.
Spesifikasi Nothing Phone (2a)
Tiada apa yang berbeza pada model edisi khas ini dengan model biasa Phone (2a). Ia adalah peranti kelas pertengahan, dikuasakan cip Dimensity 7200 Pro yang lebih cekap tenaga dan dibina menggunakan proses 4nm generasi kedua TSMC. Untuk pasaran Malaysia, ia disertakan RAM 12GB dan storan dalaman 256GB. Tiada slot kad memori mikro-SD.
Telefon ini dilengkapi skrin rata Flexible AMOLED berukuran 6.7-inci, dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran adaptif dari 30Hz-120Hz. Kecerahannya setinggi 700 nits dengan kecerahan puncak mencecah 1,300 nits. Pengimbas cap jari ada di dalam skrin dan ia dilindungi kaca Corning Gorilla Glass 5.
Di belakang, terdapat kamera utama 50MP F1.88 OIS dan kamera ultralebar 50MP F2.2 dengan sudut pandang 114°. Kamera hadapan pula 32MP F2.2, terletak di dalam lubang di dahi skrin.
Perkata terpenting dan paling unik untuk telefon Nothing adalah lampu LED Glyph di belakang. Ia hanya terdapat di bahagian atas, membentuk bulatan mengelilingi kamera. LED Glyph ini terbahagi kepada 3 bahagian sahaja, tetapi boleh berkelip-kelip dalam ratusan tetapan.
Bateri di Nothing Phone (2a) adalah terbesar untuk peranti Nothing iaitu 5,000mAh. Ia menyokong pengecasan pantas USB-PD 45W, mampu mengecas dari 0-50% dalam 20 minit. Tetapi pengecas dijual berasingan, hanya kabel USB-C ke USB-C diberi di dalam kotak. Telefon ini juga tidak menyokong pengecasan wayarles.
Sistem operasi terkini Nothing OS 2.5 terdapat di Nothing Phone (2a) sejurus keluar kotak. Ia dibina berasaskan Android 14 dan memberikan pengalaman sangat lancar dan pantas berbanding antaramuka telefon lain. Di samping itu, Nothing turut menjanjikan kemaskini OS sebanyak 3 kali, dan kemaskini keselamatan selama 4 tahun dengan kemaskini diberi setiap 2-bulan.
Semasa dilancarkan, Nothing Phone (2a) ditawarkan dalam warna Milk dan juga Hitam. Tiada lagi warna putih tetapi warna susu kelihatan seperti warna putih yang pekat.
Untuk mengenali telefon terbaru Nothing ini dengan lebih lanjut, layari laman produk Nothing Phone (2a). Tonton juga ulasan kami tentang Nothing Phone (2a) dalam video di bawah.